Tag: meninggal dunia

  • Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meninggal dunia

    Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meninggal dunia

    BEKAS Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman meninggal dunia pada usia 65 tahun pagi ini.

    Perkara itu dikongsikan menerusi kemas kini di Facebook Pas Selangor hari ini.

    Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu dilaporkan meninggal dunia pukul 5 pagi di Hospital Banting.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Nushi Mahfodz menerusi kenyataan di Facebook Pas Selangor, mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.

    “Pemergian beliau amat dirasai oleh kita semua kerana jasa dan pengorbanan beliau kepada rakyat di negeri Selangor sepanjang perkhidmatannya.

    “Semoga keluarga beliau bersabar dan tabah menghadapi kehilangan ini dan didoakan rohnya bersama para pejuang dan solihin di akhirat kelak,” menurut kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Allahyarham menjadi ADUN Meru dari 2008 hingga 2018 sementara Pesuruhjaya Pas disandang beliau pada 2011 hingga 2013.

    Sebelum menyertai politik, beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru.

    Beliau meninggalkan isteri, Afidah Anum dan lima anak. –

  • Isteri Tun Daim meninggal dunia

    Isteri Tun Daim meninggal dunia

    ISTERI kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Mahani Idris dilaporkan meninggal dunia, malam tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, berita pemergian Toh Puan Mahani itu disampaikan sumber rapat dengan keluarga Allahyarham.

    Namun begitu, punca pemergian Allahyarham tidak dikenal pasti.

    “Dengan berat hati ingin memaklumkan kepada semua bahawa Mami (Toh Puan Mahani Idris) telah kembali dengan aman kepada Yang Maha Esa,” menurut sumber rapat itu.

    Difahamkan jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi ini.

    Jenazah Allahyarham kemudiannya akan disembahyangkan di Surau Hidayat, Seri Kembangan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

    Allahyarham meninggalkan lima orang anak.

  • Pegawai khas Zahid Hamidi meninggal dunia

    Pegawai khas Zahid Hamidi meninggal dunia

    PEGAWAI Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri Ramesh Rao dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.

    Menurut Malaysia Gazette, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Ramesh dikenali sebagai individu yang aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di negara ini, terutamanya kaum India.

    Pada 24 Dis lepas, pemimpin NGO yang juga penyokong Barisan Nasional itu dilantik menjadi pegawai khas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, Zahid dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang selain menghargai khidmat bakti dan jasanya kepada masyarakat serta negara sebelum dan semasa berkhidmat.

    “Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao, Pegawai Khas yang meninggal dunia pada awal pagi ini.

    “Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi,” katanya.

  • Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    ATLET sukan seni bela diri campuran (MMA), Victoria Lee dilaporkan meninggal dunia pada 26 Disember lalu.

    Memetik laporan CNA, kakaknya, Angela Lee mengesahkan kematian Victoria yang baru berusia 18 tahun itu pada hari ini (8 Januari).

    “Pada 26 Disember 2022 keluarga kami mengalami keadaan yang diharapkan tidak perlu dilalui oleh keluarga lain,” kata Angela Lee dalam catatan di Instagram.

    Kata Angela Lee lagi, amat berat untuk memberitahu berita ini kepada pengikutnya.

    “Amat sukar untuk mengumumkan hal ini. Victoria kami meninggal dunia. Dia pergi terlalu cepat dan keluarga kami benar-benar hancur sejak itu. Kami merinduinya. Lebih daripada segala-galanya di dunia ini. Keluarga kami tidak akan pernah sama. Kehidupan tidak akan pernah sama,” tulisnya, lapor Astro Awani.

    Kematian Victoria Lee di Hawaii diumumkan secara terbuka oleh Taman Memorial Valley of the Temples di Kaneohe, Jumaat lalu namun punca kematiannya tidak diberitahu kepada umum.

    Dilahirkan di Hawaii, Victoria Lee mewakili dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Singapura sebagai ahli pasukan MMA United dan Evolve MMA.

    Victoria dilantik sebagai penolong tenaga pengajar di Evolve MMA, rangkaian gim seni bela diri di Singapura.

    Menurut South China Morning Post, mendiang dijadualkan bertanding dalam perlawanan MMA Profesional keempatnya menentang Zeba Bano di India pada 14 Januari di Bangkok.

  • Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    PIHAK berkuasa Vietnam hari ini mengesahkan budak lelaki yang terjatuh ke dalam cerucuk konkrit terbuka sempit di sebuah tapak pembinaan di wilayah selatan negara itu sejak Sabtu lalu meninggal dunia.

    Berita itu diumumkan setelah pasukan penyelamat menghabiskan masa hampir 100 jam untuk membebaskan Ly Hao Nam, 10, dari tiang sokongan sepanjang 35 meter yang didorong ke dalam tanah.

    Akhbar dalam talian VnExpress memetik seorang pegawai kerajaan tempatan sebagai berkata, usaha mereka tidak berjaya mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa.

    “Pihak berkuasa telah menentukan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan sedang berusaha mendapatkan mayatnya untuk pengebumian,” kata timbalan pengerusi wilayah selatan Dong Thap, Doan Tan Buu, dipetik sebagai berkata, lapor agensi berita Reuters.

