Tag: Mengaku bersalah atas pertuduhan

  • Pekerja maut kena renjatan elektrik, syarikat didenda RM40,000

    Pekerja maut kena renjatan elektrik, syarikat didenda RM40,000

    SYARIKAT konsortium pertanian Sinergi Perdana Sdn Bhd didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Klang hari ini kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik, dua tahun lepas.

    Hakim, Razali Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat tersebut sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas syarikat itu yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporat Siti Fairuz Kamis, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

    Sinergi Perdana sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik ‘granulator chute’ sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin, 41.

    Syarikat itu melakukan kesalahan tersebut di bahagian pengeluaran dalam kilang, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Klang pada 4.50 petang 19 Feb 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang bekerja berseorangan telah membuat kerja baik pulih ‘granulator chute’ telah terkena renjatan elektrik.

    Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

    Sebelum itu semasa memohon hukuman yang ringan, Siti Fairuz berkata kemalangan tersebut berlaku ketika syarikat itu baru beroperasi selama setahun dan ia merupakan kesalahan pertama.

    “Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan,” katanya.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor Jamaludin Harun dan Mohd Nizam Teh Kammaruddin berkata akibat kecuaian tersebut, syarikat itu kehilangan pekerja berkemahiran.

    “Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana,” katanya. – Bernama

  • Pesara didenda RM6,000 guna peralatan komunikasi tidak diperakui

    Pesara didenda RM6,000 guna peralatan komunikasi tidak diperakui

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukukan denda RM6,000 terhadap seorang pesara swasta selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui, tujuh tahun lalu.

    Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd. Kafli Che Ali dan penjara enam bulan terhadap Yap Aik Seng, 58, akan dikenakan sekiranya gagal membayar denda yang diarahkan.

    Bapa kepada lima anak itu mengaku bersalah menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu unit radio marin jenama Superstar model SS-39.

    Sinar Harian melaporkan, Aik Seng melakukan kesalahan itu pada jarak 14 batu nautika dari Kuala Rompin, pukul 10.45 pagi, 3 Julai 2015.

    Dia didapati melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

    Bagi kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, peguam yang mewakili Aik Seng, Norazmi Kasani merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang paling minima kepada anak guamnya.

    “Anak guam saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

    “Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa semua pihak dan perkara itu perlu diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan hukuman,” katanya.

    Sementara itu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal terhadap Aik Seng.