Tag: MMU

  • MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    UNIVERSITI Multimedia (MMU) menyampaikan bantuan berjumlah RM8,510 kepada 23 pelajar yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

    Mangsa-mangsa yang berasal dari Selangor, Pahang, Perak dan Johor itu menerima sumbangan tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.

    Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Serahan Bantuan Banjir MMU anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) dan Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) di Kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

    Penerima bantuan, Ammar Abd. Manaf, 22, berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya selepas rumah mereka di Lengga Muar Johor, rosak teruk akibat banjir pada awal Januari 2022.

    “Peralatan elektrik, perabot dan lain-lain telah rosak menyebabkan kerugian lebih RM5,000 apabila rumah digenangi air setinggi paras dada,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran itu.

    AMMAR ABD MANAF

    Rakannya, Muhammad Yusri Azpansyah IrwanSyah yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Telekomunikasi dari Kampung Pauh Behrang Perak pula melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan MMU dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

    “Semasa musim banjir pada Disember 2021, kami semua belajar secara online di rumah. Walaupun begitu, MMU tetap prihatin membantu kami. Dengan sumbangan ini, boleh lah saya serahkan kepada keluarga untuk membeli cat untuk mengecat semula rumah dan membeli barang keperluan lain,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

    MUHAMMAD YUSRI

    Penerima-penerima bantuan tersebut ditemui pada majlis serahan berkenaan yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Keusahawanan dan Pengalaman Pelajar, Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD), Puan Sri Kusumawati Mohd Daud dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Siti Jamila Syuhada Jailani.

  • KSI-MMU sedia promosi bahasa, budaya Korea

    KSI-MMU sedia promosi bahasa, budaya Korea

    UNIVERSITI Multimedia (MMU), antara universiti terkemuka di Malaysia, kini bersedia untuk menjadi hab bagi mempromosikan bahasa dan budaya Korea menerusi King Sejong Institute-MMU (KSI-MMU) yang dilancarkan di kampus Melaka baru-baru ini.

    Penubuhan KSI-MMU akan membantu dalam mempertingkatkan keterlihatan global yang lebih ketara bagi kedua-dua institusi, sekali gus berfungsi sebagai platform untuk menyediakan pelajar MMU dan orang ramai meneroka peluang dan mengalami dunia Korea melalui pelbagai acara, pertandingan dan kelas pengajian.

    MMU merupakan antara 25 institusi baharu yang terpilih daripada 120 permohonan di seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada KSI.

    Majlis pelancaran dirasmikan oleh Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, dan disaksikan oleh Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

    Mazliham berkata, MMU sentiasa menggalakkan warganya meneroka dan merasai sendiri pelbagai aspek masyarakat dunia termasuk bahasa dan budayanya.

    “Mempelajari bahasa asing akan mendidik dan menggalakkan rasa hormat kepada orang lain selain memupuk pemahaman tentang hubungan saling kait antara bahasa dengan sifat manusia.

    “Penguasaan bahasa asing memperluas sudut pandang seseorang terhadap dunia, memperkaya pengalaman, dan menjadikan seseorang lebih fleksibel dan bertolak ansur,” tambahnya.

    Sambil menyatakan rasa terujanya, Chi Beom menegaskan, KSI-MMU akan terus memperkaya pertukaran dalam sektor pendidikan dan budaya antara Korea Selatan dan Malaysia.

    “Melangkah ke hadapan, saya berharap akan wujud sinergi melalui pertukaran dan kerjasama antara institut pendidikan di Malaysia dan usaha ini bakal memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Korea Selatan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Yayasan Institut King Sejong, Lee Hae Young berkata, walaupun berlaku penularan wabak COVID-19 sebelum ini, bilangan pelajar di Institut King Sejong di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus, dan perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa dan budaya Korea adalah popular di negara ini.

    “Selaras dengan trend semasa, KSI-MMU kini menyediakan pembelajaran bahasa dalam talian melalui aplikasi pelbagai kandungan untuk perkongsian pendidikan dan budaya Korea yang lebih dinamik dan aktif kepada pelajar,” katanya.

