Tag: mohon maaf

  • Amanah mohon maaf kepada UMNO atas ‘keterlanjuran’ Khalid

    Amanah mohon maaf kepada UMNO atas ‘keterlanjuran’ Khalid

    BERIKUTAN kontroversi kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak, parti itu hari ini memohon maaf kepada UMNO.

    Permohonan maaf itu dibuat Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di kediaman rasmi timbalan perdana menteri hari ini.

    “Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf atas kenyataan ketua komunikasi Amanah (Khalid) baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO maka kami minta maaf, yang penting bagi saya adalah memperkukuhkan kedudukan kita dalam kerajaan dan rakyat.

    “Kami sibuk sekarang menyelesaikan isu rakyat dan kita sedang berdepan dengan enam PRN, jadi kita beriltizam memperkukuhkan jentera, ukhuwah kita dan kekuatan parti kita bersama dalam kerajaan perpaduan. Itu lebih penting bagi saya dan sebarang ketelanjuran itu biasa bagi orang politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria.

    Mengulas lanjut Salahuddin berkata, apa yang berlaku disebabkan keterlanjuran Khalid dan Amanah tidak malu memohon maaf.

    “Kadang-kadang kita terlanjur dan tak ada malunya untuk kita mohon maaf sekiranya melukakan dan harap isu ini dapat diselesaikan.

    “Saya sendiri bersama presiden UMNO dan sebentar tadi pun saya berkunjung timbalan presiden UMNO menyatakan perkara sama,” katanya sambil memaklumkan Najib berhak memohon pengampunan.

    Ditanya sama ada Khalid akan dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin Amanah, Salahuddin berkata tiada keperluan berbuat demikian dan ia cukup sekadar membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Sebelum ini, Khalid berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden UMNO itu ditolak.

    Kenyataan Khalid mendapat kritikan pemimpin UMNO, termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

  • Azan Maghrib awal dua minit, masjid mohon maaf

    Azan Maghrib awal dua minit, masjid mohon maaf

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENTADBIR Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan Maghrib, dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.

    Timbalan Pengerusi masjid itu, Ustaz Ahmad Nasir berkata, kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

    “Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqadha’.

    “Begitulah pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hambali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’,” katanya dalam satu kenyataan rasmi masjid itu bertarikh 1 April lalu.

  • Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    BEKAS pemain badminton tempatan, Bong Guang Yik hari ini membuat permohonan maaf selepas kenyataannya yang berbaur perkauman menerima kecaman ramai pihak.

    Menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, Guan Yik berkata, dia mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menegur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi lebih baik.

    Namun dia mengakui mengeluarkan kenyataan bersifat ekstrim kerana menyentuh sensitiviti orang Melayu.

    “Di sini saya ingin memohon maaf kepada rakan badminton Melayu di Malaysia. Minta maaf.

    “Kandungan video ini saya kata masalah BAM tetapi di bahagian belakang saya kaitkan dengan isu perkauman,” katanya, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Guang Yik berkata, dia berharap agar tahap pengurusan pihak BAM bagus di setiap peringkat yang akan melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

    Dia turut mengakui ramai rakan-rakannya di Malaysia menghubunginya selepas mengeluarkan kenyataan rasis tersebut.

    Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki dipercayai bekas pemain badminton tempatan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap BAM.

    Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Bong Guang Yik mendakwa pengurusan BAM yang majoritinya dimonopoli orang Melayu menyebabkan prestasi pemain-pemain yang bernaung di bawah persatuan tersebut terjejas teruk.

    Rentetan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Tsuan mengecam tindakan Guang Yik dalam satu kenyataan terbuka.

    Hannah memaklumkan, beliau telah melakukan semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM berhubung identiti bekas pemain tersebut.

    Jelas beliau, hasil semakan itu mendapati yang Guang Yik bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014.

    Hannah berkata, Guang Yik juga kini tidak lagi menetap di Malaysia dan dipercayai berada di luar negara.

  • Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    JURULATIH bola tampar kontroversi yang menampar dua pemain remaja pasukannya hingga tular di media sosial baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.

    Saiful Hadee Amar, 44, mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.

    Katanya yang juga seorang pendidik, dia bersedia dan reda dengan sebarang tindakan dan keputusan yang bakal dikenakan atas keterlanjuran perbuatannya dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada dirinya.

    “Tidak berniat saya untuk mengambil tindakan (menampar) sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka.

    “Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pemain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, di Krubong hari ini, lapor Sinar Harian.

    Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

    Media sebelum ini melaporkan video tular kejadian yang memaparkan seorang jurulatih bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

    Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan,

    Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.

  • ‘Prank’ campak kek: Pak Nil mohon maaf, kesal kelakuan peserta program

    ‘Prank’ campak kek: Pak Nil mohon maaf, kesal kelakuan peserta program

    PENGACARA popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa kesal beliau berikutan sebuah video prank ‘kasar’ yang dilakukan oleh salah seorang peserta program di bawah anjurannya dan tular baru-baru ini.

    Menenerusi video yang tular tersebut, peserta berkenaan dilihat mencampakkan sebiji kek ke muka seorang wanita di sebuah taman permainan dengan alasan hanya mahu menguji kesabaran wanita itu yang juga merupakan seorang ibu kepada anak kelainan upaya (OKU).

    Bagaimanapun, Aznil atau mesra disapa Pak Nil yang juga bertindak selaku mentor program tersebut berkata tindakan peserta itu sudahpun melampui batas.

    Malah dia sebagai Mentor pernah berpesan untuk tidak melakukan konten yang sedemikian.

    “Saya tertarik untuk mengulas sebuah video prank yang melampau, Pak Nil selaku mentor kepada peserta tersebut sangat kesal dengan kejadian ini.

    “Sebab sebagai mentor saya pernah pesan kepada mereka bahawa prank di Malaysia tidak boleh sama dengan prank yang dilakukan oleh warga di negara lain.

    “Kita masih mempunyai tanggungjawab terhadap agama, budaya dan negara. Masih tertakluk kepada tatasusila, itu perkara yang sangat saya utamakan,” katanya, lapor portal hiburan Gempak.

    Beliau menyatakan rasa kesalnya itu menerusi satu hantaran video di laman TikTok miliknya baru-baru ini.

    Pak Nil pada masa sama turut mengulas mengenai objektif utama program tersebut dianjurkan di mana ia bertujuan mahu melahirkan golongan anak muda yang mampu melakukan konten yang berkualiti.

    “Mengenai projek ini, ia adalah tayangan untuk TikTok dan YouTube dengan tujuan ingin mereka mempunyai satu konten yang berkualiti daripada segi produksi dan juga isi.

    “Disebabkan bekerjasama dengan TikTok, peserta-peserta ini hanya tertakluk kepada garis panduan komuniti (Community Guideline) yang disediakan oleh pihak TikTok.

    “Seandainya TikTok melihat ia adalah sesuatu yang tidak mengganggu gugat komuniti, video itu masih lagi boleh dilihat di akaun peserta-peserta kami,” tambahnya.

    Sementara itu, Pak Nil yang mewakili pihak produksi program tersebut memohon maaf kepada semua pihak yang terasa dan dia turut memaklumkan akan berusaha untuk berjumpa dengan peserta berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar.

    “Untuk itu saya selaku wakil program tersebut ingin memohon maaf dan akan mengambil peluang untuk berjumpa peserta tersebut untuk mengetahui apa sebenarnya plan dia pada asalnya.

    “Saya harap ini juga menjadi pengajaran pada semua orang untuk menghasilkan konten-konten yang lebih berkualiti dan jauh beza daripada budaya luar,” tambahnya.

