Tag: meninggal dunia

  • Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    BAPA kepada bekas pemain bola sepak yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi ini.

    Allahyarham Bakhtiar Md. Isa, 66, dilaporkan menghembus nafas terakhir di kediaman Baddrol di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani.

    Difahamkan bapa kepada enam anak itu baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang, baru-baru ini.

    Sementara itu, besan arwah, Mustafa Khalid Hanafi, 62, memaklumkan jenazah Bakhtiar akan diurus dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria.

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok selepas solat Zohor, hari ini.

    Terdahulu, berita pemergian arwah dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Baddrol yang juga anak keempat kepada Allahyarham Bakhtiar.

    Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sepanjang penglibatannya dalam bola sepak tanah air baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

  • “Bersungguh-sungguh minta maaf antara petanda Mael XPDC pergi selamanya”

    “Bersungguh-sungguh minta maaf antara petanda Mael XPDC pergi selamanya”

    VOKALIS kumpulan XPDC, Mael yang meninggal dunia malam tadi dilapor bersungguh-sungguh meminta maaf dari ahli keluarganya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya.

    Perkara itu diceritakan anak saudara allahyarham, Norashikin Abdullah, 44, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar.

    Menurutnya, mereka sekeluarga mengakui terkejut dengan berita pemergian bapa saudaranya atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

    Katanya, karakter allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai.

    “Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama anak-anaknya sejak kecil lagi.

    “Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarganya seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Dalam pada itu, jenazah Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar, sekitar pukul 10.55 pagi.

    Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi menyaksikan upacara pengebumian dan memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.

    Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

    Jenazah kemudian dibawa ke kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong, Muar dan disembahyangkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

    Antara rakan artis yang hadir termasuk ahli-ahli kumpulan XPDC serta Joe Wings.

    XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai ‘Raja Funfair.’

  • Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    PELAKON dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng Yiu Hon dilaporkan meninggal dunia, semalam.

    Lapor DimSum Daily yang dipetik Astro AWANI, Ng meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berkaitan usia.

    Dikenali dengan peranan komedinya pada tahun 80-an dan 90-an, pemergian lelaki berusia 83 tahun itu juga disahkan oleh ahli keluarganya.

    Richard Woo atau Richard Ng mempunyai kerjaya berjaya dalam industri filem dan televisyen serta pernah muncul dalam lebih 80 buah filem.

    Beliau pernad dinominasikan untuk Anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong sebanyak dua kali menerusi lakonannya dalam Winners and Sinners sebelum menjayakan drama bersiri Lucky Stars dan Beyond the Sunset.

    Ng juga pernah bekerja bersama beberapa nama terbesar dalam filem-filem Hong Kong termasuk Datuk Jackie Chan, Tan Sri Michelle Yeoh, Andy Lau dan Jet Li.

    Nama Ng melonjak selepas membawa watak penting pada tahun 1983 sebagai ‘Exhaust Pipe’ dalam filem Winners and Sinners arahan Sammo Hung.

    Beliau juga dikenali dengan peranannya dalam filem komedi Pom Pom, siri filem komedi Lucky Stars bersama rakan Lucky Star dan John Shum.

    Ng meninggalkan seorang isteri Susan dan empat orang anak iaitu Alex, Zoe, Louise dan Carl.

    Hong Kong, Richard Ng, pelakon hong kong, meninggal dunia,

  • Meninggal dunia ketika sujud solat tarawih

    Meninggal dunia ketika sujud solat tarawih

    PENGERUSI sebuah masjid di Palembang, Indonesia dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan tahun ini.

    Pemergian allahyarham Purnomo Adjie, 61, semasa sedang sujud menunaikan solat berkenaan kini tular di media sosial Indonesia.

    Selain itu, ramai warganet mendoakan Purnomo meninggal dalam husnul khatimah atau pengakhiran yang baik.

    Menurut seorang jemaah lain, sebelum Pengerusi Masjid Jami An Nur Mata Merah itu menghembuskan nafas terakhir, dia mengadu sakit dada dan keadaannya kelihatan tidak sihat.

    “Selesai imam membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba Purnomo jatuh perlahan-lahan dengan keadaan sujud dan semasa rakaat kedua dia tidak bangun lagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum meninggal dunia, Purnomo sempat memberikan ucapan ringkas mengenai sambutan Ramadan dan menggesa jemaah masjid melakukan lebih banyak kebaikan berbanding sebelum ini.

    Allahyarham juga sempat meminta maaf kepada semua yang datang menunaikan solat di masjid terletak di Kecamatan Sematang Borang itu.

  • Abang Stacy Anam meninggal dunia

    Abang Stacy Anam meninggal dunia

    ABANG penyanyi Stacy Anam iaitu Chaq, 35, meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak awal pagi ini selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bintangor, 12 Mac lalu.

    Pemergian Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam pada pukul 3.30 pagi tadi disampaikan oleh adik lelakinya, Aldrich Andy Anam.

    “Abang saya sudah tiada. Jantungnya terhenti sekitar pukul 3.30 pagi,” kata Aldrich kepada Astro AWANI.

    Selain Aldrich, turut berada di sisi Chaq semasa mendiang abangnya itu menutup mata buat kali terakhir ialah ibu mereka Agnes Carlos.

    Kata Aldrich, mereka sekeluarga reda dan berlapang dada menerima takdir itu.

    “Mak okey dan kami (sekeluarga) reda dan berserah sejak Chaq masuk hospital lagi,” ujar Aldrich lagi.

    Mengulas lanjut, Aldrich berkata, mayat Chaq masih berada di Hospital Sibu dan mereka sekeluarga akan menguruskan membawa mayat kembali ke kampung halaman di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan pengebumian.

    Katanya, kakaknya, Stacy pula dijangka tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur esok bagi bersama-sama keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Chaq.

    Mendiang Chaq terlibat dalam kemalangan di Bintangor, Sarawak sehingga mengakibatkan dia mengalami pendarahan dalam kepala.

    Berikutan tragedi itu, Chaq yang juga peserta sebuah program realiti dan penyanyi sambilan bertarung nyawa di hospital walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.

    Beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah jantung selain hati dan limpa mengalami luka.

    Beberapa hari lalu, Stacy turut meminta doa ramai berharap agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.

    “Mohon doakan kesembuhan buat abang saya Chaq. Harap dia terus kuat, tetapi saya dapat rasa dia tengah melawan. Insya-Allah mesti dia boleh,” katanya.

  • Bekas pemain bass XPDC meninggal dunia

    Bekas pemain bass XPDC meninggal dunia

    BEKAS pemain bass pertama kumpulan XPDC (Tragedy) Man Tobey, 58, meninggal dunia tengah malam tadi selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Selayang.

    Allahyarham Man Tobey atau nama sebenarnya Yahya Rashid yang juga pernah bermain untuk kumpulan Meditasi dan Garuda menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.04 tengah malam di hospital itu.

    Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan, jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Garing, Rawang.

    Allahyarham meninggalkan balu, Zamidah Ishak, 62, dan dua anak, Nurul Fatin Athirah, 25, dan Nur Anis Sofea, 23.

    Man Tobey terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 30 Mei tahun lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

    Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Templer-Rawang sekitar pukul 10 pagi itu, Man Tobey sedang menunggang motosikal dari arah Selayang untuk pulang ke rumahnya di Rawang.

    Difahamkan Man Tobey juga menjalani pembedahan kedua iaitu menebuk leher untuk memasang alat pernafasan dan tidak mampu bercakap lagi selepas itu.

  • Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Ketua Balai Polis Sungai Tiang meninggal, diserang sakit jantung ketika memandu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Polis Balai Sungai Tiang di Pendang, Kedah meninggal dunia akibat serangan jantung dialaminya ketika sedang memandu di Kilometer 52.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Alor Setar, Kedah, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan kereta dipandu mangsa, Sarjan Mejar Wahab Ahmad @ Harun terbabas di lebuh raya tersebut.

    Akibat kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan perubatan kecemasan yang bergegas ke lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di situ.

    “Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pagi ini mendapati kematian mangsa berpunca daripada sakit jantung,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Pendang menuju ke rumahnya di Jitra.

    Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut mengucapkan takziah di laman Facebook rasminya.

    “Arwah banyak membantu saya dalam melancarkan perjalanan program rakyat khususnya di Sungai Tiang.

    “Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran syurga buat arwah,” katanya.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menziarah keluarga mangsa di Jabatan Forensik HSB, pagi tadi.

  • Prof Emeritus Mohd Kamal meninggal dunia

    Prof Emeritus Mohd Kamal meninggal dunia

    TOKOH pemikir Islam, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia hari ini pada usia 80 tahun.

    Perkara itu dimaklumkan ahli keluarga allahyarham dalam perkongsian di media sosial hari ini.

    Difahamkan, allahyarham yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meninggal dunia akibat komplikasi daripada pembedahan kanser telinga baru-baru ini.

    Lapor UtusanTV, jenazah allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sg. Tangkas).

    Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

    IKIM dalam kenyataan hari ini berkata, Mohd Kamal pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, dan mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan menyambung pengajian peringkat rarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.

    “Kami memanjatkan doa yang setinggi-tingginya kepada Allah SWT, semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh dan solehin,” katanya menurut laporan BH.

    Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada Februari 2022.

    Allahyarham dilantik sebagai Rektor UIAM pada tahun 1999 sehingga 2006.

    Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

    Sumbangan, keilmuan dan ketokohan allahyarham diiktiraf sehingga peringkat antarabangsa.

  • Bekas Ahli Parlimen Jelebu, ADUN Klawang, meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Jelebu, ADUN Klawang, meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat atau lebih dikenali ‘Apak Yunus’, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

    Berita pemergian Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu, pada usia 68 tahun itu dikongsikan isterinya, Datin Juriah Suleiman, ketika dihubungi media.

    “Saya tidak sangka suami pergi… sebelum itu, kami hendak ke mesyuarat dan suami duduk di kerusi di dalam pejabat. Suami mengadu sakit belakang dan tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami segera membawanya ke hospital, namun doktor mengesahkan suami sudah meninggal dunia.

    “Semalam pun arwah tidak tidur sangat. Sebelum ini, arwah ada meminta nama ahli keluarga yang sudah meninggal dunia untuk membuat kenduri tahlil… tidak sangka suami pergi meninggalkan kami pada Jumaat ini.

    “Jenazah masih di Kuantan ketika ini, dan akan dimandi serta dikafankan di sini,” katanya lapor Berita Harian.

    Juriah berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Seremban, esok.

    Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Jelebu mewakili Barisan Nasional (BN) dari 1995 hingga 1999 dan ADUN Klawang (2008 hingga 2018), selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dari 2008 hingga 2013.

    Beliau kemudian mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018.

  • Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    SEORANG lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai memiliki ganja, meninggal dunia selepas mengadu mengalami sesak nafas, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 49 tahun itu sebelum itu ditahan bersama 54.7 gram ganja di sebuah kondominium di sekitar bandar raya ini pada 12.10 tengah malam tadi.

    Beliau berkata bagaimanapun lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 mengalami sesak nafas ketika proses dokumentasi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS pada 1.20 pagi.

    “Lelaki itu dibawa menaiki ambulans untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah namun pegawai perubatan yang memberikan rawatan telah mengesahkan kematian lelaki itu pada pukul 2.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata pihaknya telah memanggil waris iaitu tiga anak lelaki itu, yang mengesahkan bahawa bapa mereka menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak 20 tahun lepas.

    Beliau berkata bedah siasat dilakukan pada hari ini di hospital tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya kes kematian itu akan turut disiasat Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman.  

    Dalam kes lain, Raub berkata pihaknya menahan 12 lelaki di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, semalam, dipercayai membakar mercun di tempat awam tanpa lesen sempena ambang Tahun Baharu Cina. 

    Beliau berkata kesemua yang berusia 19 hingga 45 tahun ditahan antara 1 hingga 3.10 pagi bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Katanya polis turut merampas 16 mercun jenis Fireworks, lima kotak mercun jenis Happy Boom Fire Work dan satu pemetik api daripada mereka. – BERNAMA