Tag: minyak sawit

  • Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    INDONESIA, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan mengurangkan eksport komoditi itu dan mengetatkan dasar yang menetapkan syarikat menyimpan lebih banyak bekalan dalam negara.

    Kerajaan mengurangkan jumlah yang boleh dieksport oleh pengeluar kepada enam kali ganda keperluan jualan domestik berbanding lapan kali ganda pada masa ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Budi Santoso, Ketua Pengarah Perdagangan Luar di Kementerian Perdagangan Indonesia.

    Perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan, katanya.

    VNA juga melaporkan Firman Hidayat, seorang pegawai di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan domestik mencukupi semasa cuti Ramadan dan Aidilfitri pada April memandangkan pengeluaran akan merosot mengikut musim pada suku pertama.

    Pengurangan eksport minyak sawit di Indonesia sebaliknya telah menjejaskan harga di Malaysia, pengeksport kedua terbesar dunia bagi komoditi itu.

    Langkah itu mungkin mendorong Malaysia untuk menaikkan harga dan eksport. – BERNAMA 

  • India dijangka tingkat import minyak sawit

    India dijangka tingkat import minyak sawit

    INDIA yang merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar dunia dijangka meningkatkan pembelian daripada pengeluar utama komoditi berkenaan, Malaysia dan Indonesia apabila musim hujan monsun yang tidak menentu di negara itu menjejaskan tanaman kacang soya serta kacang tanah.

    Memetik laporab Bloomberg, India yang juga mempunyai kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia bergantung kepada bekalan minyak masak dari luar negara sehingga 70 peratus.

    Kebimbangan semakin meningkat apabila musim hujan ketika ini akan menjejaskan tanaman selain berpotensi meningkatkan harga makanan, mengancam pemulihan ekonomi serta menyebabkannya terpaksa mengimport lebih banyak produk pertanian.

    Penghantaran minyak sawit akan lebih tinggi tahun ini bermula 1 November depan berbanding anggaran lapan juta tan pada 2020-2021, kata seorang peniaga veteran dan rakan urusan GGN Research, G. G. Patel.

    Beliau bagaimanapun tidak memberikan anggaran untuk tahun depan.

    India mengimport kebanyakan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia.

    Hujan lebat di Gujarat, yang juga kawasan tanaman kacang tanah terbesar India serta di Madhya Pradesh, pengeluar kacang soya utama negara itu berpotensi mengurangkan pengeluaran.

    Peramal cuaca swasta, Skymet Weather Services Pvt pada Isnin berkata, India mungkin tidak menepati ramalan monsun biasa disebabkan hujang sekejap-kejap pada Julai dan Ogos, selain corak cuaca yang kurang baik.

    Menurut Jabatan Meterologi India, jumlah taburan hujan pada musim hujan Jun hingga September setakat ini adalah sembilan peratus di bawah paras biasa.

    Pengeluaran kacang soya pada 2021 dan 2022 akan lebih rendah dari anggaran awal sebanyak 9.2 juta tan untuk tahun sebelumnya, sementara pengeluaran kacang tanah berkemungkin turun daripada 5.4 juta tan.

    Kementerian Pertanian negara itu juga menjelaskan, jumlah kawasan yang terkesan akibat fenomena hujan lebat adalah 18.8 juta hektar pada 20 Ogos lalu berbanding 19 juta hektar tahun sebelumnya.