Tag: minta maaf

  • Pengguna TikTok minta maaf, nafi mahu jual buah pinggang

    Pengguna TikTok minta maaf, nafi mahu jual buah pinggang

    SEORANG pengguna TikTok mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di akaun media sosial miliknya selepas klip video mendakwa dia ingin menjual buah pinggangnya, tular baru-baru ini.

    Menurut lelaki yang menggunakan nama daddy_keacy untuk akaun TikToknya itu, dia membuat hantaran tersebut disebabkan masalah hutang yang dihadapinya.

    Namun memetik laporan Malayiakini, lelaki itu mengaku tidak berhajat untuk menjual buah pinggangnya seperti yang dimuat naik di media sosial berkenaan.

    “Jadi saya buat ‘jalan pintas’kepada sesiapa yang nak beli buah pinggang.

    “Dan saya tidak sangka pula video tersebut Fyp,” katanya di dalam video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di TikTok semalam.

    Fyp ialah singkatan untuk For You Page yang merujuk kepada halaman di aplikasi TikTok yang dipenuhi dengan kandungan video dianggap sesuai dan akan menghiburkan pengguna.

    Pengguna Tiktok akan mengguna tanda pagar #fyp untuk menjadikan video yang dihasilkan mereka mendapat perhatian dan meningkatkan capaian penonton.

    Semakan Malaysiakini mendapati pengguna TikTok yang memperkenalkan dirinya sebagai tukang masak dan pengatur cara majlis itu memberi penerangan kepada 2,337 pengikutnya tentang alasan dia mahu menjual organ.

    Doktor pakar kesal

    Dia yang mula memuat naik beberapa video sejak 25 Mac lalu mengakui menggunakan rakaman yang diambil ketika dia menghadiri temu duga kerja di Singapura untuk meraih perhatian dan menambah pendapatan sampingannya di TikTok.

    Pun begitu dia mengakui tiada hasil yang diperoleh daripada video tersebut.

    Tidak dapat dipastikan jika kenyataan daddy_keacy itu ada kaitan dengan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa ada rakyat Malaysia terpaksa menjual buah pinggang mereka atas faktor kesempitan hidup.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu menggunakan hujah tersebut untuk mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi.

    Dalam hantarannya semalam daddy_keacy turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan Malaysia dan Singapura kerana membuat kenyataan palsu.

    “Saya harap kerajaan Singapura dapat menerima permohonan maaf saya.

    “Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Malaysia yang mana orang menyalahkan saya mengenai desakan hidup hingga perlu menjual organ mereka.

    “Benda tu (masalah kewangan) memang merdesak tapi tidak sampai saya mahu menjual buah pinggang,” katanya.

    Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii sebelum ini menuntut Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan bukti berhubung “dakwaan serius” yang dibuatnya itu.

    Selain itu seorang doktor yang juga pakar dalam pendermaan organ Dr Abdul Jabbar Ismail turut menyatakan rasa kesal dengan dakwan Wan Ahmad Fayhsal kerana ia menjejaskan usaha menggalakkan orang ramai menderma organ.

  • Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    Tuduhan perkauman palsu, Youtuber diberi tempoh 24 jam minta maaf

    SEORANG Youtuber diberi tempoh 24 jam untuk memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menyebarkan provokasi dan tuduhan palsu berbaur perkauman terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong, Youtuber yang menggunakan nama Cleo Hoo itu didakwa memuat naik satu video berbaur perkauman dan memainkan sentimen agama melampau dengan tuduhan palsu Khamis lalu, sehari selepas PN memenangi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

    Beliau berkata, video berbahasa Cina itu antaranya cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dengan mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan orang bukan Islam perlu menukar agama kepada Islam jika PN memerintah negara.

    Selain itu, katanya, video yang sudah ditonton lebih 81,000 kali itu turut mendakwa daging babi akan diharam daripada dijual di negara ini, selain kedai judi perlu ditutup seperti di Kelantan dan Terengganu jika PN mentadbir negara.

