KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu membuat perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berkuasa kerana sudah mempunyai majoriti.
Demikian pengakuan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam satu wawancara bersama Free Malaysia Today.
“Anda perlu faham, walaupun tanpa MoU, kumpulan ini berkuasa. MoU itu tidak menyumbang untuk mengekalkan tampuk kuasa, mereka sudah pun berkuasa, masih mempunyai majoriti mudah,” katanya dipetik sebagai berkata.
Ismail Sabri menjadi perdana menteri pada Ogos tahun lepas dengan sokongan 114 Ahli Parlimen. Beliau menandatangani MoU untuk “kestabilan dan transformasi politik” dengan pemimpin parti komponen PH pada bulan berikutnya.
MoU itu dikritik kerana dikatakan mengekalkan kuasa pihak yang bertanggungjawab ke atas peningkatan kos sara hidup, ekonomi yang lemah, serta masalah lain.
Bagaimanapun, kata Loke, MoU itu memainkan peranan penting dalam membawa pembaharuan politik dan demokrasi yang diperlukan.
“MoU membolehkan pembangkang menggunakan kekuatannya di Parlimen untuk memastikan tolak ansur tertentu dicapai untuk mereformasi negara. Contoh terbaik ialah pelulusan undang-undang anti-lompat,” katanya.
Ismail Sabri dan PH bersetuju atas 18 syarat utama bawah MoU itu, termasuk pelaksanaan had dua penggal untuk perdana menteri, memastikan kebebasan kehakiman, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Rang undang-undang (RUU) anti-lompat itu diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, dengan 209 Ahli Parlimen mengundi menyokongnya, manakala 11 tidak hadir.
Loke berkata, beberapa perkara dalam MoU itu masih belum dipenuhi, seperti had penggal perdana menteri. Beliau berharap ia dapat disempurnakan sebelum pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Walaupun MoU itu tiada tarikh luput, ia menyatakan bahawa kerajaan dan PH telah bersetuju untuk tidak mengadakan PRU15 sebelum 31 Julai.
Pada Mac, Loke mencadangkan agar MoU itu dilanjutkan dengan syarat Ismail Sabri menyempurnakan semua perkara dalam perjanjian itu. PH sejak itu berdepan kritikan kerana berpegang teguh pada perjanjian itu, malah menggesa agar ia dilanjutkan kerana khuatir PRU akan diadakan lebih awal.
Bagaimanapun, pada Julai, perdana menteri mengisytiharkan bahawa UMNO telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan MoU, dan beliau akan mematuhi keputusan partinya.
“MoU menyatakan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sebelum 31 Julai, jadi terpulang kepada perdana menteri, terpulang kepada kerajaan hari ini (bila hendak) memanggil pilihan raya.
“(Keputusan itu) bukan dalam tangan kami, jadi kami perlu bersedia,” katanya.