Tag: mohd uzir mahidin

  • Harga simen, besi meningkat tiga bulan berturut-turut

    Harga simen, besi meningkat tiga bulan berturut-turut

    KETUA Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan pada Januari tahun ini.

    Menurutnya, indeks harga seunit simen meningkat 2.6 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.

    Jelas beliau, peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran tinggi adalah penyumbang utama kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.

    Indeks harga seunit besi pula katanya mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

    “Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat. Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index.

    “Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan.

    “Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata dalam kenyataan siaran khas untuk kerja-kerja pembinaan bangunan dan struktur Januari 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

    Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023 menyatakan bahawa permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

    Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).

    Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran penutupan di negara itu.

    Isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia, dan ketegangan perdagangan AS-China mungkin akan turut memberi kesan kepada pasaran keluli.

    Perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 11.4 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Indeks harga bagi seunit bagi besi dan simen masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 9.3 peratus bagi Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Mohd Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ adalah RM3,599.37 bagi setiap tan metrik, meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

    “Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan 3.4 peratus iaitu RM21.66 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.95 bagi setiap 50 kilogram pada Disember 2022.

    “Manakala, purata harga pasir kekal tidak berubah iaitu RM36.32 satu tan metrik,” katanya.

  • Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    INFLASI Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

    Beliau berkata Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.

    “Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan Ikan dan Makanan Laut (4.2 peratus) dan Sayur-sayuran (7.1 peratus).

    Selain daripada kumpulan Makanan, Mohd Uzir berkata kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali Komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Restoran dan Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti Pengangkutan (5.6 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (4.0 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.8 peratus).

    Sementara itu, Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.1 peratus) dan Pendidikan (1.2 peratus).

    Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

    Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.

    Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.8 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus). Ini diikuti Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.5 peratus).

    Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus. – BERNAMA