  • Juruterbang helikopter terhempas mohon maaf, kongsi detik cemas

    Juruterbang helikopter terhempas mohon maaf, kongsi detik cemas

    JURUTERBANG sebuah helikopter yang terhempas ketika pendaratan cemas di Brinchang, Cameron Highlands semalam bersyukur kerana masih selamat walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya dan lima penumpang lain.

    Menurut Kapten Fedzrol Norazam, 43, kejadian itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menggoyahkan perasaannya untuk kembali ‘ke udara’ dengan mengemudi helikopter.

    Namun begitu, di sebalik perasaan itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tetap mahu memohon maaf atas nahas udara yang berlaku itu.

    “Saya ingin memohon maaf atas apa yang telah terjadi. Walaupun ini ketentuan Tuhan, mungkin ia juga terjadi akibat kesilapan saya.

    “Kita tak tahu bagaimana ia boleh terjadi. Namun apa yang penting, semua berada dalam keadaan selamat,” katanya, lapor Astro Awani di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini.

    Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menziarahi beliau dan lima mangsa lain yang terlibat dalam nahas helikopter di Brinchang pada tengah hari semalam.

    Dalam pada itu, Fedzrol turut menceritakan detik-detik cemas sebelum helikopter yang dikemudikan itu terpaksa membuat pendaratan cemas sebelum terhempas.

    Katanya ketika dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin, Gua Musang menuju ke Ipoh, mereka berdepan dengan cuaca buruk yang memaksanya untuk menggunakan laluan udara alternatif.

    Menurutnya lagi, nasib tidak menyebelahinya apabila seolah-olah berlaku ganguan udara di laluan alternatif tersebut sehingga Fedzrol gagal mengawal helikopter yang dipandu.

    “Apabila tiba di ruangan laluan udara alternatif itu,saya terpaksa membuat pendaratan kecemasan dengan menggunakan teknik ‘pitch-up altitude’ supaya hentaman ke darat bermula pada ekor helikopter.

    “Itu yang saya lakukan, namun ketika itu keadaan atau faktor angin tidak baik dan mungkin disebabkan itu juga hentaman helikopter telah menyebabkan saya tidak sedarkan diri sementara,” katanya lagi.

    Fedzrol berkata beliau kembali tersedar selepas namanya dipanggil salah seorang petugas perubatan selepas helikopter itu terhempas dan menjadi yang terakhir keluar daripada bangkai kenderaan udara berkenaan.

    Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari Rabu lalu, helikopter berkenaan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Brinchang.

    Helikopter yang membawa enam penumpang termasuk juruterbang itu dalam perjalanan dari Kampung Gawin ke Ipoh, selepas selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli berkenaan.

    Akibat insiden itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari lokasi nahas secara berperingkat sehingga pukul 9.07 malam.

  • Janna mohon maaf dendang lagu Gatal secara ‘miming’

    Janna mohon maaf dendang lagu Gatal secara ‘miming’

    PENYANYI lagu Gatal, Janna Nick memohon maaf ekoran tindakannya mempersembahkan lagu tular itu secara ‘miming’ semasa pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, malam tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, tindakan Janna itu dikritik netizen malah dianggap memalukan AIM yang selama ini dianggap pentas berprestij apabila menampilkan penyanyi dan pemuzik hebat dalam setiap edisi penganjurannya.

    Melalui hantaran Instagram (IG), Janna memohon maaf dan mendakwa dia bukan sengaja beraksi secara ‘miming’, sebaliknya, berpunca kesihatan yang terjejas.

    “Saya minta maaf kerana dianggap memalukan AIM23 apabila ‘miming’ di pentas berprestij itu.

    “Peluang untuk beraksi di pentas besar sebaris penyanyi hebat tanah air memang sudah lama saya impikan.

    “Kali pertama ditawarkan, saya sangat berbesar hati. Namun, sejak dijangkiti influenza dua minggu lalu, kesihatan saya amat terganggu,” katanya.

    Sejurus tampil di pentas AIM 23 malam tadi, aksi Janna yang mendendangkan single Gatal secara ‘miming’ dikritik peminat.

