Tag: mohd amar nik abdullah

  • Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu bersikap terbuka dan sedia memberi kerjasama sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat akaun parti berkenaan.

    Menurut beliau, SPRM boleh menyiasat Pas sekiranya ada keperluan.

    “Namun kita berharap segala tindakan sama ada daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat politik dan memilih.

    “Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

    “Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas memang bersikap terbuka sejak dahulu berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar dan masalah buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.

    “Apa yang saya lihat, kerajaan hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya

    Media sebelum ini melaporkan, beberapa akaun milik Bersatu masih lagi dibekukan.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

    Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.

  • PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PRN Kelantan: Pas yakin menang 45 kerusi

    PAS yakin mampu memenangi kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

    Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berlandaskan kemenangan bergaya Pas yang menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dengan majoriti puluhan ribu setiap kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

    “Sasaran kita ialah untuk memenangi semua kerusi seperti mana PRU lalu dan kemungkinan mencapai kemenangan itu adalah tinggi.

    “PRN nak capai 90 peratus pun boleh. Termasuk kerusi dipegang Barisan Nasional (BN) manakala kerusi-kerusi lain yang sedia disandang akan kekal hak kami,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dhuafa’ dan sumbangan RM60,000 kepada Masjid Al-Alaq di Kampung Pak Kemek di Kota Bharu hari ini.

    Pada PRU14, Pas mempertahankan Kelantan dengan penguasaan di 37 kerusi DUN negeri itu manakala BN menang tujuh (kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya memenangi satu kerusi.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan UMNO agar lebih berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan DAP.

    “Pas ada pengalaman dan jelas tidak boleh menerima parti terbabit.
    “Kami ingatkan UMNO supaya belajar daripada pengalaman kami. Selepas berkawan baru ada pengalaman. Harap UMNO tidak ulangi kesilapan Pas,” katanya, Sinar Harian.

    Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan UMNO menjemput DAP bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), beliau berkata, UMNO berhak untuk menjemput sesiapa sahaja untuk menghadiri perhimpunan mereka.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu mungkin akan menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

  • Kemenangan untuk masa depan anak muda

    Kemenangan untuk masa depan anak muda

    Oleh MOHD AMAR NIK ABDULLAH

    DENGAN bimbingan Allah S.W.T, anak muda bersatu hati menolak mereka yang mengambil ringan soal integriti dan maruah bangsa. Bukan hanya di Kelantan, malah di seluruh negara.

    Keputusan baru-baru ini, memberikan satu cabaran besar buat gerakan Islam untuk menguruskan kemenangan dan mempertahankan sokongan ini.

    Harga yang mahal

    Ketegasan untuk terus kekal bersih, menjadi bukti kepada dunia, kita bermaruah, berpendirian, teguh dasar dan prinsip perjuangan dan bukan gilakan kuasa semata-mata. Insya-Allah, kemenangan mutlak yang lebih besar akan bersama kita di masa akan datang.

    Kemenangan yang tertangguh

    Yakinlah masa kita akan tiba dengan kehendak Allah S.W.T, tanpa perlu menumpang atau terpaksa menerima syarat pihak tertentu. Lihat jauh ke depan dan optimis sebagaimana peristiwa Hudaibiyah dan Fathul Makkah.

    Anak muda genggam perjuangan

    Perjuangan Islam digenggam oleh anak muda sebagaimana pemuda Islam di Taif yang menguatkan pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Generasi yang membela Islam.

    Perjuangan dan kemenangan ini nanti, bukanlah untuk orang tua, tetapi untuk masa depan anak muda dan generasi seterusnya. Bersyukur kepada Allah S.W.T. Persiapkan diri dan bawalah sokongan ini dengan baik.

    Penulis adalah Naib Presiden Pas

  • Gelaran ‘penyamun’ lebih hina daripada ‘pak lebai’

    Gelaran ‘penyamun’ lebih hina daripada ‘pak lebai’

    PAS sama sekali tidak tersinggung digelar “parti pak lebai” kerana merasakan ia bukan gelaran yang hina.

    Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ini kerana Pas dianggap “parti pak lebai” dan “parti kampung” sejak dahulu lagi.

