Tag: Mersing

  • Pelajar IPTS hilang selepas daki bukit seorang diri

    Pelajar IPTS hilang selepas daki bukit seorang diri

    PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing, pada 1 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan motosikal milik Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, di kawasan berhampiran pulau itu dalam keadaan baik dan tidak berkunci, semalam.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada 5 petang semalam membabitkan 22 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing.

    “Operasi peringkat awal membabitkan pencarian di hutan dan persisiran pantai.

    “Operasi dihentikan pada 7 malam atas faktor keselamatan berikutan cuaca gelap dan hujan. Operasi disambung semula pada 8 pagi hari ini,” katanya hari ini..

    Abdul Razak berkata, laporan polis mengenai kehilangan mangsa dibuat oleh bapanya di Balai Polis Kluang pada awal pagi semalam.

    Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing, Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, seorang saksi awam mengaku ada bersembang dengan mangsa pada 1 Februari lalu.

    “Saksi memberitahu pihak APM bahawa mangsa ingin masuk ke Pulau Mawar tanpa arah tuju.

    “Mangsa kemudian beredar dengan meninggalkan sebuah motosikal di kawasan tempat kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, APM berpendapat mangsa hilang dan sesat di pulau itu.

    Katanya, pada hari kedua SAR hari ini, lima agensi terbabit iaitu polis, bomba, APM, Majlis Daerah Mersing dan malim gunung.

    “Mangsa masih lagi belum ditemui sehingga pukul 10.20 pagi hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Tiga calon SPM Orang Asli naik helikopter untuk hadiri peperiksaan

    Tiga calon SPM Orang Asli naik helikopter untuk hadiri peperiksaan

    TIGA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Orang Asli Punan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar di Mersing menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam, untuk menghadiri peperiksaan berkenaan.

    Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata Norfaizal Selamat, Jefzulkiflie Addy dan Christie Maurinissca Clay masing-masing berusia 18 tahun dan merupakan Orang Asli Suku Jakun itu dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW189.

    Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga calon itu sepatutnya hadir ujian amali sains SPM pada Isnin lepas (30 Jan), namun terpaksa ditangguhkan berikutan jalan raya yang menghubungkan kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air.

    “Bagaimanapun, atas dasar pertimbangan pihak SMK Nitar, ketiga-tiga calon berkenaan dibenarkan menghadiri ujian itu hari ini.

    “Kesemua mereka akan tinggal di asrama sekolah berkenaan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setakat 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 1,373 orang melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

    Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan SPM 2022 dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac ini melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis membabitkan 403,637 calon. – BERNAMA

  • Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    PEJABAT UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di Mersing dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

    Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

    “Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

    “Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA