Tag: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin

  • Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    BERSATU akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk mencari pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selepas Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menerima keputusan yang telah dibuat dan menzahirkan penghargaan ke atas jasa Mohd Rafiq selama memegang jawatan tersebut.

    “Terima kasih kami ucapkan kepada Mohd. Rafiq. Kami baru terima pengumuman mengenai peletakan jawatannya pada hari ini.  Kami akan buat keputusan tidak lama lagi, dan ia akan diumumkan selepas dipersetujui Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ahli Parlimen Larut itu sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Larut 2021, hari ini.

    Mohd. Rafiq mengumumkan peletakan jawatan tersebut hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu selain memberi tumpuan untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

    Ditanya mengenai post-mortem Bersatu yang gagal mempertahankan kerusi disandang mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah berkata, pihaknya akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain membuat analisa sokongan terhadap calon-calon yang telah dipilih.
     
    “Semalam ada bincang dalam mesyuarat. Analisa awal adalah kami ada sokongan yang tinggi mencecah 77,000 sokongan walaupun kami parti baharu. Ini agak baik kerana kami pertama kali letak calon. Kami juga akan perbaiki kelemahan yang kami kenal pasti,” katanya.

    Pada PRN Melaka yang melabuh tirainya Sabtu lepas, Bersatu hanya memenangi dua dari 15 kerusi ditandingi parti tersebut iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Sungai Udang melalui Dr Mohd Aleef Yusof.

    Ditanya mengenai kedudukan dua kerusi tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kelak, Hamzah berkata, setakat ini pihaknya belum memberikan arahan dan hal ini akan ditentukan Speaker DUN kelak. – Bernama

  • 200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    MENTERI Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu, seramai 212,926 pekerja asing telah memohon untuk bekerja semula melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak dilaksanakan tahun lalu.

    Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 11,751 majikan turut memohon dalam program tersebut untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing.

    “KDN telah membuat semakan mengenai permohonan-permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

    “Ada beberapa sektor khusus ingin mereka mendaftarkan diri iaitu melalui perkilangan sahaja sebanyak 65,484 telah berdaftar untuk bekerja semula, pembinaan (122,075) manakala pertanian (12,003) dan peladangan (7,176). Ini adalah mereka yang sedang telah berdaftar dan berminat untuk mana-mana majikan mengambil bekerja semula.

    “Selain itu, melalui Program Rekalibrasi Pulang PATI pula, sebanyak 147,705 (mendaftar untuk pulang), dengan kutipan wang kompaun berjumlah RM71,368,700.

    “Ini membuktikan program ini mencapai kejayaan buat setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) meminta menteri menyatakan sektor mana yang dibenar menerima kemasukan pekerja asing baharu, selain jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor serta berapa lama kelonggaran ini akan berlangsung.

    Menjawab pertanyaan tersebut, Hamzah (Bersatu-Larut) berkata, kerajaan bersetuju membawa masuk kira-kira 32,000 tenaga buruh asing ke Malaysia untuk sektor perladangan secara pengecualian khas.

    Jelas beliau, keputusan itu dibuat dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu selepas bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi sektor yang dibenarkan.

    “SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes (case-by-case basis) oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.

    Katanya, kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara tersebut bagi memastikan hala tujuk strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan.

  • Empat pintu antarabangsa baharu bakal beroperasi-Hamzah

    Empat pintu antarabangsa baharu bakal beroperasi-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMBINAAN fasiliti di empat pintu masuk antarabangsa negara yang masih dalam proses dijadual siap sepenuhnya pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, projek tersebut melibatkan di Telok Melano dan Baleh di Sarawak manakala masing-masing satu di Lembah Silika, Terengganu dan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi.

    “Kesemua fasiliti pintu masuk ini kita jangka siap hujung ini atau awal tahun depan yang mana pembinaannya sudah mula sejak Julai lalu.

    “Usaha ini juga adalah bagi membuktikan bahawa kerajaan bersedia dan mahu memberi ruang untuk orang masuk di samping sektor ekonomi di kawasan itu boleh berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Desaru Coast, Kota Tinggi, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Desaru Coast, Johor dan Terengganu selain laluan darat di kedua-dua lokasi di Sarawak.

    Pembukaan pintu masuk itu juga akan dilakukan bersama-sama pembinaan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak sebagai usaha usaha bagi membasmi masalah di sempadan.

    Terminal Feri Desaru Coast di Kota Tinggi yang dalam pembinaan merupakan satu daripada empat pintu masuk antarabangsa dijangka siap hujung tahun ini atau awal tahun depan. Foto Bernama

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pada masa ini perkembangan terkini bagi kesemua lokasi pintu masuk itu juga tidak menunjukkan sebarang masalah besar tetapi beberapa isu berkaitan faktor kawasan di Sarawak.

    Jelasanya, di Sarawak ini ada masalah kerana terletak di pedalaman terutama jarak antara pintu masuk itu dengan jalan besar agak jauh.

    “Bagaimanapun, perkara ini sudah kita bincangkan bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan jika tiada masalah ia akan berjalan seperti biasa dan akan umumkan secepat mungkin,” katanya.

    Berkenaan Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka beroperasi tidak lama lagi, Hamzah memaklumkan persediaan berkaitan perkara itu sedang dilakukan.

    “Semalam semasa Kementerian Kewangan umumkan dalam Bajet 2022, Terminal Feri Desaru Coast ini ada disebutkan dan itu adalah perkara baik dan menunjukkan yang kita sudah bersedia untuk dibuka.

    “Apabila perkara ini juga dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari saya, terbukti bahawa kita sudah bersedia dan bila pengumuman untuk kita buka sempadan dibuat nanti Terminal Feri Desaru Coast ini menjadi salah satu tumpuan,” katanya.

  • Akta 342 terpakai seluruh negara, bukan untuk PRN Melaka sahaja

    Akta 342 terpakai seluruh negara, bukan untuk PRN Melaka sahaja

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terpakai di seluruh negara dan bukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Sebarang perhimpunan termasuk politik yang didapati berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan mengikut Akta 342.

    “Akta 342 masih terpakai sama ada pilihan raya atau tidak, semua tempat terpakai. Bukan hanya di Melaka.

    “Yang ada dalam Akta 342 itu masih terpakai yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kalau SOP yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), itu lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

    Menurut Hamzah, selain parti politik, mana-mana kumpulan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan.

    Mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang PRN Melaka, Hamzah berkata, beberapa perancangan dibuat dalam menjamin keselamatan dan keselesaan mereka yang berada di Melaka.

    “Turut dibincangkan bagaimana keanggotaan sama ada cukup atau tidak dan penggunaan dron selain terdapat agensi kerajaan lain yang akan bantu.

    “Melihat persediaan untuk PRN dibuat oleh Kontinjen Melaka, ia dalam keadaan baik dan siap sedia” katanya.