Tag: Mossad

  • Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.

    “Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.

    “Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam ini.

    Hamzah berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.

    Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – BERNAMA

  • Warga Palestin diculik: Setakat ini Mossad tak terbabit – Polis

    Warga Palestin diculik: Setakat ini Mossad tak terbabit – Polis

    POLIS Kuala Lumpur sedang berusaha mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan agensi perisikan luar dalam kes penculikan warga Palestin di ibu negara pada 28 September lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya setakat ini tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad dalam kes berkenaan.

    “Kita tidak dapat mengesahkan lagi adanya pembabitan agensi perisikan luar terbabit dalam kes penculikan ini.

    “Jadi apabila timbul spekulasi berhubung agensi yang dinyatakan (Mossad), ia mengganggu siasatan kami dan saya tidak tahu mana mereka dapat maklumat berkenaan,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kelmarin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan ada ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pula meminta orang ramai tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat sehingga boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

    Laporan NST mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

    Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

    Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

    Sebelum ini, seramai 18 individu lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas antara 29 September sehingga 4 Oktober lalu dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Melaka selepas terbabit dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 28 September lalu.

    Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Pada 14 Oktober lalu, 11 individu termasuk seorang wanita kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas dipercayai terbabit dalam kes penculikan berkenaan.

    Motif penculikan terbabit dipercayai untuk mendapatkan maklumat berkaitan perisian menggodam telefon bimbit yang dimiliki warga Palestin berkenaan.

    Azmi berkata, pada masa ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan kebenaran laporan akhbar berkenaan.

    “Saya tak boleh nak mengesahkan sama ada laporan itu benar atau tidak sebab siasatan masih berjalan,” katanya.

    Mengulas siasatan terhadap laporan itu, beliau mengesahkan polis sudah memanggil penulis berita itu bagi membantu siasatan.

    Katanya, polis turut menyedari terdapat penularan berhubung identiti saksi dalam kes penculikan warga Palestin terbabit.

    “Kita akan siasat semua perkara ini dan setakat ini, pihak kami masih belum menerima sebarang laporan,” katanya.

  • Suspek mengaku Mossad arah bunuh Imam Fadi al-Batsh

    Suspek mengaku Mossad arah bunuh Imam Fadi al-Batsh

    SUSPEK yang ditahan di Gaza kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada 2018, dikatakan mengaku jenayah itu dilakukan atas arahan agensi perisikan rejim Zionis Israel, Mossad.

    Maklumat itu dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara Palestin, Iyad Albizm dalam kenyataan media hari ini.

    “Sebagai sebahagian daripada tindakan susulan Agensi Keselamatan Palestin ke atas kes pembunuhan syahid Fadi Albatsh di Malaysia pada 21 April 2018 dan melalui siasatan berterusan yang dijalankan oleh Keselamatan Dalam Negeri, pengakuan seorang yang sedang dalam tahanan menunjukkan penglibatannya dalam pembunuhan asy-syahid Albatsh atas arahan agensi Mossad Israel.

    “Siasatan dalam kes itu masih diteruskan,” katanya.

    Terdahulu, aktivis kemanusiaan di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan tentang penahanan suspek tersebut dalam laman Facebook beliau hari ini.

    “Hangat dari Gaza: Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di KL tahun 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.

    Beliau menambah, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

    Walau bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap.

    “Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

    Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Imam, Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

    Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

    Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

    Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

    Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.