Tag: Motac

  • MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

    Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

    “Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

    “Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

    Terdahulu, Nancy berkata, dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

    Katanya, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

    Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini. – BERNAMA

  • Pelancongan antara negeri sedang dibincang – Nancy

    Pelancongan antara negeri sedang dibincang – Nancy

    KEPUTUSAN untuk membenarkan gelembung perjalanan pelancongan antara negeri sedang dibincang dan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

    Beliau berkata langkah itu adalah bagi mempercepatkan pemulihan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

    “Setakat ini selain Langkawi, kita hanya benarkan pelancongan dalam negeri sahaja dan kita faham, kita tidak boleh bergantung kepada pelancongan dalam negeri sahaja untuk membantu pemulihan industri pelancongan negara, oleh itu kita sedang meneliti kebenaran pelancongan antara negeri bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), yang meminta supaya gelembung pelancongan domestik diperluaskan ke seluruh negara dan tidak hanya fokus pada kawasan pulau, bagi membantu pemulihan pemain industri pelancongan negara yang terkesan teruk akibat COVID-19.

    Nancy berkata terdapat beberapa destinasi yang disenaraikan untuk kebenaran pelancongan antara negeri ini termasuk Fraser Hill, Genting Highlands dan destinasi tumpuan yang lain di seluruh negara.

    Mengenai rancangan untuk membuka Pulau Langkawi kepada pelancong luar negara pula, Nancy berkata perkara itu juga sedang dalam perbincangan kementerian itu dengan kementerian dan agensi terlibat lain.

    “Kita sedang susun atur kriteria yang dibenarkan untuk pelancong antarabangsa ini untuk datang selain daripada lengkap vaksin, jika ia sudah diputuskan, kita akan mula buka Pulau Langkawi untuk pelancong antarabangsa,” katanya.

    Setakat ini kerajaan membenarkan pelancongan dalam negeri bagi negeri yang berada di Fasa Dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu yang telah lengkap vaksin.

    Projek rintis gelembung pelancongan domestik ke Pulau Langkawi pula bermula sejak 16 Sept lepas.- BERNAMA

  • Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    Pelancong domestik boleh kunjungi Langkawi

    PELANCONG domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengunjung perlu memohon kebenaran polis sebelum ke pulau berkenaan serta menunjukkan bukti dokumen seperti tiket penerbangan, tiket feri atau resit hotel.

    Beliau berkata kebenaran tersebut tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Nancy, bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri sebelum ke Langkawi.

    “Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini hari ini.

    Nancy berkata antara SOP ditetapkan untuk ke Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan adalah terhad kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.

    Beliau berkata tiada had umur ditetapkan selain perlindungan insuran dan saringan COVID-19 juga tidak diwajibkan.

    Bilangan penumpang dalam kenderaan pula tertakluk kepada kapasiti kenderaan dan pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke pulau peranginan itu dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.

    Selain itu, beliau berkata jenis percutian dibenarkan ialah secara harian, bermalam percutian dengan tempahan dan percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Aktiviti gelembung pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk penginapan di hotel atau inap desa (homestay); aktiviti pantai; sukan air; snorkeling; selam skuba; aktiviti pelancongan minat khas; aktiviti eko geo-kembara, premis hasil seni, budaya dan warisan; taman tema dan pusat hiburan keluarga dan lawatan bersifat akademik.

    Nancy berkata MOTAC akan membuat pemantauan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu dalam masa dua minggu. 

    Beliau berkata MOTAC menyasarkan 420,000 pengunjung dari September ke Disember tahun ini.

    Sementara itu, Nancy turut mengumumkan Malindo Air dan Firely menawarkan potongan RM50 bagi harga tiket penerbangan di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0.

    “Malaysia Airlines dan Air Asia pula masing-masing menawarkan harga promosi bermula RM89 dan RM59 sehala,” katanya.

    Selain itu, pelancong boleh menikmati e-baucar bernilai RM50 dan RM100 bagi tempahan tiga hari dua malam di hotel yang mengambil bahagian, menerusi kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experince Malaysia Like Never Before.

    Menurutnya, terdapat 10 pakej ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan dengan tawaran serendah RM202 bagi Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan.- BERNAMA

  • Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19 – Sumber

    Pegawai tugas khas timbalan menteri MOTAC meninggal dunia akibat COVID-19 – Sumber

    PEGAWAI Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat COVID-19 pada Isnin.

    Perkara itu dimaklumkan oleh sumber Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan tidak rasmi sebentar tadi ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

    Menurut kenyataan tidak rasmi itu, Jaimin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Sabah telah hadir ke Kompleks Parlimen sepanjang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 hingga 29 Julai lalu.

    “Semua ujian swab yang dibuat beliau iaitu saringan awal yang dibuat untuk hadir ke Parlimen dan saringan pada Khamis 29 Julai 2021 di Parlimen menunjukkan negatif,” demikian katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

    Jelas sumber tersebut lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan susulan akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Terbaharu, MOTAC dalam kemas kini di laman Facebook rasmi kementerian itu mengesahkan mengenai kematian Jaimin.
    Kementerian itu turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allajyarham.

    Sebelum ini, KKM memaklumkan sekurang-kurangnya 56 kes positif COVID-19 dikesan setakat 28 Julai hasil ujian saringan COVID-19 yang dijalankan antara 21 hingga 25 Julai lalu bagi sesi Mesyuarat Khas Parlimen.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.

    Sebelum ini, KKM turut mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai ditangguhkan untuk tempoh dua minggu bermula dari 29 Julai.

    Saranan tersebut dibuat setelah mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 daripada berlaku di Parlimen.