Tag: Mesir

  • MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MUHAMMAD FIRDAUS

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam mengimamkan solat jenazah pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Firdaus Ab Rais yang mati lemas dalam satu kejadian di Mesir kelmarin.

    Allahyarham, 25, meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

    Ahmad berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Menurutnya, beliau bersama Duta Besar Malaysia Ke Mesir sempa bersuia dengan ahli keluarga Allahyarham yang baru tiba di negara itu.

    “Sama-sama kita doakan moga Allah SWT cucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

    Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

    Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

    Memetik laporan Sinar Harian, ibu Muhammad Firdaus, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka dengan kejadian yang menimpa anaknya.

    Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

    Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

    “Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

    “Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, semalam.

    Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

    “Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu,” katanya.

  • Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 22 orang terbunuh dan 33 lagi cedera dalam nahas jalan raya apabila sebuah bas dan trak bertembung di Wilayah Minya di selatan Mesir, dalam kejadian pada Selasa.

    “Sebuah bas penumpang dari wilayah selatan Sohag dalam perjalanan ke Kaherah telah merempuh belakang trak yang berhenti di tepi jalan,” kata Gabenor Osama Al Qady kepada Xinhua.

    Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

    Nahas berlaku kira-kira 200 kilometer dari Kaherah.

    Kemalangan jalan raya banyak berlaku di Mesir kerana infrastruktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik selain penguatkuasaan lemah peraturan lalu lintas.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah meningkatkan perkhidmatan rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu serta membaiki jalan lama untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. – BERNAMA

  • 8 kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan jalan raya

    8 kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan jalan raya

    SEKURANG-KURANGNYA lapan kanak-kanak maut pada Sabtu apabila sebuah kenderaan penumpang roda tiga terbalik dan tenggelam di saluran pengairan di wilayah Delta Nil, Beheira, Mesir kata pihak pendakwa raya awam negara itu dalam satu kenyataan.

    Mangsa antara 12 penumpang yang menaiki beca dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang di sebuah bandar di Beheira, utara ibu kota Kaherah.

    Empat yang lain terselamat dalam kemalangan itu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Pihak pendakwa menahan dan menyoal siasat pemandu beca berusia 19 tahun itu atas tuduhan membunuh tanpa sengaja dan membawa kenderaan tidak dibenarkan dan tidak dilesenkan dalam keadaan berbahaya.

    Dia juga disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia dan menggunakan buruh kanak-kanak. – BERNAMA

  • Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

    Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

    MUHAMMAD Haikal Ahmad Kabir, pelajar yang mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan dalam kemalangan jalan raya di Khaerah, Mesir telah selamat menjalani pembedahan yang menelan kos EGP100,000 (RM26,000).

    Menurut laporan Education Malaysia Egypt menerusi Facebook rasminya pada Ahad, Muhammad Haikal merupakan antara lima penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar yang cedera dilanggar motosikal semasa melintas jalan dalam kejadian pada Jumaat lepas. Rakan-rakannya yang lain cedera ringan.

    “Dia kini dalam proses sembuh dan keluarga kesemua mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan masing-masing,” kata Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mohd Yasser Abdul Ghani malam tadi yang dihubungi Bernama.

    Dalam kajadian pada sebelah malam itu motosikal itu dilaporkan tidak memasang lampu hadapan. Kesemua mangsa yang berasal dari Kedah dihantar ke Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin, Kaherah untuk rawatan dengan hanya Muhammad Haikal yang cedera parah.

    Mohd Yasser turut menyampaikan penghargaan kepada orang awam di Malaysia yang menyumbang daripada segi kewangan sehingga urusan merawat kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

    Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan memastikan kebajikan dan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan di pihak mangsa, dapat diberikan, kata Mohd Yasser.

    Sementara itu,  wakil Duta Besar Malaysia Ke Kaherah Zamani Ismail turut menziarah mangsa terbabit.-BERNAMA