Tag: Menu Rahmah

  • Menu Rahmah: Peniaga dakwa ‘sengsara’, kerajaan dapat nama

    Menu Rahmah: Peniaga dakwa ‘sengsara’, kerajaan dapat nama

    PENIAGA makanan terlibat program Menu Rahmah membidas kerajaan kerana didakwa hanya mahu ‘popular’ tanpa mengambil kira keperitan peserta yang menjayakannya.

    Mengakui program itu bersifat pilihan, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Farawahida berkata, kerajaan seharusnya lebih cakna dengan menyelesaikan isu kenaikan bahan mentah.

    Kata wanita berusia 38 tahun itu, ketiadaan inisiatif kerajaan menyebabkan ramai peniaga kecil seperti dirinya terjejas teruk dan tidak mungkin mampu bertahan lama.

    “Tidak adil jika kerajaan dapat nama (popular) di atas usaha peniaga.

    “Jika ada usaha kawal dan turun harga barang, mungkin semua pihak termasuk peniaga akan berpuas hati,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 29 Mac lalu dipetik berkata, kerajaan tidak bercadang memberi insentif atau subsidi kepada 1,706 pengusaha terbabit program Menu Rahmah.

    Bagaimanapun kementeriannya menyokong dari segi promosi melalui platform media dan portal Menu Rahmah bagi memastikan inisiatif yang diperkenalkan pada 31 Jan lalu berkenaan dapat diperluas.

    Bagi seorang lagi peniaga dikenali Nurul Nashfisha, 18, dia menyifatkan pendirian kerajaan itu sebagai tidak adil.

    “Sekarang ini kerajaan yang dapat nama, padahal kita sama-sama membantu kerana tahu ramai orang susah sekarang.

    “Jangan hanya harapkan peniaga sahaja yang akhirnya menyebabkan program ini tidak kekal kerana harga barang semakin meningkat,” katanya yang berniaga bersama ibunya di kaki lima di Kelana Jaya.

    Seorang peniaga Mirza Zakaria, 38, mendakwa ada rakannya hanya mendapat untung bersih RM50 sahaja menerusi program Menu Rahmah yang harus membuka mata kerajaan supaya tampil membantu peserta program itu.

    “Bagi saya idea itu bagus tetapi tidak berbaloi buat peniaga.

    “Jadi sekarang kerajaan kena pertimbang hendak teruskannya atau tidak selepas buat pendirian tidak akan berikan insentif kepada peniaga,” kata peniaga murtabak di pasar malam itu.

  • ‘Menu Rahmah tutup kebenaran kos harga makanan meruncing’ – MUDA

    ‘Menu Rahmah tutup kebenaran kos harga makanan meruncing’ – MUDA

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan inisiatif Menu Rahmah sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi krisis ekonomi utama iaitu kos harga makanan yang meningkat.

    Menurut Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Shah Ghazni, Menu Rahmah masih mempunyai kelemahan sendiri kerana ia hanya memberi fokus kepada sesetengah peniaga.

    Beliau menjelaskan, peniaga yang mempunyai perniagaan lebih stabil dalam menyediakan juadah selaras dengan inisiatif dilancarkan kerajaan itu, mendapat manfaat berbanding peniaga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    “Kesannya, peniaga yang ingin menawarkan Menu Rahmah hanya sedikit. Ini membuktikan Menu Rahmah yang diuaruarkan hanya satu lagi fasad politik yang menutup kebenaran sebenar kos harga makanan yang semakin meruncing sekaligus membebankan lagi rakyat yang tidak mampu untuk membeli makanan pada harga yang rendah dan berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Shah Fariq Aizal berkata, kegusaran rakyat mengenai tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dihasilkan dalam Menu Rahmah juga salah satu asbab mengapa inisiatif ini dipertikaikan.

    Katanya, umum sedia maklum bahawa penghasilan makanan yang bersih dan berkualiti memerlukan kos yang tinggi.

    Ini katanya menunjukkan Menu Rahmah adalah terbatas dari segi pemilihan makanan untuk rakyat nikmati dan juga buat para peniaga untuk menawarkan juadah yang berkhasiat.

