Tag: Mohd Rafiq Naizamohideen

  • ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan keputusannya untuk menyertai UMNO dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, iaitu sebelum diketahui parti mana yang bakal mentadbir negara.

    Beliau berkata permohonannya sebagai ahli UMNO diterima dan berkuat kuasa 18 Mac iaitu selepas Pemilihan UMNO, melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam, selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO pada Rabu lepas, dan bukan kerana kedudukan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Saya sedar keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

    “Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya permohonan dihantar beberapa minggu lepas, dan beliau bertekad serta beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO pusat, UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu.

    Mohd Rafiq yang sebelum ini tewas dalam pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, mengumumkan peletakkan jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti itu selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional dalam PRU15. – BERNAMA

    UMNO, Bersatu, permohonan, PRU15, PRN Melaka, Telok Mas, Mohd Rafiq Naizamohideen

  • Bersatu yakin Pas terus konsisten bersama PN – Rafiq

    Bersatu yakin Pas terus konsisten bersama PN – Rafiq

    PAS cukup bijak untuk tidak sewenang-wenangnya membenarkan diri mereka dipergunakan UMNO atas nama kerjasama untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan, beliau yakin Pas akan tetap mendukung cita-cita Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan bersama Bersatu.

    Menurutnya, keyakinan beliau itu adalah bersandarkan kenyataan terbaharu Pas bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan syarat yang ditetapkan UMNO untuk membentuk kerjasama iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

    “Ia menguatkan lagi pendirian Pas yang teguh bermatlamat untuk menyatukan ummah dengan menjadi penghubung dan pendamai antara dua parti besar Melayu itu.

    “Jadi kalau dah begitu keadaannya, maksudnya kita faham bahawa tak ada rundingan lagi, atau takkan ada, tak mungkin kerjasama Pas dengan UMNO ini akan terjalin,” katanya.

    Rafiq dalam laporan itu berkata, ketika ini, sudah semakin jelas terlihat hasrat sebenar UMNO untuk membuka pintu rundingan bagi membentuk kerjasama hanya demi keuntungan di pihak mereka sahaja.

    “Kita tengok kenyataan yang dibuat oleh UMNO Negeri-Negeri, kita tengok UMNO Kelantan, Terengganu bahkan Kedah, di negeri-negeri yang Pas ketuai.

    “Kita lihat kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa UMNO Kedah yakin akan mampu rampas pentabdiran kerajaan Kedah daripada Pas.

    “Kenyataan pemimpin UMNO, tidak kira yang bersama Presiden atau yang bersama Perdana Menteri, sama sahaja – mereka sebenarnya sudah bersedia untuk bukan saja tak mahu berunding dengan Pas tapi mereka sebenarnya nak rampas negeri-negeri Pas,” katanya dalam laporan portal BeritaBersatu.

    Jelas Rafiq, sebaliknya pula sikap UMNO terhadap Pas di negeri Selangor, negeri yang dirasakan mereka tidak boleh ditawan daripada Pakatan Harapan tanpa PAS.

    Disebabkan itu katanya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah memberitahu dengan jelas bahawa mereka tidak boleh terima sikap UMNO yang mana di sesetengah negeri mereka mahu menggempur Pas namun di sesetengah negeri seperti di Selangor, UMNO mahu pujuk Pas.

    “Saya fikir Pas tidak bodoh dan takkan biarkan mereka dipergunakan oleh UMNO kerana ternampak ketidakikhlasan mereka kerana hanya ingin berunding di negeri-negeri yang mereka rasa perlukan Pas sementara negeri-negeri yang mereka tak perlukan Pas, mereka nak singkirkan Pas.

    “Ini bukan satu semangat setiakawan yang ditunjukkan sepertimana PAS dalam PN,” katanya.

  • Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Rafiq nafi terlibat krisis politik Melaka, sokong Sulaiman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menafikan beliau terlibat dengan pergolakan politik di Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    “Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka ketika ini.

    “Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Melaka ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Spekulasi politik negeri Melaka kembali bertiup selepas terdapat dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN di negeri itu bakal menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan UMNO.

    Meskipun nama Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak dikaitkan kali ini, namun beliau pemimpin kedua yang tampil menafikan perkara itu selepas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Dua daripada pemimpin UMNO turut dikatakan terlibat dalam gerakan itu, namun tiada pengesahan mana-mana pihak dibuat setakat ini.

    Justeru, Mohd. Rafiq berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan Melaka terutama bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Saya berharap, segala kemelut politik yang dicetuskan dapat dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” tegasnya.