Tag: meningkat

  • Harga simen, besi meningkat tiga bulan berturut-turut

    Harga simen, besi meningkat tiga bulan berturut-turut

    KETUA Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan pada Januari tahun ini.

    Menurutnya, indeks harga seunit simen meningkat 2.6 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.

    Jelas beliau, peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran tinggi adalah penyumbang utama kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.

    Indeks harga seunit besi pula katanya mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

    “Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat. Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index.

    “Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan.

    “Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata dalam kenyataan siaran khas untuk kerja-kerja pembinaan bangunan dan struktur Januari 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

    Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023 menyatakan bahawa permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

    Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).

    Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran penutupan di negara itu.

    Isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia, dan ketegangan perdagangan AS-China mungkin akan turut memberi kesan kepada pasaran keluli.

    Perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 11.4 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Indeks harga bagi seunit bagi besi dan simen masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 9.3 peratus bagi Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Mohd Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ adalah RM3,599.37 bagi setiap tan metrik, meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

    “Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan 3.4 peratus iaitu RM21.66 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.95 bagi setiap 50 kilogram pada Disember 2022.

    “Manakala, purata harga pasir kekal tidak berubah iaitu RM36.32 satu tan metrik,” katanya.

  • Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    JUMLAH penganggur di negara ini mengalami sedikit kenaikan kepada 778,200 ketika kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah guna tenaga terus mencatatkan penurunan namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran mencatatkan sedikit peningkatan.

    Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada awal Julai berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan peningkatan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

    Katanya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

    Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.

  • Kes baharu Covid naik lagi ke 20,837 kes

    Kes baharu Covid naik lagi ke 20,837 kes

    BARU dua hari jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan, kes baharu mengikut negeri kembali meningkat kepada 20,837 kes berbanding 17,672 kes semalam.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,593,602 kes.

    Sabah menunjukkan peningkatan kes paling ketara apabila mencatatkan sebanyak 3,376 kes berbanding 2,474 kes semalam, angka yang semakin menghampiri Selangor yang merekodkan hanya 4,645 kes hari ini.

    Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan jangkitan Covid-19 dengan 2,054 kes untuk berada di tempat ketiga diikuti Kedah (1,772 kes; Johor (1,743 kes); Sarawak (1,543 kes); Kelantan (1,422 kes); Kuala Lumpur (1,284 kes) dan Perak (1,242 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing terus konsisten merekodkan tiga digit kes positif sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu empat jangkitan diikuti Putrajaya (27 kes) dan Perlis (74 kes).