Tag: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin

  • 1.3 juta pelajar di empat negeri mula bersekolah hari ini

    1.3 juta pelajar di empat negeri mula bersekolah hari ini

    LEBIH 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan, hari ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, empat negeri terbabit adalah Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Beliau memberitahu, jumlah tersebut merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

    “Kemasukan yang berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar dan teratur,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

    Katanya, selain daripada membuat pemantauan di sekolah, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama semua guru, termasuk guru prasekolah serta ibu bapa.

    Menurutnya, sesi libat urus itu membabitkan perkara berkaitan dengan pengoperasian dan menumpukan konsep Sekolahku Sejahtera, yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

    “Kita akan berbincang dengan ibu bapa bagaimana cara terbaik untuk memastikan konsep Sekolahku Sejahtera itu dapat dilaksanakan dengan baik.

    “Konsep berkenaan adalah sebagai usaha untuk menerapkan nilai penting dalam kehidupan anak-anak dan sudah pasti ia bukanlah satu mata pelajaran baharu, sebaliknya kaedah menerapkan nilai semula jadi dalam kehidupan yang akan menjadi satu norma buat generasi baharu,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun padang secara mengejut memantau tahap pengudaraan optimum di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Setakat ini pihaknya melihat ada peningkatan dalam usaha untuk mengoptimumkan pengudaraan di sekolah meskipun pada peringkat awal ramai dalam kalangan pentadbir sekolah kurang memahami mengenai kaedah serta pendekatan yang boleh digunakan bagi melaksanakan usaha berkenaan.

    “Namun sekarang, kita melihat guru serta pihak sekolah secara keseluruhannya mula memahami sistem pengudaraan ini satu komponen penting dan mereka saling berusaha untuk memastikan pengudaraan dalam bilik darjah serta pejabat berada pada tahap yang optimum.

    “Saya harap Jabatan Pendidikan negeri serta PPD dapat turun secara mengejut pada bila-bila masa untuk memastikan segala tata cara yang ditetapkan dalam garis panduan yang disediakan itu dapat dipatuhi dengan baik, khususnya aspek pengudaraan,” katanya.

  • Sekolah wajib periksa sijil digital vaksinasi guru-Radzi

    Sekolah wajib periksa sijil digital vaksinasi guru-Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mewajibkan semua sekolah di seluruh negara melakukan pemeriksaan sijil digital vaksinasi terhadap warga pendidik bermula Isnin bertujuan menjamin persekitaran sekolah yang selamat.

    Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, usaha tersebut supaya tidak berlaku kes tertentu termasuk kes guru yang memaklumkan telah divaksin namun sebaliknya.

    Pada masa sama katanya, dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap jangkitan Covid-19 ketika mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

    “Pemeriksaan itu juga bertujuan memperoleh data yang tepat sekiranya jika ada tindakan yang perlu dilakukan.

    “Semua guru akan disemak sijil vaksinasi oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini yang ada ini pada 1 November adalah data yang begitu tepat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

    Turut hadir Ketua SetiausAha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof

    Katanya, terdapat pengurangan jumlah guru yang tidak mahu menerima vaksin selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam tidak divaksin tanpa sebarang alasan kesihatan bermula 1 November.

    Namun katanya, jumlah semakin berkurangan tetapi bilangan itu masih ramai dan secara tidak langsung tindakan mereka itu paling memberi kesan dalam konteks operasi sekolah.

    KPM ujarnya, tegas daripada segi vaksinasi dalam kalangan guru kerana menjejaskan operasi di sekolah walaupun jumlahnya tidak ramai tapi kesannya cukup besar.

    Tambah beliau, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diarahkan melakukan pemeriksaan mengejut di sekolah bagi melihat tahap pematuhan garis panduan yang ditetapkan khususnya pengudaraan optimum di kelas-kelas yang digunakan bagi sesi pembelajaran.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah murid yang sepatutnya hadir ke sekolah bagi semua negeri yang melepasi fasa empat seramai 694,531 bagi murid sekolah rendah dan 652,148 pelajar sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.3 juta orang.

  • JPN, PPD perlu kerap pantau pematuhan garis panduan pengoperasian sekolah

    JPN, PPD perlu kerap pantau pematuhan garis panduan pengoperasian sekolah

    JABATAN Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu lebih kerap turun ke sekolah bagi memantau pematuhan ketetapan dalam garis panduan pengoperasian sekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selain itu beliau berharap agar guru memberi perhatian kapada aspek pengudaraan yang optimum di dalam bilik darjah.

    “Saya juga tertarik dengan perkongsian guru-guru prasekolah, antaranya mengenai pendekatan yang mereka rasakan sesuai untuk meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah.

    “Terima kasih kepada semua kerana memahami aspirasi, dan perancangan KPM bagi menyediakan akses pendidikan berkualiti dan saksama kepada anak-anak pewaris negara, khususnya ketika kita bergerak ke fasa endemik COVID-19,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu Dr. Radzi hadir dalam sesi libat urus bersama guru prasekolah, guru sekolah rendah dan menengah serta PIBG di seluruh daerah Muar.

    Beliau berkata, selain penjelasan tentang pengoperasian sekolah, turut kongsikan 14 elemen penting dalam memupuk dan membudayakan amalan serta nilai murni sejak mula persekolahan melalui penerapan konsep #SekolahKuSEJAHTERA.

    “Semua saranan yang dikemukakan warga pendidik sepanjang program maraton libat urus akan diperhalusi sebaiknya kementerian,” katanya.