Tag: mengaku tak salah

  • Penganggur mengaku tak salah hina Sultan Johor

    Penganggur mengaku tak salah hina Sultan Johor

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Facebook.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Indera Mulia Ahmad didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat komen yang didakwa menyinggung orang lain di Facebook pada 21 April lalu.

    Jika sabit kesalahan, dia berdepan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, serta denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berulang selepas sabit kesalahan.

    Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan membenarkan Indera diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn, manakala Indera tidak diwakili peguam.

    Awal minggu ini, Bukit Aman menahan seorang lelaki di Puchong, Selangor kerana didakwa menghina Sultan Ibrahim.

    Polis turut merampas telefon dan kad Sim lelaki itu.

  • Timbalan pengarah hospital mengaku tak salah ‘kebas’ elaun Covid-19 ‘frontliner’

    Timbalan pengarah hospital mengaku tak salah ‘kebas’ elaun Covid-19 ‘frontliner’

    TIMBALAN Pengarah (Pengurusan) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini atas 10 pertuduhan menipu petugas kesihatan berhubung wang bantuan elaun Covid-19, tiga tahun lalu.

    Menurut Berita Harian, tertuduh, Norhisham Hassan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya 10 kakitangan HTF untuk mempercayai bahawa mereka sudah menerima bantuan ‘one-off’ elaun Covid-19 Kerajaan Negeri Perlis bagi 2020.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kepada petugas barisan hadapan HTF dan secara curang memperdaya mereka untuk menandatangani dokumen rekod mengesahkan penerimaan wang bantuan sebanyak RM400 seorang.

    Semua kesalahan didakwa dilakukan di HTF antara 27 hingga 29 April 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Rehab mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kangar.

    Namun begitu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya wang jaminannya itu dikurangkan memandangkan dia mempunyai komitmen lain selain pendapatan suaminya yang bertugas sebagai pembantu operasi agak kecil dan tiada barang kemas untuk digadai.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh membayar jaminan denda sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM40,000 bersama seorang penjamin.

    Norsalha turut menetapkan 7 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ismuni Bohari ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengikut segala prosedur ditetapkan sebagai penjawat awam.

    “Saya tidak dapat maklumat rasmi daripada pihak SPRM berhubung kes ini.

    “Sekiranya dapat, kita akan ikut sepenuhnya tatacara pengurusan tatatertib penjawat awam,” katanya menurut laporan Berita Harian.