Tag: menipu

  • Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    Jururawat rugi RM198,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    SEORANG jururawat terpaksa berputih mata kerana kerugian wang berjumlah RM198,000 yang baharu dipinjam daripada pihak bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barang pada 13 Dis lepas.

    Beliau berkata panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang memaklumkan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

    “Sejurus itu suspek telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan telah memberikan satu pautan untuk mengisi maklumat wanita berkenaan.

    “Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Ramli turut mengingatkan masyarakat bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan sebarang siasatan melalui panggilan telefon dan sentiasa melakukan semakan dengan balai polis, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan. – BERNAMA

  • Lelaki didakwa tipu pemilik syarikat RM100,000

    Lelaki didakwa tipu pemilik syarikat RM100,000

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat bagi memperoleh projek membekal bahan mentah dan kering di negeri ini pada 2013.

    Fariz Fadila Ag Kamarudin, 35, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan untuk membuat usaha sama dengan syarikat terbabit bagi menjalankan projek itu dan mendorong pemilik syarikat menyerahkan RM100,000 di daerah Penampang antara Januari hingga April 2013.

    Fariz Fadila didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

    Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang pejamin selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 12 Jan depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee manakala Fariz Fadila tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    SEORANG penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan melakukan penipuan dengan menyerahkan cek tendang bagi urusan perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan melibatkan RM4,287.70, empat tahun lepas.

    Muzzamil Soliheen Musa, 45, juga penulis buku, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Melati Square, Putra Nilai, Nilai kira-kira 4 petang pada 14 Mei 2018.

    Dia dituduh memperdaya Ling Shin Hin bagi perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah rendah dengan menyerahkan sekeping cek bernilai RM4,287.70, tetapi cek itu dibatalkan.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Mustafha.

    Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA