Tag: menyamar

  • Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    TAKTIK licik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut pemilik premis salun kecantikan sekitar Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata kesemua suspek berusia 38 hingga 48 tahun itu, ditahan pada jam 12 tengah hari, hasil risikan serta operasi yang dijalankan selama dua minggu.

    Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas baju dan topi yang tertera tulisan KKM serta beberapa peralatan selain produk kesihatan.

    “Siasatan awal mendapati kumpulan ini menjadikan salun kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM, bagi menjalankan rawatan kecantikan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat berjadual sebagai mangsa.

    “Mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan saman atau denda RM200,000 serta penjara kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Anbalagan berkata pemilik premis yang ketakutan kebiasanya akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak daripada dikenakan tindakan, malah ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan setakat ini siasatan mendapati lebih 20 premis telah menjadi mangsa, iaitu di sekitar kawasan Serdang, Petaling Jaya, Selayang, Shah Alam Bukit Jalil, Sentul dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM42,000.

    Anbalagan berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis dan menasihatkan mana-mana pemilik salun yang menjadi mangsa untuk untuk tampil membuat laporan, bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

    Beliau berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi serta pecah rumah dan kesemua mereka akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Menyamar Raja Muda Perak di Pejabat Sultan Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG individu ditangkap polis selepas dia menyamar sebagai Raja Muda Perak ketika berurusan di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar di sini pada hujung Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek ditangkap semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 5.30 petang.

    Katanya, kejadian terbabit berlaku pada pukul 11.30 pagi, 28 Jun lalu, semasa suspek hadir dengan dua lagi wanita sambil memperkenalkan diri menggunakan sekeping kad berwarna kuning.

    “Pengadu telah ambil kad tersebut untuk membuat pemeriksaan dan mendapati butiran yang tertera adalah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia British Bin Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Sheikh Tengku Lope Salleh Of Royal Irish Fusiller Princess Victoria.

    “Pengadu telah membuat semakan dengan Bahagian Protokol dan Istiadat Negeri Perak dan telah disahkan bahawa tiada kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan dengan nama, gelaran dan nombor kad pengenalan sedemikian,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan termasuk mengetahui motif kejadian.

  • 19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    CUBAAN 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kedua-dua bot itu ditahan berasingan ketika menangkap ikan pada kedudukan 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 pagi.

    Cubaan 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas. Foto MARITIM MALAYSIA

    Beliau berkata kedua-dua bot dengan 19 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dicat nombor pendaftaran Malaysia menggantikan nombor pendaftaran Vietnam. Kedua-dua bot itu disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata siasatan juga mendapati nelayan warga asing itu disyaki memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia

    “APMM akan membuat siasatan lanjut sama ada terdapat sindiket yang memalsukan dokumen berkenaan,” katanya.

    Tambah beliau dua bot itu dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan dan bahan bekalan api diesel masih berbaki sebanyak 9,500 liter.

    Katanya, pihaknya terpaksa menunda kedua-dua bot itu selama lebih 26 jam untuk sampai ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, berikutan salah satu daripada bot berkenaan mengalami kerosakan enjin.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.- BERNAMA

  • Wanita hilang RM70,000 ditipu individu mengaku polis

    Wanita hilang RM70,000 ditipu individu mengaku polis

    SEORANG pekerja swasta wanita berusia 49 tahun di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

    Mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat Telekom Malaysia baru-baru ini.

    NOORZAINY MOHD. NOOR

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, individu terbabit mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

    Menurut beliau, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan yang memaklumkan mangsa terlibat pula dengan kes pengubahan wang haram.

    “Takut dan panik dengan dakwaan itu, wanita berkenaan kemudian mengikut arahan suspek supaya menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) kononnya bagi siasatan lanjut.

    “Malah, mangsa juga diingatkan supaya tidak memberitahu sesiapa berkenaan panggilan yang diterimanya itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Noorzainy, sebaik sahaja menyerahkan nombor TAC dan OTP seperti diarahkan, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya berkurangan.

    Selain itu katanya, mangsa juga telah memindahkan sebahagian wang simpanannya ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek kerana mempercayai bagi tujuan siasatan.

    “Selepas mendapati wang simpanannya sebanyak RM70,000 telah lesap, mangsa akhirnya menyedari dia telah ditipu dan membuat laporan polis semalam.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Noorzainy mrngingatkan orang ramai sulaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mendakwa kononnya dari mana-mana pihak berkuasa terutama anggota polis.

    Ini kerana jelasnya, pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon apatah lagi meminta maklumat perbankan kononnya untuk melengkapkan siasatan.
     

  • Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    SEORANG pemuda dari Bandar Baru Semariang diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 120 jam atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zubaidah Sharkawi terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

    Tertuduh pada 6 Julai lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

    Oleh itu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam agregat dalam tempoh satu tahun mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan (doktor) pada 16 Jun sehingga 1 Julai 2021 di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas kakitangan palsu Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Difahamkan, tertuduh pernah pergi ke HUS kira-kira 32 kali untuk menyamar sebagai doktor.

    Dia juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, stetoskop, oksimeter nadi dan menempah cap atas nama Dr. Shah Hairil Izwan.

    Tertuduh bagaimanapun ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya kira-kira pukul 3 petang pada 1 Julai 2021.

    Ini selepas seorang doktor lelaki berusia 25 tahun yang juga pengadu mendapati tertuduh mempamerkan perbuatan mencurigakan di PPV tersebut.

    Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.