Tag: Mohamed Nazri Abdul Aziz

  • Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan sikap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti ‘Si Luncai’.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak mempedulikan Nur Jazlan yang dikatakan cuba meraih simpati setelah kalah teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Dia umpama Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi tidak perlu peduli, biarkan… biarkan.

    “Saya tidak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Sebelum ini, Nur Jazlan mempelawa Mohamed Nazri serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

    Beliau yang kalah teruk dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan tidak akan bertanding di Pulai pada PRU-15.

    Mohamed Nazri juga yakin boleh menang jika bertanding di kerusi Parlimen Pulai kerana beliau sentiasa bercakap benar dan perkara itu diterima dengan baik oleh pengundi pelbagai kaum.

    “Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta.

    “Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.

    “Di Padang Rengas itu memang kerusi UMNO yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi.

    “Ada tsunami pun tetap UMNO menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” jelasnya.

    Beliau turut mengingatkan Nur Jazlan agar tidak bersifat perkauman dengan menyalahkan pengundi bukan Melayu yang didakwa tidak menyokongnya.

    “Sudah lah, jangan lah nak salahkan kaum lain bila kalah. Bila kalah nak salahkan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan.

    “Jangan main isu kaum kerana nak mempertahankan kelemahan kamu,” ujarnya.

  • Tuduh blogger kurang cerdik, Nazri jawab isu tolak jawatan duta

    Tuduh blogger kurang cerdik, Nazri jawab isu tolak jawatan duta

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan, beliau pernah ditawarkan jawatan duta ke Switzerland pada 2019, tetapi menolaknya.

    Memetik laporan FMT, beliau menolak tawaran itu kerana perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen mengikut syarat negara Eropah.

    Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas seorang blogger, Hussein Hamid mendakwa Geneva menolak pelantikannya sebagai duta sekali gus mengaitkannya dengan siasatan pihak berkuasa Switzerland ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Beliau turut mendakwa Wisma Putra tidak cenderung kepada ahli politik dan invididu bukan pegawai diplomatik dilantik sebagai duta.

    Nazri menafikan dakwaan itu dengan menyifatkan blogger itu kurang cerdik kerana syarat untuk Ahli Parlimen menjadi duta adalah mereka perlu mengosongkan kerusi mereka.

    “Di Eropah, Ahli Parlimen tidak boleh menjadi duta. Saya tidak mahu letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, penggal saya tamat dalam tempoh setahun setengah. Saya perlu tunggu sehingga penggal saya tamat.”

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu.

    “Saya tidak kisah apa orang cakap. Orang paling penting ialah pengundi saya.

    “Blogger-blogger ini bodoh. Mereka fikir mereka tahu semua, sedangkan mereka tidak tahu. Ia okey jika anda tak suka saya dan membuat komen. Lebih baik bertanding lawan saya di pilihan raya.

    “Tetapi saya tidak akan bertanding lagi (pada pilihan raya akan datang),” katanya.

  • Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    Nazri sahkan sokong Ismail Sabri calon PM

    DATUK Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Memetik laporan BH Online, pengakuan Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekali gus mengesahkan terdapat usaha sedemikian.

    Walau bagaimanapun, Mohamed Nazri tidak mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen lain yang mungkin menandatangani akuan bersumpah tersebut.

    “Ya, saya sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong (Datuk Seri) Ismail Sabri, Ahli Parlimen lain saya tidak tahu, kena tanya mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai usaha dibuat oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

    Difahamkan, Muhyiddin dalam mesyuarat dengan Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi tadi menyuarakan hasrat mahu meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan perkara tersebut.