Tag: moratorium khas PMKS

  • MPN saran beri moratorium sekali lagi, banyak PKS masih terjejas

    MPN saran beri moratorium sekali lagi, banyak PKS masih terjejas

    MESKIPUN wabak COVID-19 sudah ke tahap endemik dan kesemua sektor ekonomi dibuka semula bagaimanapun ia masih belum dapat dipulihkan seperti sediakala.

    Antara terjejas teruk adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan hampir sejuta syarikat yang menyumbang 34 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Atas dasar itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah membuat akuan supaya moratorium dikembalikan bagi membantu PKS yang berdepan dengan pelbagai masalah memperkukuhkan semula perniagaan mereka.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui, didatangi peniaga yang berterima kasih kepada kerajaan pimpinannya ketika menjadi Perdana Menteri kerana telah memberikan banyak bantuan termasuk moratorium ketika pandemik memuncak.

    Malah, katanya, mereka juga mengakui tidak mungkin mampu menyelamatkan perniagaan sekiranya tiada bantuan tersebut dan meminta jasa baik supaya moratorium dikembalikan sekali lagi.

    “Banyak syarikat walaupun kita kata boleh buka sekarang, dia tak boleh buka sepenuhnya. Kenapa? Duit? Cash flow? Bayaran pinjaman? Lepas tiada lagi moratorium. Dia kata macam mana nak buat, meniaga baru nak buka.

    “Perniagaan itu tak mempunyai keupayaan dari segi sumber kewangan kukuh, pinjaman mudah, cash flow yang agak terganggu sebab isu-isu tertentu. Sebab itu antara perkara yang saya usulkan pada kerajaan dalam perakuan itu ialah moratorium.

    “Mesti diberikan (bantuan) macam kita buat dulu. Ramai yang dapat moratorium datang jumpa saya, thank you sir kalau tan sri tak buat dah tutup dah. Tapi dah buka balik semua, orang yang sama datang jumpa saya kata sir i need another round of support,” katanya ketika ditemui UtusanTv, baru-baru ini.

    Muhyiddin yang pernah memimpin negara pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda menegaskan, kerajaan tidak akan terbeban sekiranya usaha yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil itu dijalankan kerana ia ditanggung oleh institusi kewangan swasta.

    Katanya, apa yang diperlukan sekarang adalah persetujuan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebelum mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaannya.

    “Ini bukan soal kewangan kerajaan yang keluar, ini daripada institusi kewangan swasta, perbankan. Duit siapa keluar, bukan duit kerajaan.

    “Laporan daripada semua bank yang beri moratorium semua beri untung besar, dia bagi moratorium bukan dia bagi percuma, bayaran lewat, bank ada duit banyak, bayar lambat pun ada bank tutup? Kalau bagi lagi enam bulan saya tak fikir dia tanggung kerugian,” katanya lagi.

    Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, MPN juga campur tangan di dalam sektor yang paling terkesan iaitu pelancongan susulan masih banyak negara belum membenarkan rakyat mereka keluar merentasi sempadan.

    Katanya, hasil pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati negara memerlukan tempoh masa lima tahun untuk pulih sepenuhnya dalam sektor tersebut.

    “MPN buat keputusan mintak mereka (MOTAC) teliti semula, buat pelan baru dengan harapan tempoh masa lima tahun itu boleh kurangkan katalah empat tahun.

    “China tak boleh buka, banyak pelancong China datang dulu dekat empat juta tapi sekarang seorang pun tak datang tapi ada negara sudah buka. Beralih pergi India sebagai contoh.

    “(Pemulihan boleh berlaku dengan contoh) kerajaan bagi bantuan pada hotel, pengecualian cukai atau pun bagi bantuan buat promosi ke luar negara secara agresif. Bagilah RM100 juta macam pernah buat dulu kempen Visit Malaysia Year, fokus area mana-mana, panggil industri penerbangan,” katanya.

    Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan, soal pemulihan negara perlu mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri dan Kabinet secara keseluruhannya.