    “Bagi kita, gelaran ‘parti pak lebai’ bukan satu gelaran yang hina.

    “Gelaran sebagai penyamun politik itu lebih hina,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar mengingatkan pengkritik bahawa Pas yang digelar “parti pak lebai” itu akan mengubah politik negara pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, gabungan itu menolak sebarang bentuk rundingan bersama Pas selepas PRU15 kerana menganggap parti berkenaan tidak setia.

    Malah katanya, pemimpin Pas dilihat sering berubah-ubah pendiriannya.

    “Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak. Pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain.

    “Apabila ada situasi politik baharu mereka keluar fatwa baharu, bila untuk dirinya keluar fatwa baharu, bila nak salahkan orang keluar. Guna ayat al-Quran dan hadis yang maknanya tetap sama, tetapi ditafsir berlainan. Cukuplah pak lebai, bertaubatlah cepat,” katanya pada satu acara di Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini lapor Berita Harian.

  • PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PRU-15: PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat untuk menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jentera perlu bekerja keras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk memastikan kemenangan dapat diraih.

    “Fikirlah macam mana sekalipun, perlu menang kesemua 14 kerusi di Kelantan. Menang banyak kerusi negeri ini seterusnya Malaysia.


    “Insya-Allah di peringkat nasional, PN akan menjadi kerajaan baharu selepas PRU15 nanti,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Mohd Amar juga memberi contoh, sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama seperti kerajaan Pas di Kelantan kerana integriti dan rekod bebas daripada rasuah.

    “PN juga perlu kerja keras untuk buktikan terutama kepada UMNO bahawa beberapa pimpinan dalam parti itu sudah tidak relevan,” katanya.

    Pada PRU lalu, Pas menyandang sembilan kerusi Parlimen, dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala tiga BN.
    Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas negeri itu berbangga dilabel sebagai parti ‘pak lebai’ oleh seorang pemimpin politik, dua hari lalu.

    “Kalau dulu orang anggap Pas parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut Pas sebagai parti pak lebai.

    “Alhamdulillah bagi kami parti pak lebai bukan gelaran yang hina malah gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai,” katanya.

    Dalam pada itu, program bertemakan Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera itu diadakan di Stadium Sultan Muhamamd ke-IV bagi meraikan pentadbiran kerajaan Kelantan sejak tahun 1990.

    Sambutan terhadap program begitu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin walaupun dalam keadaan hujan lebat.

  • Penonton terkinja di luar kawalan, Kelantan tidak akan haramkan konsert

    Penonton terkinja di luar kawalan, Kelantan tidak akan haramkan konsert

    TINDAKAN sebahagian penonton Konsert Riuh yang terkinja-kinja dengan tidak dapat mengawal perasaan kerana mengikut rentak lagu adalah di luar kawalan kerajaan negeri Kelantan.

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang berlaku semasa konsert berkenan mengecewakan kerajaan negeri, apatah lagi ia berlaku di Kelantan.

    Namun beliau menjelaskan, kerajaan Kelantan tidak berhasrat mengharamkan konsert di negeri yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah, sebaliknya, garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.

    Menurut beliau, antara peraturan yang sedia dikenakan ialah, pengasingan penonton lelaki dan perempuan selain persembahan sopan serta tiada pergaulan bebas.

    “Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian.

    “Maknanya dalam sepanjang perjalanan program itu sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan,” katanya kepada Astro Awani di pejabatnya hari ini.

    Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas diminta mengulas beberapa video yang menyaksikan penonton Konsert Riuh pada malam Sabtu dan Ahad lepas menari mengikut rentak muzik.

    Video penonton yang berada di luar kawalan itu ditontonkan kepada beliau sebelum diminta mengulas mengenai perkara itu.

    Antara artis yang membuat konsert di Program Riuh Sokmo edisi keempat Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke Kelantan ialah kumpulan Wings, Azumi Penthemik, Faizal Tahir dan lain lain lagi.

    Konsert diadakan di stadium mini Majlis Daerah Ketereh berlangsung bermula 16 hingga 18 September lepas.

    Pada masa depan, Mohd Amar berkata, pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan dengan lebih cermat.

    “Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang dia penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa mungkin tak jadi terkinja kinja,” ujarnya.

    Mohd Amar berkata, tindakan penonton terkinja-kinja tempoh hari dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta supaya ia perbetulkan pada masa akan datang.

    Sehubungan itu, kerajaan Kelantan, tegas Mohd Amar, akan melihat kembali syarat-syarat kebenaran mengadakan konsert dan persembahan di negeri ini termasuk pemilihan lagu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi di masa depan.

  • PRU-15: PAS sasar 40 kerusi Parlimen, pertahan tiga negeri

    PRU-15: PAS sasar 40 kerusi Parlimen, pertahan tiga negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan memenangi separuh daripadanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, maka tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

    Menurutnya, 40 kerusi yang disasarkan itu merupakan batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050.

    “Dalam pada kita ada 17 kerusi Parlimen ini pun, banyak perjuangan atau dasar ditentukan Menteri Pas telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat, bayangkanlah kalau kita ada 40 kerusi.

    “40 kerusi ini adalah batu lonjakan ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050. Siapa dapat hidup lagi pada 2050, pada masa itumereka akan dapat menyaksikan Perdana Menteri daripada Pas.

    Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, ketika ini Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas sedang menganalisis kawasan-kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), bagi diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

    “Mana-mana kawasan yang tak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan dengan kawasan lain yang didapati memiliki prestasi baik dari segi persiapan jentera mahu pun keperluan lain untuk menghadapi PRU,” katanya.

    Mengulas mengenai penggunaan logo dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi menyatakan perkara itu masih sedang ‘dimasak’ dan belum boleh ‘dihidang’.

    “Tunggu dia ‘masak’ dulu, baru boleh hidang tetapi nak jadi macam mana tak tahulah. Kita mengharapkan parti dapat buat keputusan terbaik yang menguntungkan Pas.

    “Saya pun nak macam itu juga (guna logo Pas) tetapi perkara ini kena berunding dan bincang. Rakan kena setuju sebab kalau kita ‘gagahkan’ juga (guna logo Pas) dalam keadaan rakan tak setuju, akan berlaku perpecahan menyebabkan kerugian ditanggung lebih besar dan disebabkan itu, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kalangan ahli Pas supaya tidak memboikot parti, sekiranya rakan-rakan mereka tidak terpilih menjadi calon pada PRU akan datang atau kawasan masing-masing ditandingi parti-parti dalam gabungan sama.

    “Dilarang boikot parti kerana ini berlaku di beberapa kawasan. Sebagai parti politik terbaik di Malaysia, pemimpin serta ahli Pas di semua kawasan tak akan memboikot parti jika hasrat sendiri tidak tercapai dengan kita akan laksanakan apa saja perkara diputuskan kepimpinan Pas.

    “Mengenai calon ini juga, selalunya akan ada rombongan sama ada ke Rusila, Jalan Raja Laut atau Alor Setar. Kalau ‘Mai’ Alor Setar saya ‘ligan’ kerana selepas keputusan dibuat Pas Pusat, sebarang rombongan untuk mengubah keputusan, melobi atau menukar keputusan adalah diharamkan,” katanya.

  • Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    PAS meminta supaya kerajaan menyemak semula keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata parti itu juga sejak dahulu lagi membantah isu berkaitan judi yang dibuat sama ada secara terbuka ataupun dalaman malah menganggap keputusan meningkatkan kekerapan itu tidak berasas dan tidak rasional.

    “PAS sudah nyatakan bantahan secara terbuka, dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet PAS juga telah dibuat. Kita berharap pihak Kementerian Kewangan menyemak semula keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan kepada Usahawantani Al Falah di Pusat Khidmat DUN Panchor di sini hari ini.

    Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata beliau difahamkan keputusan itu sebenarnya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dibawa ke kabinet. 

    “Kita (PAS) sebenarnya tidak boleh menyekat perkara itu daripada diputuskan sebab ia di bawah Kementerian Kewangan dan kita tidak boleh campur tangan.

    “Kita sudahpun menjelaskan pendirian PAS sejak dahulu menentang apa sahaja perkara melibatkan judi. Bantahan sudahpun dibuat dan itu sahaja yang telah dilakukan setakat ini…lainlah kalau PAS berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya.- BERNAMA