Tag: MIDF Research

  • Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    PELABUR asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM512.3 juta sekali gus menjadi minggu kelima berturut-turut menjual bersih, menjadikan jualan bersih setakat ini kepada RM119.9 juta, demikian menurut MIDF Research.

    Dalam laporan aliran dananya bagi minggu dagangan singkat berakhir 10 Februari 2023, firma penyelidikan itu berkata, jualan bersih terbesar di bursa tempatan adalah pada Selasa sebanyak RM220.57 juta dan jualan bersih terendah pula pada Khamis iaitu RM40.84 juta.

    Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Thaipusam.

    MIDF Research berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih oleh pelabur asing pada minggu lalu ialah sektor tenaga iaitu RM26.4 juta dan sektor hartanah sebanyak RM3.9 juta.

    Sebaliknya, sektor pembinaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu lalu iaitu masing-masing pada RM724.6 juta, RM115.9 juta dan RM111.2 juta.

    Sementara itu, institusi tempatan terus memperoleh ekuiti Malaysia dengan belian bersih berjumlah RM121.0 juta pada minggu lalu.

    “Ini menandakan minggu kelima berturut-turut mereka membeli bersih. Insitusi tempatan membeli bersih pada setiap hari dengan belian bersih terbesar pada Selasa iaitu RM85.80 juta, diikuti Jumaat (RM34.63 juta) dan Khamis (RM25.74 juta).

    “Setakat ini, institusi tempatan membeli bersih sebanyak RM937 juta,” katanya.

    Peruncit tempatan turut kembali sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan belian bersih terbesar pada Selasa berjumlah RM134.78 juta, diikuti pada Rabu dan Jumaat dengan masing-masing pada RM57.15 juta dan RM56.76 juta, manakala belian bersih terendah dicatatkan pada Khamis iaitu RM15.09 juta .

    Menurutnya, dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh dengan peruncit tempatan (-24.9 peratus), institusi tempatan (-22.5 peratus) dan pelabur asing (-22.3 peratus).-BERNAMA

  • Momentum inflasi, kemungkinan besar OPR naik lagi

    Momentum inflasi, kemungkinan besar OPR naik lagi

    BANK Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir 2022 pada 22 November ini, berikutan momentum peningkatan inflasi dalam negara.

    Portal SatuBerita melaporkan, MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, inflasi teras mencecah paras kemuncak baharu apabila meningkat 3.8 peratus pada Ogos 2022 berbanding setahun lalu, dengan permintaan domestik terus mengukuh.

    Firma penyelidikan itu berkata, inflasi teras juga masih lagi merekodkan peningkatan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala inflasi utama terus melonjak sebanyak 4.7 peratus, tertinggi sejak April 2021.

    “Peningkatan kecil dalam inflasi bukan makanan dengan inflasi makanan mencatatkan rekod tertinggi baharu menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 4.7 peratus berbanding setahun lalu.

    “Bagaimanapun, kami mendapati tiga data IHP mengikut asas bulanan telah pun menunjukkan isyarat penyederhanaan. Ini sejajar dengan pembetulan kecil dalam harga komoditi global selain tekanan menurun rantaian bekalan di peringkat domestik dan serantau,” katanya.

    MIDF Research menambah, harga bahan api pada Ogos 2022 meningkat sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lalu, namun menguncup sebanyak 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, penurunan bulanan terbesar sejak Disember 2020.

    Katanya, ia sejajar dengan penurunan harga komoditi dengan minyak mentah Brent susut kepada AS$96.5 setong bulan lalu selepas berlegar di atas AS$100 setong sejak Februari lalu.

    “Selagi kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi bahan api sedia ada, kami melihat inflasi bahan api dan tekanan inflasi keseluruhan akan kekal stabil.

    “Namun dalam masa sama, kadar inflasi bukan bahan api mencatatkan rekod tertinggi 5.7 peratus yang antara disebabkan oleh kelemahan ringgit,” katanya, lapor BH Online.

    MIDF Research berkata, inflasi makanan di Malaysia meningkat kepada 7.2 peratus tahun ke tahun, paling tinggi pernah direkodkan.

    Ia menjelaskan, sebagai pengimport bersih makanan, penurunan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu sebahagiannya telah menyebabkan kenaikan inflasi makanan.

    “Dengan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menaikkan kadar dana lebih tinggi daripada jangkaan, ringgit akan kekal dalam trend melemah sehingga sekurang-kurangnya suku keempat 2022.

    “Menuju ke hadapan, kami menjangkakan inflasi makanan domestik akan mencatatkan penurunan pada kadar sederhana separuh kedua 2022 berikutan penurunan harga komoditi global, terutamanya harga berkaitan pertanian,” katanya.

    Ahli ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, pula berkata inflasi berkemungkinan telah memuncak sama ada pada Ogos atau September 2022, dengan peningkatannya berpotensi lebih rendah dalam bulan-bulan akan datang untuk berada hampir kepada empat peratus menjelang akhir tahun ini dan ke arah tiga peratus menjelang akhir 2023.

    Beliau berkata, setakat ini kebanyakan indeks komoditi utama telah mencatatkan kemuncak pada suku pertama 2022, selain daripada gas asli, di tengah-tengah perkembangan geopolitik di Eropah.

    “Disebabkan itu, tekanan harga terhadap item utama seperti ayam, telur dan minyak masak akan turun apabila kos input berkurangan.

    “Namun demikian, satu kebimbangan yang kita alami adalah inflasi diimport daripada kelemahan ringgit yang akan menyebabkan kos barangan lebih tinggi,” katanya.

    Nazmi berkata, di sebalik kenaikan inflasi teras, CGS-CIMB menjangkakan normalisasi kadar faedah oleh BNM akan berhenti seketika semasa mesyuarat MPC bulan depan, berikutan kebimbangan terhadap tinjauan global yang lemah.

    “Bagaimanapun, kami menjangkakan dua lagi kenaikan 25 mata asas pada separuh pertama 2023,” katanya.