Tag: Moratorium

  • Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    Bil elektrik melambung 30 peratus, hotel, peruncit tuntut moratorium

    LANGKAH mengenakan surcaj 3.7sen/kWj kepada pengguna bukan domestik menyaksikan operasi hotel, taman tema, pusat beli-belah dan peruncit mengalami peningkatan 20 hingga 30 peratus bil elektrik.

    Tujuh pertubuhan peniaga dalam kenyataan bersama berkata, peningkatan ketara itu berlaku berbanding tahun sebelumnya, melibatkan penggunaan jumlah tenaga sama.

    Kata kenyataan itu, peningkatan mendadak bil tenaga dikatakan “tidak adil”, memandangkan sektor terbabit antara paling terkesan akibat pandemik Covid-19, selain perlu mematuhi pembayaran gaji minimum RM1,500.

    “Justeru, kami secara ikhlas menggesa kerajaan menyediakan moratorium bagi tarif elektrik baharu ini kepada semua pengguna komersial hingga hujung 2023 demi memberi tempoh untuk kembali pulih.

    “Tekanan berterusan terhadap perniagaan ketika Malaysia sedang merancakkan pelancongan menjejaskan kami kerana sukar beroperasi secara cekap.

    “Kami berharap mendapat maklum balas menggalakkan tidak lama lagi dan sentiasa terbuka berunding bersama pihak kementerian demi kebaikan industri di Malaysia,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pertubuhan menandatangani kenyataan itu melibatkan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho)

    Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga berkata, kos elektrik meningkat 45 peratus kesan pertambahan harga arang batu, di mana Semenanjung bergantung tinggi kepada sumber itu.

    Pada Mac tahun lalu, peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb 2022, kegagalan mengambil tindakan itu memaksa kos itu dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menaikkan harga.

  • [TAWARAN PN] Moratorium bersasar, tabung pelaburan RM5 bilion jadikan Malaysia paksi ekonomi

    [TAWARAN PN] Moratorium bersasar, tabung pelaburan RM5 bilion jadikan Malaysia paksi ekonomi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan politik itu akan menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion.

    Beliau berkata, kerajaan PN akan menggalakkan perkembangan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

    “Bagi merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, kita akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

    “Antaranya meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

    “Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.

    Dengan tema “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

    Muhyiddin berkata, kerajaan PN juga akan membangunkan sektor pertanian dan industri makanan menjadi lebih rancak.

    Beliau menambah, untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat pada harga munasabah, enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik dengan pelan penggunaan tanah yang komprehensif bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara.

    “Selain itu, peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk dana Fund for Food akan disediakan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga makanan,” katanya.

    Beliau menambah, kerajaan PN juga menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam bidang berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

    Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, PN juga akan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat yang susah.

    Sehubungan itu katanya, PN menawarkan pewujudan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti yang akan menyelaras pemberian pelbagai bentuk bantuan dan subsidi kepada rakyat.

    “Setiap tahun kerajaan memperuntukkan antara 50 hingga 70 bilion ringgit dalam bentuk subsidi dan bantuan sosial. Tetapi penyaluran bantuan diurus oleh kementerian dan agensi yang berbeza-beza.

    “Dengan adanya sebuah agensi tunggal ini, data-data mengenai rakyat yang memerlukan bantuan akan dikumpulkan secara real time dan dimasukkan ke dalam satu pangkalan data tunggal supaya bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera dan tidak ada seorang pun yang layak tertinggal daripada menerima bantuan.

    “Kita juga akan terus memperkasa Agenda Pembasmian Kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas sosial dan wilayah,” katanya.

    Muhyiddin berkata, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam yang berpendapatan rendah, Perikatan Nasional menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.

    Perikatan Nasional katanya, juga akan memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan yang cekap dan mesra rakyat melalui kerangka dan sistem pengurusan kesihatan negara yang holistik, terutamanya dengan mengambil kira keperluan kesihatan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua atau aging nation.

    “Selain itu, Kad Prihatin Nasional akan diperkenalkan untuk memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

    “Perikatan Nasional juga akan memantapkan sistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global. Ini termasuk menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan sekolah sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun bagi tempoh 2023-2025,” ujarnya lapor portal Satuberita.

  • Moratorium, bantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional

    Moratorium, bantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional

    PEMBERIAN moratorium dan membantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, PN turut memberikan komitmen melaksanakan apa terkandung dalam Bajet 2023 yang sudah dibentang tetapi tidak sempat dibahas dan dilululuskan.

    Malah kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu, jika ada keperluan, Bajet tersebut akan ditambah baik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

    “Cadangan pemberian moratorium ini pernah kita cadangkan tetapi tidak dibuat kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri (Datuk Seri).

    “Saya jangka moratorium ini boleh kita buat kerana kalau Kementerian Kewangan dulu sudah boleh buat minta Bank Negara mengarahkan bank dalam negara kita memberikan moratorium.

    “Yang lepas kita buat (moratorium) bank tidak menanggung rugi. Malah bank menambah pendapatan dia, kerana moratorium menangguh hutang, bila ekonomi baik dia dapat balik. Dia tak rugi,” katanya pada sidang media di Pagoh, Muar, hari ini.

    Terdahulu Muhyiddin menghadiri program Sembang Santai bersama masyarakat Cina di pekan Bukit Kepong dan menghadiri majlis sarapan di Kampung Permatang Pasir, Bukit Pasir, Pagoh.

    Muhyiddin berkata, manifesto PN akan diumumkan selepas penamaan calon, lapor SatuBerita.