Tag: motosikal bertembung kereta

  • 2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    DUA remaja perempuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Sungai Rusa malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa, Nur Humaira Mohd. Zaini, 17, yang menunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

    Sementara itu, pembonceng motosikal terbabit iaitu Nur Fatimah Salamahullah,17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari George Town ke Kuala Sungai Pinang.

    Jelasnya, apabila sampai di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang semasa di jalan lurus, kereta itu bertembung dengan motosikal yang ditunggangi dua pelajar berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    ”Motosikal yang ditunggangi pelajar tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain ketika kejadian berlaku,” katanya hari ini.

    Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta yang merupakan seorang mekanik mengalami kecederaan di pipi kanan.

    Tambah beliau, pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan bermotor (LKM) yang masih sah tempoh.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    Tiga rakan karib maut, motosikal bertembung kereta

    TIGA rakan karib maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain di Kilometer (KM) 80 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi dekat Dungun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri; Muhammad Salman Faris Samsu; dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, kesemuanya berumur 14 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Baharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.25 malam dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah sebuah Proton Iswara dari arah Jabor menghala ke Jerangau masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun telah bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal dan dua lagi rakannya yang membonceng motosikal berkenaan, maut di tempat kejadian. Mereka difahamkan dalam perjalanan ke kedai makan.

    “Pemandu Proton Iswara iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan penumpang hadapan, seorang wanita berumur 45 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur enam dan tujuh tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

    Menurut Baharudin mayat ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, nenek Muhammad Faris Haikal, Nolida Ismail, 51, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini, awal pagi ini berkata beliau menerima maklumat mengenai tragedi yang menimpa cucu kesayangannya itu melalui panggilan telefon daripada anak perempuanya yang tinggal di Kuala Terengganu.

    “Ketika anak saya iaitu ibu saudara Faris (Muhammad Faris Haikal) telefon memberitahu ada maklumat yang tular di kumpulan WhatsApp mengenai kemalangan membabitkan tiga ‘budak’ lelaki yang menaiki motosikal EX5 berwarna merah di situ (Bukit Besi). Saya terus rasa tidak sedap hati kerana Faris baru sahaja keluar menunggang motosikal saya yang juga jenis EX5 merah. Lagipun mereka bertiga memang selalu bersama ke mana-mana sahaja.

    “Jadi saya terus hubungi telefon bimbit Faris namun, panggilan tidak dijawab. Saya semakin tidak sedap hati dan bergegas ke lokasi yang dimaklumkan. Apabila sampai saya lihat motosikal saya berada di situ dan mayat cucu serta rakan-rakannya telah diusung masuk ke dalam kenderaan polis,” katanya.

    Nolida berkata, dia berasa sangat sedih kerana telah menjaga Muhammad Faris Haikal yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik, sejak lahir memandangkan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan telah berpisah dan bekerja di luar Terengganu. – Bernama