Tag: MOSTI

  • MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima sebanyak 322 permohonan geran Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 sejak Januari sehingga bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata, peruntukan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan ditawarkan bagi pembangunan aplikasi tempatan berinovatif sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

    “Pengkhususan yang diberi keutamaan (untuk geran ini) termasuk bidang tenaga, perniagaan, perkhidmatan kewangan, budaya, kesenian dan pelancongan, serta perubatan dan kesihatan.

    “Inisiatif ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti terlibat dengan pulangan pelaburan yang terjamin,” katanya ketika berucap selepas melawat Tapak Projek Ternakan Moden Kelulut Modular Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kluang, hari ini.

    Beliau berkata, dari 2015 hingga tahun lepas, inisiatif MySI yang membabitkan dana berjumlah RM48 juta menerusi 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif, berjaya memanfaatkan hampir 100,000 penerima di seluruh negara.

    Untuk rekod, MySI merupakan antara usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

    Penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjakkan ekonomi negara daripada negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi, selain menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

    Sementara itu, Dr Adham berkata, Projek Teknologi Bee-Modular-UTM yang berasaskan prinsip tanggungjawab sosial menerusi aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), telah memanfaatkan 100 komuniti B40 melalui ternakan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan berkesan.

    Katanya, projek tersebut dijangka dapat menghasilkan pendapatan sehingga RM1,500 sebulan bagi setiap set modular sarang lebah, bergantung kepada hasil jualan produk mentah seperti madu dan produk hiliran. – Bernama

  • MOSTI sasar peruntukan RM100 juta untuk MGC tahun depan

    MOSTI sasar peruntukan RM100 juta untuk MGC tahun depan

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan peruntukan RM100 juta tahun depan sebagai dana bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Malaysia Grand Challenge (MGC).

    Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, RM80 juta diperuntukkan untuk program MGC tahun ini bagi membolehkan kementerian itu menggalakkan pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang sains, teknologi dan inovasi.

    “Dana MGC ini ditawarkan kepada individu termasuk golongan belia berusia 18 tahun ke atas serta syarikat pemula (start-up company) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    “Pemohon bawah 18 tahun juga boleh dipertimbangkan (memohon) dengan syarat mendapat sokongan daripada badan bertauliah selain memenuhi syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama tiga bakat muda yang menghasilkan inovasi kreatif baru-baru ini.

    Pada pertemuan itu MOSTI menyumbangkan RM3,000 kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist di Kuantan, Siti Maryam Muzzamir, 11, yang ciptaan beliau -inovasi makanan haiwan ‘Yam 2.0’ daripada kulit udang dan siput membolehkan beliau merangkul tiga pingat emas pada pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.

    Sumbangan RM3,000 juga diberikan kepada gandingan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri dan Mohd Fahad Saleem, masing-masing 24 tahun, kerana mencipta inovasi Smart Bandage sehingga dinobatkan pemenang 3M Inspire Challenge di peringkat Asia Tenggara.

    Dr Adham berkata, MOSTI komited untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada bakat muda tempatan bagi menghasilkan inovasi, bermula daripada peringkat awal.

    Justeru, untuk turut membantu bakat muda di kawasan luar bandar mengetengahkan produk sains dan teknologi mereka, Dr Adham berkata pihaknya akan berusaha memperluaskan program ‘Ruang Reka Komuniti’ ke setiap daerah yang ketika ini hanya dilaksanakan di Kuala Terengganu dan Paroi, Negeri Sembilan.

    “Ruang Reka Komuniti ini bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda untuk memahami lebih mendalam tentang sains tetapi juga memperjelaskan bentuk pembangunan kerjaya yang boleh diceburi selepas terlibat dengan inovasi,” katanya. – Bernama

  • MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

    MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun hadapan

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

    Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 4,145 individu dalam bidang ‘deeptech’ (deep technology) dan berkaitan, telah mendapat pekerjaan melalui inisiatif itu bermula awal Januari hingga 31 Ogos lepas.

    Katanya MOSTI menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional, bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

    “Jadi sasaran 4,700 peluang pekerjaan menerusi inisiatif tersebut diyakini dapat dicapai sebelum akhir tahun ini,” katanya pada pemberita selepas melawat Program Ruang Reka di Taman Rasa Sayang, Paroi di sini hari ini.

    Beliau berkata MOSTI sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC) memberi tumpuan kepada kluster ‘Deeptech’ dan ‘Future Skills’, yang memainkan peranan penting memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden, selain mempercepat penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan dron.

    Mengenai program hari ini, Adham berkata Program Ruang  Reka Komuniti merupakan inisiatif pembangunan usahawan inovasi (innopreneur), untuk mengalakkan lebih ramai dalam kalangan B40 dan M40 menceburi bidang keusahawanan berlandaskan  Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

    Katanya program tersebut dikendalikan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat, melalui aktiviti pengkomersialan.

    “Melalui Ruang Reka ini, pendedahan dan latihan kemahiran dalam penggunaan teknologi seperti 3D Printer, Robotik, Virtual Reality (VR) bagi aktiviti inovasi mereka,” katanya.

    Katanya setakat ini YIM membangunkan dua projek rintis Ruang Reka di Taman Rasa Sayang di Paroi dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Kuala Terengganu.-BERNAMA

  • MOSTI peruntuk hampir RM60j untuk R&D vaksin Covid-19

    MOSTI peruntuk hampir RM60j untuk R&D vaksin Covid-19

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan hampir RM60 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin COVID-19 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bekalan vaksin dari luar negara.

    Timbalan menteri berkenaan Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata daripada jumlah itu, RM54 juta disediakan kepada Malaysia Genome Institute (MGI), manakala RM2.5 juta bagi kumpulan pengkaji pembangunan vaksin menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).

    “Peruntukan berjumlah RM2.5 juta lagi disediakan untuk tujuan pembangunan vaksin dari toksin kuman yang dinyahaktif di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya selepas merasmikan program mobilisasi vaksin komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang Fasa 8.0 di Pantai Senok di sini hari ini.

    Beliau berkata menerusi R&D vaksin itu, kementerian menjangkakan vaksin tempatan akan dapat dikeluarkan dalam tempoh dua hingga lima tahun.

    Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata kementerian turut melaksanakan diplomasi sains dengan negara-negara luar serta universiti di luar negara bagi tujuan tersebut. 

    “Misalnya untuk kajian vaksin jenis mRNA, kita jalin kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand yang menjadi perintis pembangunan vaksin itu.

    “Proses ini melibatkan hubungan antarabangsa di mana kementerian dan pihak berkaitan perlu memainkan peranan yang penting untuk kejayaan pembangunan vaksin,” katanya.

    Ahmad Amzad juga berharap Malaysia bakal menjadi pengeluar dan pengimport vaksin terutama bagi pasaran negara-negara Islam. 

    “Kira berharap dengan melibatkan di peringkat awal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita akan mendapat manfaat sebab masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin dikeluarkan oleh negara Islam,” katanya.- BERNAMA