Tag: Mohd Yusri Hassan Basri

  • Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    POLIS merampas 79 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta selepas membongkar makmal memproses bahan terlarang itu menerusi dua serbuan di Manjung, Sabtu lalu.

    Pada masa sama, polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard dan Ford Mustang serta barang kemas dianggarkan bernilai RM763,693.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pantai Remis kira-kira pukul 7 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam, berumur antara 32 hingga 39 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM95,043.

    Beliau berkata, berikutan itu, kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Panchor, yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan membungkus pil Ecstasy.

    “Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai pil Ecstasy sebanyak (11,838) biji atau anggaran berat 5,592 gram; serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy anggaran berat 38,326 gram; cecair disyaki Ecstasy anggaran berat 31,311 gram.

    “Turut ditemui, daun-daun kering disyaki ganja anggaran berat 2,056 gram; ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (844 gram); dan dadah disyaki heroin (162 gram).

    “Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM5,429,979.80,” katanya lapor Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, turut dirampas ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses serta membungkus dadah.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah lebih RM6,288,716, iaitu yang terbesar tahun ini.

    Katanya lagi, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek, mendapati kesemuanya positif dadah jenis Amphethamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau.

    Menurutnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di Perak yang boleh digunakan kira-kira 258,214 orang penagih dadah.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

  • Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    Polis siasat 2 lelaki lepaskan tembakan di hadapan rumah di Sitiawan

    POLIS sedang menyiasat kes dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Sitiawan, Manjung semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya, disyaki dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

    Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.

    “Mangsa memaklumkan bahawa isterinya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah pada pagi semalam namun tidak mengendahkan perkara tersebut.

    “Pada kira-kira 12.45 tengah hari, pengadu keluar dari rumah untuk mengambil barang lalu menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa dan menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pemeriksaan oleh Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mendapati terdapat kesan lubang pada cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat tembakan dan menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.

    Beliau berkata siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan sedas tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

    “Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- BERNAMA

  • 42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai

    42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai

    SEBANYAK 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya dua kes sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Mohd Yusri yang ditemui pemberita selepas Program #Katakan Tidak Kepada Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, di sini awal hari ini berkata data berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendidikan negeri.

    “Perbezaan itu (dua kes pada tahun lepas kepada 42 kes pada Januari hingga Julai) berikutan penutupan sekolah-sekolah sewaktu fasa pandemik COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata program #Katakan Tidak Kepada Buli bertujuan membendung kejadian buli dalam kalangan pelajar di asrama selain meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar sekiranya terlibat dalam kesalahan jenayah dan buli.

    Mengenai perkembangan kes dua pekerja kuari tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai dekat sini pada 8 Mac lepas, Mohd Yusri berkata pihaknya telah menerima sampel DNA daripada waris Itam Lasoh, iaitu seorang daripada mangsa yang dipercayai tertimbus.

    Beliau berkata pihaknya kini menunggu sampel DNA daripada waris seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, yang difahamkan waris itu berada di luar negara.

    “Kita menunggu sampel daripada waris bagi kita memastikan adakah cebisan tulang yang dijumpai berpadanan dengan kedua-dua mangsa tersebut,” katanya.

    Dilapor pada Khamis lepas, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Itam, 43, dan Kheow, 49, dihentikan selepas penemuan pakaian dan cebisan tulang manusia termasuk jengkaut kedua di lokasi kejadian.

    Kesemua objek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti. – BERNAMA