Tag: Menyamar polis

  • Dua rakan mengaku salah rompak, menyamar polis

    Dua rakan mengaku salah rompak, menyamar polis

    DUA rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal dan menyamar sebagai pegawai polis.

    Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

    Mahkamah tidak membenarkan dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin dan menetapkan 7 Mac ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

    Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berumur 25 tahun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan sebuah motosikal.

    Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, Brickfields di Kuala Lumpur, pada 4.30 pagi, 28 Jan lepas, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat.

    Mereka juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi melakukan rompakan di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn.

  • Juruteknik dipenjara 5 tahun kerana merompak, menyamar polis

    Juruteknik dipenjara 5 tahun kerana merompak, menyamar polis

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis.

    Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Saiful Ridzuan Ibrahim, 31, mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan, lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM150 milik lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun di tepi jalan, Jalan Kuala Berang, Kampung Binjai Rendah, Kuala Terenganu, jam 8 pagi, 6 September lalu.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis dengan cara menahan dan menyuruh mangsa menaiki kenderaan di tepi jalan, Jalan Pejabat di Kuala Terengganu, pukul 7.30 pagi, pada hari sama.

    Bagi kesalahan merompak, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 22 September lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyamar sebagai polis, Isnin lalu.

    Tertuduh, C. Kevin Cornelius, 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan dengan menyamar sebagai anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan THC (tetrahydrocannabinol) ke dalam badan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun selain perlu menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.

  • Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

    POLIS memburu empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek masih bebas manakala dua rakan mereka diberkas polis pada 14 November lalu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.

    “Dua lelaki ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari.

    “Empat lelaki yang dikehendaki ialah Davadas Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; Xavier Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor; Murugan Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan.

    Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya diculik semasa berada di rumah.

    Polis kemudian menerima panggilan memaklumkan mangsa sudah berada di Hospital Selayang, Selangor.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.

  • Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas terlibat dengan satu pertelingkahan di deretan rumah kedai di Taman TTDI Groove, Kajang, Sabtu lalu.

    Suspek yang tular dalam media sosial selepas pertelingkahan itu dirakam dan disebarkan, menyamar sebagai polis dan mengeluarkan kad kuasa palsu untuk melindungi dirinya dalam kejadian tersebut.

    Sebuah klip video berdurasi 50 saat tular dalam media sosial memaparkan suspek mendakwa dirinya bertugas di Balai Kajang dan mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

    Menurut
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pertelingkahan dipercayai berkaitan isu hutang sewa rumah membabitkan suspek sekitar pukul 2.29 pagi.

    “Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam dan dalam kejadian itu suspek seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku dirinya anggota polis serta mengeluarkan kad kuasa polis untuk melindungi diri.

    “Oleh kerana curiga pengadu dalam kejadian ini seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah menghubungi pihak polis untuk hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu dan ditahan oleh anggota polis peronda.

    “Hasil siasatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya merampas beberapa peralatan polis iaitu sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang, satu unit gari dan kad kuasa polis yang dirampas,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis melibatkan suspek sebelum ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

    “Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda,” katanya. – SB