Tag: memancing

  • Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    Kanak-kanak terjatuh semasa memancing ditemukan lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki yang dikatakan terjatuh semasa memancing berhampiran jeti Kampung Belit Seberang Guai di Bera semalam, ditemukan lemas pada 9.20 pagi tadi. 

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mayat Abtaham Baraq Mohd Khairuddin, 11, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tersangkut pada jaring di sungai tersebut.

    “Mangsa dijumpai pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, dengan anggaran kedalaman 1.5 meter sebelum berjaya dibawa naik oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA),” menurut kenyataan itu. 

    Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat yang bermula 7.06 malam semalam, dengan penglibatan 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Triang, Bera serta Bukit Angin, Temerloh ditamatkan.

  • Lelaki ditemukan lemas di Sungai Kuantan

    Lelaki ditemukan lemas di Sungai Kuantan

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Padang, di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Anuar Hassan berkata mayat Azam Zahari Mat Nawi, 42, ditemukan pada kira-kira 8.50 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), lima meter dari lokasi dia dikatakan memancing bersama rakannya.

    Anuar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.11 malam tadi sebelum tujuh anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dibantu unit PPDA Kuantan digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    “Operasi yang diteruskan hari ini selepas ditangguhkan semalam berjaya menemukan mangsa (Azam Zahari) pada kedalaman tiga meter sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata mangsa menetap di Kampung Padang dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan penduduk kampung itu ditamatkan kira-kira 11 pagi tadi, katanya. 

  • Warga emas lemas ketika memancing

    Warga emas lemas ketika memancing

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG warga emas yang terjatuh dari bot ketika memancing ditemukan lemas di Sungai Perak berhadapan Pulau Bangau, Teluk Intan, Perak hari ini.

    Mayat Teoh Har Soon, 63, ditemukan anggota bomba pada pukul 1.40 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dilihat selepas pasukan penyelamat menggunakan teknik pusaran air menggunakan bot.

    “Mayat lelaki terbabit timbul di permukaan sungai dengan kedalaman dua meter dalam tempoh sejam.

    “Anggota membawa mangsa naik ke tebing namun dia disahkan telah pun meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    “Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.