Tag: Mohd Yusof Ismail

  • Mohd. Yusof kembali jalankan tugas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

    Mohd. Yusof kembali jalankan tugas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail kini kembali melaksanakan tugas seperti biasa setelah Lembaga Disiplin UMNO bersetuju menangguhkan hukuman penggantungan keahlian terhadapnya.

    Menurutnya, penangguhan hukuman itu diputuskan lembaga disiplin parti tersebut setelah UMNO Bahagian Alor Setar membuat rayuan kepada Ibu Pejabat, baru-baru ini.

    Katanya, keputusan sama ada beliau akan tetap menjalani hukuman tersebut hanya akan dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan datang.

    “Untuk menggantung atau memecat ahli, itu tertakluk di bawah bidang kuasa MKT. Buat masa ini, UMNO Pusat telah menangguhkan keputusan penggantungan dikenakan terhadap saya hingga mesyuarat MKT seterusnya.

    “UMNO Bahagian Alor Setar ada buat rayuan kepada UMNO Pusat dan perkara itu dibincangkan. Maka Lembaga Disiplin buat keputusan tangguh dulu penggantungan dan disebabkan iu, saya boleh aktif semula sebagai Ketua Bahagian.

    “Keputusan penuh akan dibuat pada mesyuarat MKT akan datang, bila mesyuarat akan datang saya tak pasti, tetapi biasanya dibuat sebulan sekali,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, di Alor Setar, malam tadi.

    Sebelum ini Mohd. Yusof digantung keahliannya selama enam tahun bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Difahamkan penggantungan kedua-dua mereka dibuat kerana masing-masing didakwa lantang membuat kritikan dengan Mohd. Yusof dikatakan sering melemparkan kritikan dalam kumpulan Whatsapp Ketua UMNO Bahagian.

    Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkaa, beliau hinga kini masih belum dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin selain tidak dimaklumkan mengenai punca dirinya digantung keahlian.

    Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa lagi ahli MKT yang banyak membantu menyelesaikan isu tersebut.

    “Saya tak tahu mengapa diganung sedangkan saya tak pernah dipanggil Lembaga Disiplin. Saya juga tak pernah dimaklumkan telah melakukan apa-apa kesalahan tetapi mungkin tulisan serta teguran saya di Whatsapp merupakan satu kesalahan yang saya lakukan tanpa disedari.

    “Nak kata saya buat sidang media melawan UMNO, tak pernah malah saya sentiasa menyokong parti. Perkara ini akan jadi iktibar buat saya pada masa depan,” katanya.

  • Penggantungan kami mungkin isyarat Presiden kepada PM – Yusof Ismail

    Penggantungan kami mungkin isyarat Presiden kepada PM – Yusof Ismail

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail menganggap penggantungannya dari UMNO bersama Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam sebagai satu isyarat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, Ahmad Zahid seboleh-bolehnya mahu supaya Parlimen dibubarkan segera agar PRU-15 dapat dilaksanakan pada bulan ini juga.

    “Saya fikir tindakan ini adalah mesej yang nak disampaikan kepada Perdana Menteri sebab kedua-dua kami merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, terutamanya dalam kumpulan Ketua Bahagian.

    “Apa pun, saya tetap UMNO dan darah masih ‘biru’ (Barisan Nasional). Kita tunggu sajalah enam tahun, tak lama pun… Cuma enam kali raya saja,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi dari UMNO berhubung tindakan dikenakan terhadapnya dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan-rakan Majlis Tertinggi yang hadir dalam mesyuarat, malam tadi.

    “Keputusan ini memang mengejutkan sebab saya tak tahu masalah apa yang saya timbulkan. Kalau saya buat salah, tak ada pula Lembaga Disiplin parti panggil.

    “Saya difahamkan selepas mengumumkan tindakan terhadap kami semalam, Presiden terus keluar dari bilik mesyuarat tanpa ada perbincangan. Maknanya bukan Majlis Tertinggi yang buat keputusan sebaliknya Zahid yang buat dan klausa mana digunakan, saya pun tak tahu,” katanya.

    Mohd. Yusof dalam pada itu memaklumkan, beliau sejak dari awal lagi sudah menyatakan kepada Presiden yang dirinya tidak berniat untuk bertanding dalam PRU-15 walaupun namanya disebut-sebut sebagai antara individu yang akan diangkat sebagai calon sekirangnya UMNO diberi ruang bertanding di Parlimen Alor Setar bagi menggantikan MCA.

    “Saya awal-awal dah beritahu yang tak minat bertanding. Cumanya kita mahukan kerusi Parlimen Alor Setar itu diberikan kepada UMNO berbanding MCA, BN mampu merampas kerusi di situ. Itu saja,” katanya.