    Rata-rata netizen menganggap aksi Janna mencemar martabat AIM.

    Namun, ada juga yang berpendapat aksi ‘miming’ adalah pilihan terbaik bagi Janna yang mungkin hanya memalukan diri sendiri jika menyanyi secara ‘live’.

    Janna berkata, biarpun dinasihati doktor agar berehat, selain AIM 23, dia meneruskan penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 serta memenuhi undangan di Jakarta, Indonesia dan Singapura.

    “Tanpa sedar, pilihan saya memakan diri.

    “Terima kasih kepada Warner Music, Efry Arwis dan Sabrina Azman kerana berusaha mengembalikan suara saya… Segala kesulitan amat dikesali,” katanya melalui hantaran itu.

    Pada AIM 23, muzik video Gatal arahan Chuan Looi diumumkan pemenang kategori Muzik Video Terbaik.

  • Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    SELEPAS terbabit kemalangan semalam, pelakon Ikmal Amry hari ini tampil memohon maaf susulan kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang menyebabkan keretanya berpusing dan terbalik.

    Insiden yang juga melibatkan dua buah kenderaan lain berlaku ketika Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 28, dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk menziarahi keluarganya.

    Menurutnya, pada hari kejadian, dia memandu dalam keadaan kurang rehat setelah selesai menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi.

    “Hari sebelum kejadian saya menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi dan sudah berjanji untuk pulang menziarahi
    keluarga.

    “Saya hanya sempat berehat selama tiga jam. Dalam keadaan kurang rehat, saya gagahkan diri memandu. Saya akui ia satu
    kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang sihat,” katanya.

    Iqmal membuat penjelasan itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Ahad.

    Menurut Iqmal, beliau meminta orang ramai tidak mengeruhkan keadaan berhubung kejadian itu.

    “Jika betul saya bersalah, pihak berwajib sahajalah yang berhak untuk selesaikan.” katanya.

    Laporan mStar sementara itu menyatakan, salah satu mangsa, pemilik MyVi biru bernama Norliana Abdul Hamid turut mendedahkan keluarganya antara yang terlibat dalam kejadian tersebut.

    Liana mendakwa Ikmal memandu laju dan enggan bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.

  • [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    [video] Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

    SELEPAS dikritik hebat pengguna media sosial, Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim malam tadi memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid itu, baru-baru ini.

    Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra, Ikmal memaklumkan, pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.

    “Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

    “Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya malam tadi.

    Ikmal sehubungan itu mengajak jemaah Masjid Putra agar terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak masjid.

    Menerusi satu video yang tular sebelum ini, Ikmal menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tular tersebut dan menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran klip video tersebut.

    Ikmal dilaporkan berkata, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

    Beliau dilaporkan turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid.

  • Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas kekal, Ziyad mohon maaf

    KEPUTUSAN untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli kekal.

    Ini selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Ziyad ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi ini.

    Permohonan maaf Ziyad dibuat menerusi akaun Instagram miliknya

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

    Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang tuurt meminta Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini.

    Katanya dalam catatan terbaharu di akaun Instagram miliknya, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.

    Terdahulu, Malaysia mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

    Bantahan daripada Kontinjen Malaysia, Australia dan Ecuador akan dibawa ke Mesyuarat Chef de Mission (CDM) pasukan bertanding juga dibawa sekali.

    Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum itu melakukan protes kepada jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status Muhammad Ziyad yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi (DNS) walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir, yang berlangsung di Stadium Olimpik di Tokyo.

    Ziyad sebelum itu secara tidak rasmi berjaya meraih pingat emas kedua untuk negara dan memecahkan rekod dunia pada acara akhir lontar peluru F-20, menerusi lontaran ketiganya, dengan catatan 17.94 meter.

    Kemenangan beliau bagaimanapun dibatalkan selepas atlet Ukraine, Maksym Koval, membuat bantahan.

    Kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.