Tag: MPT Bersatu

  • MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak perletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, ini kerana pertuduhan kes rasuah terhadap Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden dan bukannya kapasiti peribadi.

    “MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Muhyiddin memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

    Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Mengulas lanjut Hamzah turut mengesahkan menerima laporan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka pada hari yang sama.

  • Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 3 hingga 5 Mac ini – Hamzah

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 3 hingga 5 Mac ini – Hamzah

    PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2022 akan diadakan bermula 3 Mac sehingga 5 Mac depan selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan parti.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu ditetapkan semasa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam.

    Selain itu katanya, tarikh-tarikh bagi Persidangan Cawangan, Persidangan Bahagian dan Perhimpunan Agung Tahunan 2023 adalah seperti berikut iaitu Persidangan Cawangan 2023 diadakan pada 1 Julai hingga-31 Ogos ini.

    Katanya, Persidangan Sayap-Sayap Bahagian pula diadakan pada 7 Oktober diikuti Persidangan Bahagian pada 21 Oktober manakala Perhimpunan Agung Tahunan pada 23 November hingga 25 November tahun ini.

    “Sehubungan itu, pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) bagi penggal yang baharu akan diadakan pada tarikh-tarikh seperti di atas selaras dengan Perlembagaan Parti,” katanya menerusi kenyataan.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, mesyuarat MPT Bersatu juga membincangkan laporan post-mortem keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

    Tambahnya, MPT Bersatu turut membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.