    “Oleh itu, bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin, kerajaan perlu memastikan kesedaran mengenai krisis ekonomi difahami.

    “Selain itu, usaha untuk memperhalusi inisiatif-inisiatif lain juga dapat membantu meringankan beban rakyat sekaligus mencapai matlamat Malaysia Madani.

    “Diharapkan dengan adanya pelaksanaan program kesedaran yang betul seperti bertemu dengan rakyat setempat untuk memahami keresahan mereka dapat dilaksanakan sekaligus meningkatkan keupayaan masyarakat untuk meneruskan kehidupan seharian selain daripada mengharapkan satu inisiatif begini sahaja,” katanya.

  • Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    SEORANG pemilik restoran di Bayan Lepas, Pulau Pinang, mengakui terpaksa menghentikan ‘Menu Rahmah’ hanya beberapa minggu selepas memperkenalkannya, memandangkan sambutan orang ramai yang kurang dan kerugian kewangan.

    Dalam video yang disiarkan di akaun TikTok rasmi Tong Kayu Cafe Original, pemiliknya Fakhrul menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain menghentikan menu tersebut kerana tidak tahan lagi menanggung kerugian.

    “Ya… Saya kena hentikan Menu Rahmah… dengan alasan yang tertentu. Sebenarnya dengan harga RM5 masih ada untung, tapi untungnya kecil dan kita kena main dengan volume.

    “Saya telah buat promosi kepada penduduk, tapi masalahnya tidak ada sambutan.

    “Ada dua sebab untuk pemberhentian itu – yang pertama adalah kerana faktor ekonomi. Saya tidak memiliki modal yang besar dan perniagaan saya hanya perniagaan biasa.

    “Kedua, sambutan yang sangat lemah sehingga membawa kepada kerugian,” katanya dalam video yang menerangkan keputusan dan sebab di sebalik penamatan ‘Menu Rahmah’, lapor Agenda Daily.

    Fakhrul berkata, dia telah memperkenalkan dua menu – nasi putih berlauk ayam masak kicap dan nasi putih ayam goreng kunyit.

    “Saya tidak menyediakan banyak – hanya kira-kira 15 pinggan untuk setiap menu – tetapi kami masih tidak dapat menghabiskannya. Kami terpaksa ‘melepaskan’ hidangan.

    “Saya sudah tidak tahan lagi. Kami ada menu untuk kira-kira dua hingga tiga minggu sudah.

    “Saya menceritakan perihal perniagaan saya… bukan menghentam mana-mana pihak. Saya tak pro mana-mana. Isu ini untuk perniagaan saya… saya peniaga kecil,” katanya.

    Fakhrul turut melahirkan harapan agar pelanggannya tidak mengecamnya atas keputusan itu, sambil menambah bahawa mereka pada mulanya bersemangat tinggi untuk menyokong inisiatif berkenaan, tetapi terpaksa berhenti seketika kerana kerugian.

  • ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    ‘Saya tak sebut pun Menu Rahmah’, kata Halimah sangkal dakwaan media

    AHLI Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali sekali lagi menafikan kenyataannya yang mengaitkan makanan bermutu rendah dengan autisme dan kanser, ada kaitan dengan inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan.

    Ini selepas beliau terus diasak Malaysiakini yang cuba mendapatkan maklum balasnya berkenaan usaha Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii agar beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan itu.

    Hansard kenyataan Dr Halimah yang mencetuskan kontroversi.

    Halimah mendakwa Malaysiakini dan KiniTV mencetuskan salah faham itu dan menegaskan kenyataannya langsung tidak menyebut langsung “Menu Rahmah”.

    “Mengapa anda kata saya sebut ‘Menu Rahmah sebabkan kanser’? Saya tak sebut pun Menu Rahmah!

    “Tidak disebut Menu Rahmah (dalam kenyataan asal),” katanya ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini.

