Tag: MOF

  • Majlis Kewangan Negara: Sanusi dakwa ada surat MOF kepada Pejabat Sultan Kedah

    Majlis Kewangan Negara: Sanusi dakwa ada surat MOF kepada Pejabat Sultan Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAN dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa beliau cuba disingkirkan daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara sebelum ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

    Sebaliknya menurut Muhammad Sanusi, terdapat surat dari Kementerian Kewangan (MOF) kepada Pejabat Sultan Kedah sebelum ini, dengan tujuan melobi agar beliau digantikan dengan individu lain dalam Majlis Kewangan Negara.

    “Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MOF itu samalah, orang yang sama. Surat itu datang dari Kementerian Kewangan.

    “Saya ‘habaq’ (beritahu) dari MOF, bermakna adalah (surat) tersebut. Bukan pertahan dah tetapi benda itu ‘dok’ ada.

    “Di Wisma Darul Aman (pusat pentadbiran negeri Kedah) ini saya berkawan dengan semua orang dari sekecil-kecil jawatan hingga yang besar. Sebab itu apa yang dibuat di sini saya tahu termasuklah tindakan ‘depa’ hantar surat kepada baginda untuk lobi agar ditukar Ahli Majlis Kewangan Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, beliau tidak mendedahkan surat tersebut sebelum ini kerana tindakan tersebut jika dilakukan akan memperlihatkannya seolah-olah cuba melakukan konfrontasi.

    “Hasrat saya jangan bagi perkara itu berlaku dan bukannya mencari gaduh. Sepatutnya apabila dah jadi Perdana Menteri, menteri atau pegawai hebat di PMO, gunalah bahasa pentadbiran dan bukan bahasa politik lagi.

    “Jangan ambil tindakan politik terhadap kerajaan lain kerana kerajaan negeri juga berdaulat dan perlu dihormati. Jangan anggap sebagai dianggap sebagai ‘belasahan’,” katanya.

    Katanya tindakan untuk melobi agar individu tertentu ditukar serta didiskriminasi sentiasa dipandang orang dan terlihat jelas dalam keadaan dunia kian canggih kini.

    “Dalam dunia sekarang dah tak boleh buat begitu. Kita kena bergerak sebagai seorang pentadbir apabila menjadi kerajaan dan bukannya otak pembangkang di PMO,” katanya.

    Ditanya kemungkinan beliau akan mendedahkan surat itu jika terus ditekan selepas ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan setakat ini tidak perlu untuknya menuju terus ke penamat.

    “Benda itu ada, tak payahlah sampai hujung lagi. ‘Main’ dulu separuh masa pertama, nanti pengadil tiup wisel untuk separuh masa kedua, kita masuk lain pula.

    “Lakukan langkah demi langkah, tak bolehlah terus nak habiskan saja,” katanya.

  • Kerajaan teliti langkah tingkat hasil cukai

    Kerajaan teliti langkah tingkat hasil cukai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEBERAPA langkah akan diambil kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil cukai antaranya melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

    Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan hari ini memberitahu, kerajaan meniliti untuk melaksana Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    JelaS MOF, melalui program itu, pembayar cukai digalakkan tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.

    “Langkah lain ialah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan selain mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).

    “Kerajaan sedar bahawa persekitaran pelaburan yang kondusif sama ada bagi pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik merangkumi banyak aspek, termasuk kestabilan ekonomi dan politik, dasar yang konsisten dan telus, pasaran buruh yang efisien, tahap kemudahan infrastruktur, tadbir urus yang mantap, rangka perundangan yang kukuh dan kualiti hidup yang selesa di Malaysia,” menurut MOF.

    Menurut MOP, insentif fiskal termasuk cukai merupakan antara faktor penarik pelaburan berkenaan, namun ia boleh memainkan peranan penting sebagai alat dasar yang strategik.

    Mengenai pengurusan ketirisan hasil kata MOF, kerajaan komited menangani isu ketirisan hasil terutama yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggar berjumlah RM5 bilion.

    Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh MOF sebagai sebuah platform bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

    Kerajaan juga telah melaksanakan langkah memperketat kawalan ke atas pelesenan dan pengimportan rokok dan produk tembakau dengan membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui pengenaan kuota import, mengehadkan aktiviti pemindahan rokok ke kapal di pelabuhan tertentu sahaja di samping menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan berduti di semua pulau bebas cukai.

    Menurut MOF, selain itu, kerajaan telah memperkemas definisi syarikat berkaitan bagi tujuan tuntutan bantuan kumpulan, mengenakan penalti ke atas kegagalan menyediakan dokumen Pindahan Harga dan menetapkan keperluan pembayar cukai bagi menjelaskan cukai sebelum memulakan apa-apa prosiding terhadap kerajaan/ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.