    Katanya, sekiranya perkara itu tidak berlaku, maka usaha untuk melihat pemulihan negara selepas dibadai pandemik COVID-19 akan berjalan perlahan.

    “Soal pemulihan ini if tak ada intervention hands on by non other than PM (Perdana Menteri) dan Kabinet then pemulihan kita akan lambat. Saya hands on, buat intervention dan saya buat perakuan.

    “Dalam MPN pun ramai pakar, mereka ini bukan politik, dalam itu pun ada wakil-wakil politik, bipartisan, it’s no politik, it’s about secepat mana negara boleh pulih. Bukan sahaja pulih tapi meningkat naik pertumbuhannya dan pemulihannya akan lebih cepat lagi,” katanya.

  • Moratorium khas PMKS dapat kurangkan tekanan

    Moratorium khas PMKS dapat kurangkan tekanan

    MORATORIUM khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti yang dicadangkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini dapat mengurangkan tekanan kepada perniagaan tersebut.

    Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr Abd Halim Husin berkata, ini kerana PMKS berdepan tekanan untuk pembayaran semula pinjaman apatah lagi sedang melalui pemulihan susulan pandemik COVID-19.

    Pada masa sama, Abd Halim memaklumkan, proses pemulihan PMKS juga dilihat tidak seiring dengan pemulihan ekonomi dalam negara.

    Berdasarkan data, kata beliau, sektor besar seperti elektrikal dan elektronik (E&E) sahaja yang mungkin semakin pulih.

    Beliau memberitahu, suasana itu tidak dirasai PMKS yang masih berdepan kesukaran untuk bangkit semula.

    “PMKS sedang merasakan tekanan yang lebih disebabkan kedudukan faedah yang semakin bertambah di samping senario peningkatan inflasi.

    “Saya juga berpendapat peratifikasian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) perlu ditangguhkan kerana ia dilihat menambah beban kepada PMKS.

    “PMKS akan lebih tertekan kerana terpaksa bersaing dengan pengusaha yang masuk ke Malaysia kerana mereka mempunyai modal dan kuasa beli lebih besar,” katanya kepada UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Abd Halim turut menyeru kerajaan supaya mengurangkan pembelian daripada syarikat asing, sebaliknya meningkatkan perolehan daripada pembekal tempatan.

    Kata beliau, langkah tersebut boleh meningkatkan daya tahan PMKS untuk terus bersaing secara sihat.

    “Dengan cara itu sahaja kita dapat memberikan ketahanan kepada PMKS iaitu melalui jualan kepada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Ini akan menyebabkan mereka lebih berdaya saing di samping meningkatkan peluang pekerjaan,” jelas beliau.

    Bulan lalu, Muhyiddin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor PMKS.

    Menurut Muhyiddin, perkara itu perlu memandangkan sektor tersebut masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) yang memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi.

  • Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    Moratorium PMKS bergantung kepada bank – Tengku Zafrul

    CADANGAN pemberian moratorium pinjaman kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bergantung kepada pihak bank.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan moratorium menyeluruh seperti dilaksanakan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan berhasil.

    Menurutnya, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.

    Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.

    “Kerajaan bukan pemilik bank namun kami boleh mengalakkan dasar yang membantu (orang ramai),” katanya sebagaimana laporan Free Malaysia Today.

    Tambah Tengku Zafrul, setakat ini ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh hasil daripada peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik.

    Oleh itu katanya, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 mungkin bukan penyelesaian terbaik buat masa ini,

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak termasuk kenaikan kadar OPR.

  • Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempertimbangkan mengenai pemberian moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

    Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, untuk itu sesi perbincangan akan diadakan dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

    “Kita akan bincang …saya tidak boleh cakap sekarang…kita kena berbincang dengan Kementerian Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan,” katanya ringkas kepada media, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Ismail Sabri mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang mencadangkan perkara itu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin dilaporkan berkata, sektor PMKS kini menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

    “Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” katanya.

  • Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan pemberian moratorium kepada sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

    Menurut beliau, sepertimana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di Malaysia tidak mengalami kerugian pun.

    “Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.

    “Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja.

    “Saya telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

    Kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kesan dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.