    Apabila pemberita cuba membangkitkan bahawa beliau merujuk inisiatif itu dalam perbahasannya di Dewan Rakyat seperti dinyatakan hansard, iaitu rekod rasmi parlimen ahli parlimen Pas itu sekali lagi menyangkalnya.

    “Tetapi tiada (disebut) ‘Menu Rahmah’. Baca (hansard) satu per satu,” katanya kepada Malaysiakini.

    “Anda (Malaysiakini dan KiniTV) yang menyebabkan semua salah tanggapan ini,” katanya lagi.

    Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Halimah juga menafikan beliau ada menyebut Menu Rahmah menyebabkan kanser dan meminta semua pihak agar merujuk hansard.

    Berikut adalah kenyataan Halimah berdasarkan hansard:

    “Saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semua keperluan asas. Kita tak mahu – saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan.

    “Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

    “Saya tidak ada masalah dengan istilah ‘rahmah’ atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.”

    Dihujani kritikan

    Sementara Halimah menafikan beliau menyebut Menu Rahmah, kenyataannya berhubung istilah “rahmah” dan “makanan yang low quality” memberikan gambaran sebaliknya.

    Inisiatif Menu Rahmah diperkenalkn kerajaan pada Januari lalu sebagai sebahagian usaha menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.

    Di bawah inisiatif ini, restoran dan kedai makan akan menyediakan makanan pada harga RM5 ke bawah.

    Salah satu syarikat yang menyertai inisiatif itu, Mydin menafikan harga yang murah menandakan makanan yang disediakan bermutu rendah.

    Kenyataan yang dibuat Halimah itu mengundang kritikan, antaranya berhubung perkaitan antara mutu makanan dan autisme.

    Pada Khamis lalu, beliau menjelaskan tidak berniat mengaitkan makanan bermutu rendah boleh menyebabkan autisme.

  • Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    KONSEP Menu Rahmah disifatkan hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).

    Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.

    “Sebenarnya konsep ini sudah dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ia diketepikan.

    “Memang ada kebaikannya (Menu Rahmah), tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Rakyat lebih mahu kenaikan gaji dan juga pengeluaran wang KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhamad Muqharabbin berkata, sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu membabitkan kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

    “Rakyat kini sudah mampu menilai janji manifesto yang langsung tidak berfungsi selepas menang PRU,” katanya.

    Susulan itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau berharap Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini dapat membawa berita gembira berhubung kenaikan gaji di Malaysia.

    “Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan.

    “Kita tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Jadi, bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan,” katanya.

  • Antara Menu Rahmah dan Nasi Ayam Bajet!

    Antara Menu Rahmah dan Nasi Ayam Bajet!

    guane

    KEBELAKANGAN ini heboh orang bercakap dan memperkatakan mengenai Menu Rahmah.

    Ada mengatakan program yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 31 Januari lalu itu lebih kepada pendekatan popular Kerajaan Perpaduan.

    Sedangkan ia dikatakan masih gagal menterjemahkan masalah sebenar dihadapi oleh rakyat di negara ini ketika berhadapan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan mereka.

    Sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

    Ini kerana isu utama rakyat ialah berkaitan kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah di pasaran yang semakin meningkat dan gagal di kawal kerajaan.

    Ramai yang bertanya sampai bilakah isu harga ayam, daging, telur, ikan dan sayur-sayuran akan selesai?

    Dan bagaimanakah pula usaha dan ikhtiar kerajaan dan kementerian terbabit dalam menyelesaikan masalah tersebut?

    Berdasarkan itulah, sebaik sahaja program Menu Rahmah dilancarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada peringkat awalnya ramai golongan peniaga kurang bersetuju kerana mereka mendakwa hanya meraih keuntungan yang sedikit.

    Selain itu, ada juga peniaga mempersoalkan kenapa kerajaan meminta peniaga makanan menurunkan harga sebaliknya kenaikan
    harga bahan mentah di pasaran dikatakan amat membebankan.

    Bayangkan kalau kenaikan harga daging import sekarang mencecah kepada RM35 sekilogram, ayam.(RM10), ikan kembong (RM15), ikan selayang (RM10), tomato (RM10), harga cili merah (RM15), kubis (RM20), tomato, timun dan terung (RM10).

