Tag: Menteri Besar Kedah

  • MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    TINDAKAN menghalang Menteri Besar Kedah daripada menghadiri sebarang program anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Langkawi dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ia dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dengan mengemukakan Peraturan Dewan selepas sesi soal jawab.

    Menurut beliau, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan program tersebut dijadualkan akan diadakan di Langkawi, Kedah, Mei hadapan.

    “Oleh itu, saya membangkitkan perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perlu disegerakan,” katanya bangun membangkitkan Peraturan Dewan, lapor Harakahdaily.

    Bagaimanapun, Speaker Datuk Johari Abdul, meminta Shahidan mengemukakan usul tersebut secara bertulis bagi membolehkan beliau membuat pertimbangan.

    Katanya, sehingga sekarang beliau belum lagi menerima usul tersebut daripada Arau.

    “Saya mengangap berita mengenainya belum pasti hitam putih kerana sekadar dilapor media,” katanya.

    Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendedahkan beliau dihalang menghadiri program LIMA `23 di Langkawi.

    Selain itu, katanya kebenaran mengadakan program Iftar Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar yang dijadualkan pada 9 April ini di Dewan A, MAEPS Serdang, ditarik balik oleh pihak tertentu.

    Sedangkan menurutnya sebelum itu kelulusan penggunaan dewan tersebut sudah diberi kepada kerajaan Kedah.

  • Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan menghalang beliau menghadiri majlis-majlis rasmi Kerajaan Persekutuan.

    Menurutnya, antara majlis dimaksudkan termasuklah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei depan.

    Menerusi status dimuat naik di Facebook, Muhammad Sanusi turut meninggalkan pesanan sinis kepada pihak yang didakwa membuat keputusan itu.

    “What to do (Apa nak buat)?

    “If ‘you’ ‘panaih’, please don’t koyak…” katanya.

    Menerusi ruang komen, beberapa pihak turut menyatakan rasa terkejut selain mempersoalkann motif tindakan Kabinet berbuat demikian.

    Antara yang meninggalkan komen termasuklah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Awat lagu tu Datuk Seri! Ini koyak rabak!” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN) selama ini sememangnya dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang tidak gentar menyatakan perkara dianggapnya benar.

    Antara isu yang hangat melibatkan beliau dan Perdana Menteri adalah pembinaan Kedah Aerotropolis baru-baru ini dengan Muhammad Sanusi dilihat sentiasa memiliki jawapan terhadap apa juga kenyataan Anwar berkaitan projek itu.

    Selain itu Muhammad Sanusi ketika ini turut berdepan saman dari Anwar berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Beliau bagaimanapun dalam pembelaannya menegaskan tidak memiliki apa-apa niat jahat dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.

  • Pulau Langkawi dibuka semula 16 September ini

    Pulau Langkawi dibuka semula 16 September ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PULAU Langkawi dijangka akan kembali dibuka untuk sektor pelancongan bermula 16 September depan, bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada laporan kemajuan disediakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.

    “Soal vaksinasi telah selesai namun kita berdepan masalah dengan jumlah kes harian. Kalau kes harian dapat diturunkan di bawah 10, kita akan buka Langkawi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditentukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Semalam saya ada mesyuarat khas bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kita menjangkakan Langkawi dapat dibuka pada 16 September depan. Alangkah baiknya jika kita dapat membuka Langkawi pada sambutan Hari Malaysia itu nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengunjungi Pusat Operasi Bencana Perikatan Nasional (PN) Yan di Kampung Acheh, Yan, hari ini.

    Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, Langkawi disasarkan untuk menjadi destinasi pelancongan pertama dibuka kepada orang ramai sekali gus membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

    Menurut Nancy, pulau legenda itu menjadi pilihan kerana lokasinya yang tertumpu dan tertutup sekali gus menjadikannya mudah dikawal.

    Muhammad Sanusi menambah, bagi pihak kerajaan negeri pihaknya sudah pun melakukan beberapa persediaan termasuk dari aspek pengangkutan ke Langkawi.

    “Setakat ini kita sudah tentukan 10 trip Feri ke Langkawi dalam tempoh sehari sekiranya pulau itu dibuka iaitu enam dari Kuala Perlis dan empat dari Kedah selain 10 trip penerbangan sehari.

    “Semua itu sudah diaturkan dan kerajaan negeri amat mengharapkan kerjasama serta bantuan semua pihak agar usaha ini dapat berjalan lancar,” katanya.

  • Kedah yakin Kabinet mampu tangan Covid-19 secara cekap, efisien

    Kedah yakin Kabinet mampu tangan Covid-19 secara cekap, efisien

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah menaruh keyakinan penuh terhadap keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta barisan Kabinet diumumkannya hari ini, untuk menangani masalah berkaitan Covid-19 dengan cekap dan efisien.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pelantikan jemaah menteri dan timbalan menteri yang dibuat secara seimbang.

