Tag: membimbangkan

  • Penjualan berleluasa ‘Tiger Pod’ membimbangkan – KKM

    Penjualan berleluasa ‘Tiger Pod’ membimbangkan – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) kesal berhubung aktiviti mempromosi dan penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

    Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, ia sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk tersebut direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak serta remaja untuk menggunakannya.

    Menurut beliau, lebih membimbangkan, rokok elektronik ini menggunakan cecair bernikotin yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.

    Selain itu katanya, pihaknya mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan rokok berkenaan di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

    “Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

    “Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik/vape, maka peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang lebih bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

    “Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor UtusanTV.

    Dr Zaliha menambah, penjualan rokok elektronik yang boleh memudaratkan kesihatan memerlukan kepada kerjasama semua pihak terutamanya agensi kerajaan.

    Pada masa sama, ujarnya, pengusaha juga haruslah mengambil sikap pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilan produk mereka.

    “Penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ ini perlu kepada kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

    “Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka.

    “KKM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.

    “(Ini) bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

  • Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    TREND peningkatan kematian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini adalah membimbangkan apabila sebanyak 67 kematian dilaporkan tahun ini berbanding enam kematian tahun lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah bagi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 18 tahun bermula Januari sehingga semalam.

    Menurutnya, statistik juga menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak (0-18 tahun) di Malaysia adalah membimbangkan.

    “Oleh itu, KKM menyasarkan supaya 60 peratus daripada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang bulan November 2021 manakala 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

    “Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah memberi kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi.

    “Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar yang segera.

    “Institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seperti ubat-ubatan lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa yang singkat.

    Bagaimanapun katanya, KKM ingin menegaskan bahawa faedah mengambil vaksin Covid-19 ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan Covid-19 itu.

    “Ibu bapa perlu mengawasi gejala-gejala awal seperti sakit dada, kesukaran bernafas, dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan dan rawatan.

    “Pengawasan perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi.

    “Sekiranya ibu bapa dan penjaga terdapat sebarang pertanyaan tentang program vaksin Covid-19 ini, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

    Terdahulu, program ‘Kick-Off’ PICK Remaja dimulakan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.