    Dalam ucapan tahniah kepada KSI-MMU, Presiden Persatuan Korea di Malaysia, Lee Tae-Su pula berkata, kedua-dua institut akan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sejarah, budaya dan teknologi termaju Korea ke Malaysia.

    “Usaha ini akan memberi peluang kepada ramai anak muda di Malaysia untuk menimba kemahiran dan pengetahuan unggul Korea. Saya berharap KSI-MMU akan membantu bakat Malaysia menjadi lebih bersedia untuk masa depan pendidikan akan datang,” ujarnya.

  • MMU tawar yuran istimewa pengambilan Sept 2021

    MMU tawar yuran istimewa pengambilan Sept 2021

    UNIVERSITI Multimedia (MMU), sebuah universiti terkemuka dalam pendidikan teknologi maklumat dan komunikasi, menawarkan yuran istimewa untuk program asasi serta pengecualian yuran kemasukan untuk program Diploma bagi pengambilan September 2021.

    MMU menawarkan harga istimewa serendah RM6,000 untuk kesemua program asasi yang ditawarkan kecuali Perundangan, sebagai satu inisiatif untuk meringankan beban ibu bapa dan penjaga pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Pada masa yang sama, MMU juga mengecualikan yuran kemasukan bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program Diploma.

    Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti dalam memperjuangkan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, dan usaha ini mempunyai hubungan langsung dengan matlamat melahirkan pemimpin masa depan negara.

    MAZLIHAM MOHD SU’UD

    “Mengasuh pemimpin masa depan merupakan proses penting dalam pembangunan negara, dan usaha ini tidak sewajarnya dibiarkan terhenti atau tergendala biarpun dalam apa jua keadaan.

    “Kami menyedari sepenuhnya bahawa pandemik ini telah menyebabkan ramai dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mengalami penurunan dalam kemampuan kewangan, yang mengakibatkan mereka menangguhkan rancangan untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran, atau mereka membatalkan rancangan itu sepenuhnya.

    “Jika hal ini terjadi, negara akan mengalami kerugian, dan bagi mengelakkan perkara itu, kami memainkan peranan kami dalam membantu memastikan anak muda Malaysia dapat melanjutkan pengajian seperti biasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mazliham seterusnya memberitahu bahawa tawaran tersebut mencerminkan komitmen MMU untuk melahirkan pemimpin masa depan negara dengan ilmu pengetahuan tercanggih dan kemahiran digital yang relevan dengan peredaran zaman.

    Bagi pengambilan bulan September, MMU juga telah menurunkan kadar yuran pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada RM27,000 kepada hanya RM19,500 setiap pelajar.

    Mazliham berkata, langkah itu adalah rasional kerana pembentukan pemimpin masa depan terdiri daripada individu pada pelbagai peringkat pengajian, dan bukan hanya untuk pelajar ijazah bacelor.

    Di samping bantuan kewangan ini, MMU juga menawarkan pelbagai biasiswa kepada pelajar yang layak seperti Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit, dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan.

    Biasiswa Presiden merupakan biasiswa yang paling didambakan oleh pemohon. Biasiswa Presiden ialah biasiswa penuh yang merangkumi 100 peratus tajaan yuran pengajian untuk program peringkat asasi, diploma, atau bacelor.

    Berikutan nilainya yang tinggi, pemohon akan ditemu duga dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi mereka.

    Sementara itu, Biasiswa Merit pula membolehkan pengurangan jumlah yuran sehingga 50 peratus untuk program asasi, diploma, atau bacelor, manakala Biasiswa Bakat MMU merangkumi 50 peratus atau 100 peratus tajaan pengajian yuran, bergantung pada kecemerlangan bakat pelajar pada peringkat negeri atau nasional samada dalam bidang sukan, muzik, debat, kesenian, pementasan and penulisan.

    Selain itu, MMU turut menawarkan peluang biasiswa lain seperti tajaan daripada pelbagai yayasan, syarikat, dan organisasi.

    Pendaftaran untuk pengambilan September akan diadakan pada 27 September 2021 dan kuliah akan bermula pada 4 Oktober 2021.

    Untuk mengetahui lebih lanjut tentang MMU dan tawaran menarik yang disediakan, sila layari www.mmu.edu.my.