    Ini tidak termasuk bekalan minyak masak dan telur ayam yang bukan setakat mengalami harga tidak menentu, tetapi bekalannya seringkali terputus di pasaran terutama pada musim perayaan.

    Justeru para peniaga meminta kerajaan sepatutnya bertindak lebih agresif dalam mengawal harga bahan-bahan mentah terbabit dalam pasaran.

    Selain itu, mereka juga mahukan tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga yang menjual barangan melebihi harga ditetapkan.

    Bagi pengguna, ada yang berpendapat, antara Menu Rahmah dengan Nasi Bajet atau Nasi Ayam Bajet, mereka lebih suka memilih hidangan yang dijual secara bungkus dengan harga murah termasuk dari segi kualiti dan kuantiti khususnya di warung-warung dan gerai-gerai tepi jalan.

    Apa yang penulis perhatikan sebelum program Menu Rahmah ini wujud, sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

    Sebagai contoh, harga nasi bajet dan nasi ayam bajet hanya berharga antara RM4 dan RM4.50, mee celup masih ada peniaga menjual dengan harga RM2.

    Penulis juga mendapati Warung Kak Lah di Losong Kuala Terengganu masih menjual Teh dengan harga RM1 dan kuih untuk sarapan berharga di bawah RM1.

    Restoran Sri Mambu di Kampung Ru Muda, Marang pula menjual air milo berharga RM1 dan nasi berlauk ayam goreng dan telur di bawah harga RM4.

    Begitu juga dengan kedai Roti Canai Pian di Pasar Marang yang masih menjual air milo dan roti canai dengan harga RM1.

    Dalam soal ini, apa yang penulis ingin perkatakan ialah mengenai sikap peniaga itu sendiri, bukan soal untung sedikit atau tidak untung langsung.

    Ada peniaga yang menjual air milo sehingga RM3 secawan, roti canai (RM1.50) dan nasi ayam (RM6).

    Maka itu, penulis berpendapat selagi kerajaan gagal mengawal kenaikan harga bahan mentah, kita tidak dapat menjangkakan sampai bilakah lebih 15,000 peniaga di bawah program Menu Rahmah ini dapat bertahan bagi menawarkan harga makan tengah hari dan malam serendah harga RM5.

    Adakah ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau sekadar mencari formula pendekatan popular?

  • Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    MENU Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan B40 menikmati juadah pada harga bawah RM5, bukan satu langkah tepat dari sudut ekonomi.

    Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu lebih bersifat emosi berbanding ekonomi.

    “Kerajaan ambil maklum mengenai menu dan harga. Berhati-hati. Saya hargai niat itu, tetapi tidak di sudut ekonomi.

    “Mungkin ia dapat mudah sedikit mempromosikan menu ‘berpatutan. (Tindakan) Lebih emosi dari ekonomi,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

    Menurut Noor Azlan, meskipun murah, ia tidak semestinya bagus, sebaliknya perlu ada had dalam penetapan harga.

    “Kerajaan bekerjasama dengan persatuan pembekal (erti kata lain ‘bersubahat’) untuk menetapkan harga yang jelas menentang persaingan sihat di pasaran.

    “Harap isu yang lebih besar tidak dibiarkan begitu sahaja. (Contoh) Pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, peluang untuk semua, gaji yang adil, pasaran yang cekap, harga berpatutan, kemampuan, produktiviti.

    “(Dengan) Semangat yang disasarkan, lebih baik membantu golongan memerlukan secara terus daripada campur tangan pasaran terbuka,” katanya.

    Mengulas lanjut Noor Azlan memberitahu. keutamaan perlu diberikan kepada meningkatkan pendapatan yang lebih kekal lama.

    “Kerajaan teruskan usaha membantu rakyat. Kita hargai,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha kerajaan itu bagi membantu golongan B40 serta miskin yang memerlukan makanan siap dimasak.

    Pengenalan harga RM5 ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.