    Selain itu katanya, pelantikan itu juga dilihat menepati kepakaran serta pengalaman kesemua yang terlibat.

    “Kerajaan negeri mengalu-alukan pelantikan jemaah menteri yang baharu diumumkan. Tahniah dan selamat berkhidmat diucapkan kepada semua yang dilantik.

    “Memahami bahawa situasi semasa adalah sukar dan sarat dengan cabaran, kita mengharapkan agar barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini dapat bekerja bersungguh-sungguh seterusnya mencapai sasaran seperti ditetapkan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, keutamaan harus diberikan untuk segera membawa negara ini keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu.

    “Dalam masa sama, kita juga mengharapkan agar hubungan erat kerajaan negeri dengan Putrajaya, dapat dimantapkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Oleh Rizqi Zabadi

    TIGA individu dilaporkan maut manakala tiga lagi masih hilang setakat pukul 1 pagi tadi berikutan fenonema kepala air yang melanda sekitar beberapa kawasan di sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketiga-tiga individu yang hilang tu dipercayai berada di kawasan Titi Hayun semasa kejadian.

    Semua jabatan dan agensi kerajaan negeri digerakkan bagi menangani bencana kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

    “Operasi mencari ketiga-tiga mereka dihentikan pada pukul 1 pagi tadi dan disambung pukul 7 pagi ini. Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat.

    “Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Yan telah membuka pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan yang menempatkan 60 mangsa.

    “14 mangsa yang positif Covid-19 dan 45 orang yang masih menjalani kuarantin, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi dengan kedua-dua penempatan itu dipantau rapi semua agensi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

    Katanya, paras air telah pun surut namun orang ramai dinasihatkan supaya berjaga-jaga.

    Pihak berkuasa tempatan (PBT) berhampiran iaitu Majlis Daerah Pendang, Majlis Perbandaran Sungan Petani Kedah (MPSPK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Daerah Sik digerakkan bagi membantu Majlis Daerah Yan membersihkan kawsan, melakukan pemindahan dan logistik.

    “Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menghantar bekalan air ke kawasan ke kawasan terputus bekalan akibat penutupan loji rawatan air di kawasan terjejas berikutan terdapat kelodak dan lumpur.

    “Bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diperolehi segera,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu sudah melawat semua kawasan terlibat termasuk mangsa di pusat pemindahan semalam.

  • Tuduhan penganugerahan projek kerajaan di Kedah hanya propaganda politik semata-mata

    Tuduhan penganugerahan projek kerajaan di Kedah hanya propaganda politik semata-mata

    Oleh Rizqi Zabidi

    TUDUHAN dibuat seorang ahli parti pembangkang berhubung penganugerahan projek kerajaan negeri Kedah yang didakwa dilakukan melalui salah guna kuasa, dibuat secara tidak cermat selain cuma propaganda politik semata-mata.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hakikatnya kerajaan negeri tidak pernah sama sekali menganugerahkan sebarang projek kerajaan bernilai kira-kira RM1 bilion seperti dinyatakan dalam tuduhan tersebut.

    Malah katanya, kerajaan negeri juga tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi bagi melancarkan projek berkaitan litar lumba seperti didakwa individu berkenaan.

    Beliau berkata, projek litar lumba yang dicadangkan akan dibangunkan oleh Open Road Asia Sdn. Bhd. di Langkawi seperti diuar-uarkan pada April lalu, adalah projek pelaburan syarikat swasta yang menjalin kerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku pemilik tanah.

    “Rundingan dan kerjasama projek ini melibatkan antara sebuah syarikat dengan syarikat lain iaitu Open Road Asia Sdn. Bhd. dan PKB. Bukan antara seorang individu dengan individu yang lain.

    “Oleh itu tuduhan mengatakan terdapat individu berstatus muflis terbabit dalam syarikat swasta berkenaan adalah urusan syarikat itu sendiri dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Pagi semalam, seorang ahli PKR Cabang Sungai Siput, Indrani Selvakumar membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan di negeri ini.

    Indrani mendakwa dia mempunyai bukti bahawa projek bernilai RM1 bilion itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang mana salah seorang individu di dalamnya, dikatakan berstatus muflis.

    Individu yang muflis itu dikatakan merupakan pengasas selain memegang status selaku salah seorang pengarah dalam syarikat tersebut.

    Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini.

    “Kami sedar pencapaian Kedah dalam sektor pelaburan sangat memberangsangkan untuk tempoh setahun ini hingga mengundang rasa cemburu banyak pihak yang hanya ingin melihat kami jatuh dan gagal.

    “Pencapaian dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini,” katanya.