Tag: Mohd Fared Mohd Khalid

  • Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    KUMPULAN ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sedang giat dikesan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

    Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

    “Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

    “Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

    Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

    “Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

    “Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

    ajaran sesat, Si Hulk, TikTok, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

  • MAINJ keluar fatwa larangan orang Islam hadir ritual keagamaan bukan Islam

    MAINJ keluar fatwa larangan orang Islam hadir ritual keagamaan bukan Islam

    MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa berkenaan berkuat kuasa hari ini.

    Beliau berkata para ulama daripada empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali, telah sepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

    “Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan ritual tersebut.

    “Bagaimanapun, menurut sebilangan ulama hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

    Mohd Fared berkata dengan fatwa ini, ia diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada umat Islam negeri ini yang segelintirnya sudah menjadi kebiasaan menyantuni kaum lain dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

    Dalam masa sama, beliau berkata satu garis panduan dan kriteria juga dikeluarkan bagi menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh umat Islam.

    “Antaranya, majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan akidah Islam dan terdapat perbuatan seperti menyertakan simbol agama atau menyanyikan lagu bercirikan agama,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata majlis tersebut juga tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam seperti ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

    Justeru, Mohd Fared menerusi MAINJ akan bertemu dengan ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu.

    “Larangan ini tidak bermaksud untuk menganggu keharmonian antara kaum, tapi sekadar memberi nasihat serta panduan agar pemimpin masyarakat berhati-hati dalam menyatakan kebersamaan dan tidak melanggar batas-batas tertentu,” kata Mohd Fared.

    Menurutnya individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – BERNAMA