Tag: meninggal

  • Pendakwa Raya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

    Pendakwa Raya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

    TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan yang juga peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.

    Berita kematian bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam kepada Bernama.

    “Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini,” katanya ketika dihubungi.

    Sri Ram dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini, minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.

    Sri Ram merupakan pendakwa raya utama dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau juga merupakan pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram. – BERNAMA

  • Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

    Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia

    BEKAS Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi kerana sakit tua.

    Allahyarham meninggal dunia pada usia 81 tahun.

    Isteri Allahyarham, Datin Seri Zainiah Hussein, 77, berkata suaminya telah dibawa dan dimasukkan ke HKL malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

    “Pada pukul 8.20 pagi tadi, doktor hubungi maklumkan suami saya telah meninggal dunia… Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua.

    “Allahyarham tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, cuma dalam sebulan lepas beliau mengalami strok, keadaannya juga agak lemah dan ingatannya adakala ingat adakala tidak,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat sini hari ini.

    Jenazah dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum disembahyangkan pada 4.25 petang oleh lebih 100 jemaah yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Darul Ehsan Mohamad Khairi Hussein.

    Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka selepas Maghrib. 

    Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1941, meninggalkan isteri Datin Seri Zainiah Hussein serta dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

    Mohd Adib menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982, selain pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.

    Sementara itu, ahli keluarga terdekat Allahyarham, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata semasa hayatnya, tokoh politik dan ahli korporat berpengalaman itu banyak menyumbang jasa terutamanya kepada orang kampung di Kampung Kesang Tua Jasin, Melaka. 

    “Beliau membantu ramai orang, beliau melakukan tugasnya dengan baik dan sangat dinamik dalam kerjanya… Allahyarham meninggalkan dunia politik sekitar 1988 sebelum beralih ke dunia perniagaan,” katanya.- BERNAMA

  • Ketua Jabatan Siasatan Jenayah NS meninggal dunia

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah NS meninggal dunia

    KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, ACP Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada jam 1.35 pagi tadi akibat kesan sampingan selepas dijangkiti COVID-19 bulan lalu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata Allahyarham menerima rawatan di HTJ selepas dijangkiti COVID-19 pada 8 Ogos lalu dan disahkan negatif sebelum meninggal dunia.

    “Kesan akibat COVID-19 menyebabkan organ dalaman Allahyarham tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Beliau berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat warga polis di negeri ini terutama Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan.

    Mohamad menyifatkan Allahyarham seorang yang berhati lembut tetapi tegas serta berpengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah.

    Beliau berkata pegawainya itu berkhidmat dengan PDRM lebih 30 tahun dan bakal bersara pada 9 Okt ini.

    Katanya jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira jam 11 pagi tadi dan Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor As Azura Md Aris dan 10 orang anak.-BERNAMA

  • PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah, yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira 1.30 pagi ini.

    Ismail Sabri menerusi hantaran melalui Facebooknya berkata, beliau pernah membuat hantaran tentang kanak-kanak itu di media sosial  pada 23 Jan, semasa menjawat jawatan Menteri Kanan Keselamatan berkaitan nasihat yang disampaikan olehnya.

    “Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi,” katanya menerusi hantaran itu.

    Muhammad Aming, 8, sebelum ini popular dengan perkongsian video berbentuk nasihat di laman Facebook, yang disifatkan sebagai comel serta kepetahannya menyampaikan nasihat secara bersahaja dalam loghat Sabah.

    Antara video yang mendapat perhatian adalah tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.- BERNAMA