ANAK kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menafikan laporan kematian bapanya yang tular di medial sosial.
Ariff Tuah Ahmad Sarji memaklumkan bapanya yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras berada dalam keadaan stabil.
“Bagi pihak keluarga Tun Ahmad Sarji, saya sedar perkhabaran yang tular sekarang ini dan ingin mengatakan yang ia tidak benar.
“Dengan rendah hati, saya sekeluarga mohon orang ramai terus doakan Allah SWT menganugerahkan kesembuhan dan mempermudahkan segala urusan untuk ayah saya,” katanya yang turut memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos lepas.
Terdahulu, Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) dalam hantaran di Facebook pada Jumaat memaklumkan Ahmad Sarji yang juga pengerusi persatuan itu dimasukkan ke wad ICU COVID-19 kerana komplikasi COVID-19.
Ahmad Sarji, 82, merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.- BERNAMA
SELEBRITI dan usahawan, Shuib Sepahtu berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan sebaik mungkin.
Perkara itu dinyatakan Shuib, 37, semasa ditemui pemberita di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, Allahyarham isterinya sempat menghadiahkannya dan anak menerusi kehadiran cahata mata keempat, Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu.
“Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Allahyarham sempat memeluk anaknya sebelum dimasukkan ke hospital.
Selain Ayash Affan, tiga lagi anak Shuib dan Siti Sarah ialah Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.
Mengulas lanjut, Shuib memberitahu, dia sempat membuat panggilan video ketika arwah isterinya, Siti Sarah sedang nazak menerusi bantuan jururawat dan doktor.
Jelasnya, dia dan tiga anaknya dapat melihat air mata membasahi pipi arwah ketika panggilan video itu seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.
“Itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.
“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.
Sementara itu, Shuib berkata, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari ini.
Shuib memberitahu, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya.
“Saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya,” katanya.
Menurut Shuib, urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.
Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia HCTM, Kuala Lumpur, pada pukul 5,13 pagi hari ini.
Allahyarham dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar pada petang pada Jumaat lalu.
PENYANYI terkenal tanah air Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.
Perkara berkenaan disahkan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, menerusi Instagram rasminya.
“5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya (Siti Sarah) pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.
Siti Sarah, 37 yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.
Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.
Penyanyi lagu Kesetiaan dan Ke Hujung Dunia itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan anaknya keempatnya yang diberikan nama Ayash Affan pada petang Jumaat.
Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarhamah Siti Sarah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta ditempatkan di syurga Allah.
“Kepada Shuib semoga tabah menghadapi dugaan Allah, sabar dan terus berdoa kepada Allah. Semoga dipermudahkan urusan buat Allahyarham,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram persatuan berkenaan.- BERNAMA