Tag: Mindef

  • Beting Patinggi Ali milik Malaysia, tidak iktiraf sebarang tuntutan – MINDEF

    Beting Patinggi Ali milik Malaysia, tidak iktiraf sebarang tuntutan – MINDEF

    KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menjelaskan bahawa Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

    MINDEF dalam kenyataan hari ini memaklumkan dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

    “Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” menurut kenyataan itu bagi menjelaskan laporan media pada 25 Jan lepas mengenai tuntutan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

    Pada Rabu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa ATM mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali.

    Beliau dilapor berkata langkah berkenaan diambil adalah untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China dan penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

    Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa kapal peronda kelas – Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Kelantan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas. – BERNAMA

  • Skandal LCS: Kenyataan Mindef dan BHIC bercanggah

    Skandal LCS: Kenyataan Mindef dan BHIC bercanggah

    KENYATAAN Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) berhubung (redacted) pemadaman beberapa perenggan laporan forensik berkaitan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dilihat bercanggah.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, BHIC memaklumkan kepada mereka bahawa laporan forensik itu telah diterima daripada Mindef dalam keadaan beberapa perenggan ‘terpadam’.

    Namun, Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menegaskan dalam prosiding PAC bahawa MINDEF tidak pernah menerima laporan berkenaan daripada BHIC dan tidak terlibat dalam pemadaman sebahagian Laporan forensik tersebut.

    “PAC dengan ini meminta supaya Mindef mendapat penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC berkenaan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku,” kata Kah Woh di Bangunan Parlimen hari ini.

    Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, PAC telah membangkitkan isu pemadaman sebahagian maklumat dalam Laporan Pengauditan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) oleh JPM / MINDEF.

    Turut dibangkitkan ialah pemadaman sebahagian maklumat Laporan Pengauditan Forensik Kapal LCS yang disediakan BHIC, syarikat pembinaan kapal LCS.

    Mengenali laporan JKSTUPKK, Kah Woh berkata, PAC berpandangan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan memadam sebahagian maklumat di dalamnya.

    “PAC juga tidak puas hati dan tidak menerima penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan alasan pemadaman tersebut.
    “PAC menegaskan supaya laporan berkenaan dinyahklasifikasi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor di dalam laporan Jawatankuasa ini dan kabinet seharusnya memberikan arahan sedemikian,” katanya lagi.

    Mengenai kemas kini siasatan terhadap kes tersebut, beliau berkata, PAC juga dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa lima kertas siasatan telah dibuka, iaitu satu pada Februari 2021, dua pada Januari 2022 dan dua lagi masih dalam siasatan.

    Setakat hari ini, jelasnya, satu kes telah dibawa ke mahkamah, manakala satu lagi kertas siasatan telah dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

    “PAC akan memberikan ulasan terhadap semua tujuh tindakan yang sudah diambil Mindef terhadap syor laporan jawatankuasa ini untuk Perolehan Kapal LCS dan akan membentangkan laporan ini di Parlimen kelak,” katanya lagi.

  • Laporan jawatankuasa berkaitan LCS senarai lima kelemahan Mindef

    Laporan jawatankuasa berkaitan LCS senarai lima kelemahan Mindef

    JAWATANKUASA Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) tersebut lemah dan sebahagian daripada klausa-klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan.

    Memetik Astro Awani, laporan JKSTUPKK yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang itu juga mendapati, Kementerian Pertahanan tidak melaksanakan pemeriksaan wajar yang komprehensif bagi menilai keupayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    JKSTUPKK juga menerusi laporan yang telah dinyahklasifikasikan mendapati lima kelemahan tadbir urus, perolehan dan kewangan yang ditemui selain pemilihan reka bentuk, sistem pengurusan kombat dan sebahagian peralatan utama LCS dibuat berdasarkan syor serta pandangan BNS, bukan sepenuhnya daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna.

    Berdasarkan laporan itu, kelewatan projek sejak 2015 meliputi rekaan asas dan terperinci yang hingga kini masih belum dimuktamadkan.

    Bahkan, menurut laporan itu, kelemahan lain yang dikenal pasti ialah isu perolehan peralatan, lakaran pengeluaran, kekurangan tenaga kerja, jurutera tidak mahir, masalah kerjasama dengan Naval Group dan penghantaran peralatan keluli its yang lewat diterima serta masalah kecairan dan hutang tinggi ditanggung BNS.

    “Kegagalan untuk memuktamadkan isu pertukaran peralatan Integrated Platfrorm Management System (IPMS) dan Decoy Launching System (DLS) serta jadual pelaksanaan yang berlarutan hingga kini menyebabkan impak kos yang tinggi dan tambahan masa panjang akan ditanggung kerajaan, selain tuntutan kos bagi Surface to Surface Missile.

    “Kontrak lewat ditandatangani, bon pelaksanaan terkurang dikutip dan tempoh kuat kuasa bon tidak mengikut kontrak serta isu capping Liquidated Damages (LD) dalam kontrak,” kata laporan itu.

    Sehubungan itu, JKSTUPKK menerusi laporan itu mengesyorkan hala tuju kontrak LCS dan sekiranya ingin meneruskan kontrak, perkara berikut perlu dilaksanakan oleh MINDEF, TLDM dan syarikat BNS.

    • *Memuktamadkan segera pertukaran peralatan IPMS, DLS dan perlanjutan tempoh kontrak bagi mengelakkan peningkatan kos dan tambahan masa menyiapkan pembinaannya.
    • *BNS perlu segera menyiap dan memuktamadkan rekaan terperinci kapal selain meningkatkan amalan tadbir urus pengurusan kewangan dan perolehan peralatan bagi memastikan harga diperoleh adalah berbaloi dengan harga untuk kerajaan.
    • *Kawalan ketat oleh pegawai ke atas bayaran kemajuan kepada BNS supaya sumber kewangan kerajaan hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS sahaja.
    • *Kementerian Pertahanan perlu memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya capping dalam LD tidak dimasukkan dalam kontrak Supplementary supaya LD dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang lewat.
    • *Kajian faedah kos dilaksanakan bagi mengelakkan kos projek terus meningkat dan kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya.