Tag: Menteri Besar Perlis

  • Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menafikan dakwaan kerajaan negeri pimpinannya menghadapi masalah kewangan sehingga tidak cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu, kerajaan Perlis sehingga kini masih mampu diuruskan dengan baik dan tidak timbul isu bahawa kerajaan itu menghadapi masalah kewangan.

    “Tak berbangkit isu ini, Perlis masih boleh di urus tadbir seperti biasa,” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis kepada Sinar Harian hari ini.

    Pada masa sama, Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membantu pembangunan Perlis dalam pertemuan yang diadakan di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya Isnin, lalu.

    Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan tersebut memfokuskan kepada hal pembangunan negeri Perlis.

    Menurutnya, perbezaan politik di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis tidak akan menghalang hubungan dua hala yang akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.

    “Perdana Menteri pun berjanji akan terus membantu (pembangunan di Perlis),” ujar beliau lagi.

    Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam reaksinya pula seperti dipetik melalui laporan media juga mengharapkan semoga kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis akan mempersembahkan nama calon Menteri Besar baharu bagi mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail petang ini.

    Pengerusi PN Perlis Shukri Ramli berkata PN pusat telah menyampaikan watikah kepada pihaknya untuk mempersembahkan nama calon tersebut dan pelantikan menteri besar perlu mendapat perkenan Raja Perlis sepertimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

     “Semalam kita (PN Perlis) telah melakukan perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti dan kami sebulat suara bersetuju untuk mempersembahkan satu nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Raja Perlis petang ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata urusan pembentukan kerajaan negeri baharu di bawah PN berjalan lancar.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu perjumpaan dengan jentera PN Perlis beberapa bulan lepas berkata sekiranya PN menguasai Perlis, menteri besar akan dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS sebagai menghormati parti itu yang lebih senior dalam gabungan berkenaan.

    Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih hampir seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila berjaya menawan 14 daripada 15 kerusi, selain memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

    Hanya satu kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi Gan Ay Lin daripada PKR yang mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan.

    Barisan Nasional (BN) pula mencatat keputusan terburuk sepanjang PRU di Perlis, apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi termasuk kerusi DUN Bintong susulan kekalahan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kepada calon PN-PAS Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi dalam persaingan enam penjuru. -BERNAMA

  • Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    BERSATU Perlis akan menyokong pentadbiran yang dipimpin PAS dan calon menteri besarnya sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah.

    Abu Bakar berkata PAS telah lebih lama bertapak di Perlis berbanding Bersatu yang merupakan parti politik baharu di negeri itu dan pastinya PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti.

    “Kita (Bersatu Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon menteri besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.

    Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.

    Abu Bakar berkata beliau tidak melihat perkara itu merugikan Bersatu kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

    Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya Bersatu akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.

    Untuk Parlimen, Bersatu hanya akan meletakkan calon di satu kerusi Parlimen iaitu Kangar manakala dua lagi adalah PAS.

    Abu Bakar berkata PN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam masa terdekat.- BERNAMA