    “Dia kata daging babi akan diharam daripada dijual seperti di Kelantan, tetapi ini tidak benar kerana orang bukan Islam bebas membeli dan menjualnya di Kelantan dan Terengganu.

    “Dakwaan orang bukan Islam perlu tukar agama juga adalah kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana PN berpegang pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Setakat ini, GERAKAN beri peluang kepada Youtuber ini untuk mohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, kami akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman sivil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Terdahulu, beliau memainkan sebahagian daripada video berdurasi lebih 10 minit itu berserta sari kata, yang antara lain menunjukkan Youtuber itu mendakwa Malaysia akan bertukar menjadi seperti Afghanistan dalam tempoh kurang lima tahun jika PN menjadi kerajaan.

    Sentimen itu pernah dilaungkan secara terbuka oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika PN berkuasa.

    Selain itu, Youtuber berkenaan yang memiliki lebih 61,000 pengikut, mendakwa pihak yang mempersoalkan kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada PN wajar menukar nama anak dan cucu kepada ‘Abdullah’, selain menyifatkan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai ‘pengkhianat bangsa Cina’.

    Kah Keong mengingatkan penyokong parti politik untuk tidak terikut dan mengulangi sentimen serta tuduhan dimainkan parti tertentu, khususnya dakwaan dalam video berkenaan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

    “Jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab. Kebebasan kita ada batasnya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    Annuar Zaini mohon maaf dakwa Bersatu, Pas rebut jawatan MB Perak

    AHLI Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini memohon maaf kepada Bersatu Perak atas dakwaannya bahawa ADUN parti itu merebut jawatan menteri besar dengan Pas serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    Beliau mengakui menulis perkara tidak sahih dalam kumpulan WhatsApp mengenai perkara itu yang kemudian menjadi tular.

    “Kepada Dato Zainol Fadzi (Paharuddin), saya sangat mohon maaf kerana memasukkan elemen tidak sahih yang disampaikan kepada saya.

    “Saya mohon maaf di atas kesilapan fakta tersebut,” kata beliau dalam mesej WhatsApp malam tadi, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Zainol menafikan mana-mana ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

    Kenyataan yang menjadi tular itu menjatuhkan kredibiliti partinya, kata Setiausaha Bersatu Perak itu.

    Dalam mesej WhatsApp yang tular itu, Annuar dikatakan mendakwa PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan menteri besar sedangkan Sultan Nazrin Shah mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera sebelum tibanya musim banjir.

  • ‘Seharusnya Roslan Shah minta maaf, bukan saya’ – Jamal

    ‘Seharusnya Roslan Shah minta maaf, bukan saya’ – Jamal

    PENYANYI legenda, Datuk Jamal Abdillah menegaskan beliau sedia membuat permohonan maaf kepada sesiapa sahaja, namun ia sepatutnya dilakukan Roslan Shah yang menimbulkan kekecohan sehingga memburukkan namanya.

    Kontroversi itu tercetus setelah Roslan yang juga pembantu acara memuat naik beberapa hantaran dalam Instagram (IG) Story mendakwa seolah-olah ditipu Jamal apabila tidak hadir ke sebuah expo di Singapura seperti dijanjikan.

    Roslan mendakwa, teraniaya apabila terpaksa membayar ganti rugi RM33,000 membabitkan, hotel, tiket penerbangan, promosi dan sebagainya di expo berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, Jamal ketika mengulas perkara itu menjelaskan, permohonan maaf bagus, tetapi kena tengok keadaan.

    “Sepatutnya, Roslan perlu minta maaf kerana memaksa saya datang, kemudian memburukkan nama saya. Jadi, seharusnya Roslan minta maaf, bukan saya.

    “Bagaimanapun, saya tak kisah meminta maaf kepada sesiapa sahaja. Saya juga mohon maaf kepada peminat di Singapura atas perselisihan faham antara saya dan penganjur,” katanya kepada BH Online.

    Kata laporan itu lagi, Jamal berkata, dia sudah berulang kali beritahu tak boleh datang kerana sudah terikat dengan komitmen lain, tetapi Roslan tetap memujuknya.

    “Saya berulang kali jelaskan tak boleh datang ke Singapura. Saya masih ingat bercakap dengan Roslan lebih sejam ketika dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu, tetapi Roslan tetap memujuk.

    “Dia pujuk dan saya tetap kata tidak boleh. Ini kerana saya sudah ada perjanjian bersama penganjur konsert eksklusif di Singapura pada 31 Disember dan 1 Januari depan.

    “Konsert ini berbayar, jadi saya tidak mahu mengganggu penjualan tiket. Tetapi, Roslan tetap pujuk mengatakan tiket boleh jual. Memanglah boleh jual, tetapi masa tak sesuai.

    “Bila saya cakap banyak kali tak boleh, tetapi Roslan tetap mahukan saya datang. Jadi, saya iyakan sahaja sebab susah nak layan orang seperti ini,” katanya.

    Mengulas kerugian ditanggung atas persiapan dilakukan seperti tiket penerbangan, hotel dan sebagainya, Jamal berkata, ia dibuat tanpa pengetahuannya.

    “Kenapa Roslan beriya-iya menyediakan tiket penerbangan dan hotel, termasuklah membuat promosi di stesen radio serta mengeluarkan poster tanpa kebenaran?

    “Sedangkan, saya tidak menandatangani sebarang kontrak perjanjian. Kenapa bersusah payah buat semua ini, sedangkan berulang kali saya cakap tak boleh datang.

    “Roslan mahu saya datang untuk memeriahkan suasana, tetapi saya berniaga barang sendiri, bukan barang dia pun. Mungkin Roslan sudah ambil duit daripada penganjur kononnya nak bawa artis Malaysia datang.

    “Disebabkan itu, Roslan memaksa saya, mesti ada agenda tertentu membuatkannya sanggup keluar duit untuk tiket penerbangan dan hotel.

    “Sekarang, saya pula jadi mangsa. Saya tahu agenda Roslan, pasti ada keuntungan di situ,” dakwanya.

    Justeru, Jamal menegaskan, penganjur tidak boleh mementingkan diri dan membuat keputusan tanpa persetujuan kedua-dua pihak.

    “Jangan fikir tekak sendiri sahaja, fikir orang lain yang nak berjalan jauh, letih. Dia tak tahu kepayahan saya sampai pagi menjayakan persembahan Hari Malaysia. Semalam jam dua pagi barulah saya selesai kerja.

    “Tidur pun pukul 3.30 pagi dan kemudiannya, saya kena pulang ke Kuala Lumpur dan seterusnya, ke Kuala Terengganu. Ada mereka fikir keadaan saya?

    “Jadi, mengenai bayaran tiket penerbangan, bilik dan sebagainya, itu bukan masalah saya.

    “Ini penerangan saya, takkan pergi, tiada masa dan memang tak boleh nak datang,” katanya.

    Bagaimanapun, kata Jamal, anak sulungnya, Osama Yamani dan pasukannya tetap hadir bagi menjayakan jualan produk di expo berkenaan dan membuat persembahan menggantikannya.

    Tambah Jamal, dia tidak bimbang peminat kecewa kerana bakal mengadakan konsert di Hotel Tenera, Bangi yang turut disertai peminat dari Singapura.

    “Nak cakap bimbang peminat kecewa, mungkin tidak. Sebabnya, dijangka 20 bas peminat akan datang dari Singapura untuk menyaksikan konsert saya.

    “Selain konsert di Singapura, peminat akan bertemu saya di konsert di Hotel Tenera,” katanya.

    Terdahulu, Roslan dalam hantaran dimuat naik dalam IG Story mempersoalkan kenapa Jamal tidak menepati janji.

    “Kenapa Datuk Jamal Abdillah buat saya begini? Janji harus ditepati. Telefon dan WhatsApp pengurus pun tidak berjawab. Sedangkan, semuanya disediakan oleh pihak penganjur.

    “Siapa nak bayar ganti rugi? Dugaan saya nak pergi umrah pada 27 September ini. Tak mengapa, Allah SWT ada walaupun

    saya teraniaya,” tulis Roslan.