Tag: Mohd Shukri

  • Saya tidak cepat ‘koyak’, terbuka terima teguran rakyat – MB Perlis

    Saya tidak cepat ‘koyak’, terbuka terima teguran rakyat – MB Perlis

    MENTERI Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau sentiasa terbuka menerima padangan dan teguran daripada rakyat dan tidak cepat ‘koyak’ demi kebaikan bersama ke arah pembangunan negeri itu.

    “Saya baca teguran di kumpulan WhatsApp tapi saya tak tulis (balas), saya tidak pernah koyak pun apabila dikomen yang berbagai-bagai,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang) berhubung perancangan kerajaan bagi menjadikan pandangan dan idea rakyat sebahagian daripada kerangka pembangunan negeri.

    Mohd Shukri (PAS-Sanglang) berkata beliau menyertai berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp melibatkan pelbagai komuniti dan akan membaca setiap komen yang diberikan dan menerimanya dengan positif.

    Beliau turut menasihati orang ramai agar mengemukakan pandangan dan teguran terus kepada pihak kerajaan negeri atau menerusi wakil rakyat.

    “Insya-Allah, kita di kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima apa-apa pandangan daripada rakyat,” katanya dan menambah pandangan rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan di setiap kawasan, sebagai contoh menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam bersama rakyat.

    Beliau berkata kerajaan negeri turut menerima permohonan, aduan dan cadangan daripada pelbagai lapisan rakyat menerusi Bahagian Pentadbiran Daerah, selain menerusi Platform Aduan Integriti dan Aduan Awam yang boleh disampaikan melalui email di [email protected] dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). – BERNAMA

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA