Tag: Menara KL

  • Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Kedua-dua mereka berusia antara 49 dan 59 tahun ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM.

    Memetik laporan Berita Harian (BH), difahamkan, seorang yang ditahan ialah pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

    Seorang lagi pula ialah ahli perniagaan yang dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat itu.

    Menurut sumber kepada BH, siasatan mendapati antara habuan yang diperolehi permintaan wang rasuah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah.

    Itu dikatakan hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.

    BH difahamkan, beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital, serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Beliau enggan mengulas lanjut dan menasihati semua pihak agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan SPRM.

    BH sebelum ini melaporkan, SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu pengambilalihan pengurusan Menara KL, yang didedahkan di media sosial.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

    Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

  • SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya.

    Lawatan itu difahamkan susulan tindakan Telekom Malaysia (TM) melepaskan kawalan Menara Kuala Lumpur, lokasi tumpuan pelancong yang menguntungkan, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali.

    Malaysiakini yang memetik sumber, SPRM mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

    “Beberapa pegawai kementerian juga ditemu bual,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkaitan perkara itu.

    SPRM semalam memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10 juta unit saham TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Menara KL.

    SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan 100 peratus sahamnya itu pada Oktober lalu.

    Minggu ini, isu penjualan saham itu didedahkan dan dipertikai di media sosial kerana syarikat itu sangat menguntungkan dan pembelinya yang tidak dikenali.

    TM memberi alasan mahu menumpukan kepada perniagaan teras iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

    Menteri bertanggungjawab sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.