    Sementara itu, Nam didengari menangis meminta tolong sejurus selepas dia terjatuh ke dalam cerucuk konkrit berongga, yang mempunyai diameter 25 sentimeter Sabtu lalu di tapak pembinaan jambatan di wilayah delta Mekong.

    Ketika kejadian dia mencari besi buruk bersama rakan-rakannya.

    Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh telah menggesa penyelamat dan pihak berkuasa tempatan untuk menggerakkan semua peralatan dan pasukan yang diperlukan, kata kerajaan.

  • Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    SEORANG anggota polis yang bertugas di Istana Negara meninggal dunia selepas digilis kenderaan lain dalam satu kejadian dekat Putrajaya, pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku di Kilometer 37.7 Lebuhraya Elite arah utara melibatkan Lans Koperal Amirul Faiz Mohammad Ali, 31,.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Melaka menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Katanya, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan, yang menyebabkannya terjatuh di lorong paling kanan.

    “Akibatnya, mangsa digilis kenderaan lain yang belum dipastikan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian kanan hadapan, lampu belakang dan lain-lain.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

  • Bekas MB Perlis, Hamid Pawanteh meninggal dunia

    Bekas MB Perlis, Hamid Pawanteh meninggal dunia

    BEKAS Menteri Besar Perlis yang keempat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, 78, meninggal dunia petang tadi. 

    Berita pemergian Allahyarham dikongsi anaknya Natasya Pawanteh menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bahawa bapanya meninggal dunia sekitar pukul 3.15 petang lapor BH Online.

    Berita pemergian Allahyarham turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah. 

    Ketika hayatnya Allahyarham aktif dalam politik termasuk mengetuai UMNO Perlis sebelum bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis.

    Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bermula pada 1986 sehingga 1995 sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. 

    Beliau menjadi Ahli Parlimen Arau dari 1982 sehingga 1986 sebelum berpindah kawasan dengan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 hingga 2003. 

    Pada Julai 2003, Allahyarham meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk dilantik menjadi yang Dipertua Dewan Negara hingga 2009 malah beliau juga pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat. 

    Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Negeri, Arau, esok.

  • Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    Lelaki didakwa dibelasah warga Myanmar meninggal dunia

    LELAKI tempatan yang koma dipercayai akibat dipukul enam pekerja kilang warga Myanmar akhirnya meninggal dunia, semalam selepas 28 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

    Mangsa, E Murali Kuppusami, 50, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.57 petang di hadapan enam anaknya berusia 11 hingga 24 tahun.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah mengesahkan kematian mangsa yang dirawat di Hospital Melaka sejak 31 Oktober lalu termasuk kes akan dipinda untuk siasatan mengikut kesalahan membunuh.

    “Mangsa yang sebelum ini parah dan koma disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di ICU Hospital Melaka.

    “Kita akan merujuk kes ini kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan meminda pertuduhan daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

    Media pada Jumaat lalu melaporkan enam pekerja kilang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua pertuduhan membelasah mangsa dan anak lelakinya dengan kayu hingga menyebabkan Murali Kuppusami koma.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21, Win Zaw, 30, Zin Min Htet, 23, Nyi Lin Paing, 23, Aung Myint Thein dan Mya Soe, 33, kerana mereka gagal memahami bahasa Melayu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan parah ke atas M K Daniel, 19, dan bapanya, Murali Kuppusami dengan menggunakan objek kayu iaitu alat yang mungkin menyebabkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan pada pukul 10.40 malam di bawah Blok L, Pangsapuri Taman Tasek Utama, Melaka Tengah pada 31 Oktober lalu.

    Difahamkan mangsa dikatakan dibelasah selepas menegur tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri berkenaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 21 Disember ini bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh.

  • Dr. Sidek Baba meninggal dunia

    Dr. Sidek Baba meninggal dunia

    TOKOH pendidikan, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Izzudin Sidek dalam akaun Facebook beliau.

    “Dukacita dimaklumkan ayahanda kesayangan kami, Cikgu Sidek Baba telah menghembuskan nafasnya yang terakhir waktu Maghrib tadi pukul 8.22 malam di PPUM.

    “Mohon didoakan agar roh Ayahanda dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan pra Solihin dan Muttaqin,” katanya.

    Izzudin menambah, jenazah masih di PPUM dan untuk pengesahan pihak hospital dan protokol Covid-19.

    Sidek adalah tokoh pendidikan yang tidak asing lagi apabila sering menghasilkan pelbagai buku dan menyumbang artikel kepada akhbar arus perdana.

    Beliau sentiasa menabur bakti dalam akademik terutama mengenai Pendidikan Islam kerana mahu masyarakat umum memahami tentang kepentingan ilmu itu.

    Atas sumbangan itu, beliau pernah menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 peringkat kebangsaan.

    Sidek yang dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menangani Hal Ehwal Pembangunan Pelajar pada tahun 1994 hingga 2002.

  • Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia, dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mendiang Karupaiya mengembuskan nafas terakhir di Hospital Kulim, pukul 2.20 petang ini.

    Pemergian mendiang disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Difahamkan mendiang dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit perut, namun setakat ini punca sebenar kematian masih belum diketahui.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.

    Mendiang, yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari Pas.

    Pada PRU-15, kerusi P017 Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk Karupaiya selaku penyandang serta calon dari Pejuang, BN, PN, Warisan dan Bebas.