Tag: mengaku salah

  • Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    Remaja 17 tahun mengaku salah ‘wheelie’ bersama isteri 16 tahun

    SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ semasa menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, pertuduhan terhadap buruh kasar tersebut dibuat di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal jenis Honda C100B dengan cara mengangkat tayar hadapan yang berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini pada jam 12 tengah hari, 22 April lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum bawah peruntukan sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 sehingga RM15,000.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala remaja tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM900 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak.

    Lelaki itu dan isterinya berusia 16 tahun yang membonceng motosikal menyerah diri kepada polis pada Khamis lalu selepas aksi mereka tular di laman sosial.

    Remaja perempuan yang hamil dua bulan setengah tersebut bagaimanapun dibebaskan sebagai saksi pertuduhan.

  • Kontraktor mengaku salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak

    Kontraktor mengaku salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kontrak dari sebuah syarikat pembersihan, empat tahun lalu.

    Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik sebuah syarikat, Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018.

    Dia didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan disebabkan itu, lelaki tersebut didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama iaitu penjara tidak lebih dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Februari 2019 di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., Bandar Baru Stargate, Alor Setar.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif.

    Terdahulu pihak pendakwa mencadangkan agar pihak mahkamah membenarkan tertuduh dijamin pada kadar RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan ditetapkan di bawah RM10,000 memandangkan tertuduh sudah tidak memiliki pendapatan tetapi selain masih perlu menanggung tiga anak serta ibu bapanya.

    Pihak pendakwaan kemudiannya kembali bangkit selepas itu dan memohon agar jaminan ditetapkan setimpal nilai kontrak kes tersebut yang mencecah RM1.7 juta.

    Hakim kemudiannya menetapkan kadar jaminan pada RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman.