Tag: melecur

  • Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    DUA beradik melecur selepas terkena cecair kimia yang dipercayai digunakan jirannya bagi membersihkan saluran paip sinki tersumbat, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam di sebuah apartment di Seri Kembangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk di kepala dan badan manakala adik perempuannya berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha.

    Beliau berkata ibu kanak-kanak itu memberitahu terdengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya yang berada di bahagian dapur dan mendapati dua anaknya terkena cecair dipercayai asid yang digunakan untuk membersihkan saluran paip sinki tingkat atas unit kediaman mereka.

    Anbalagan berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah di tingkat atas kediaman  mereka menggunakan serbuk soda dengan memasukkannya ke dalam saluran paip sinkinya bagi membersihkan saluran paip yang tersumbat.

    “Seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah di tingkat dua dirakam percakapan dan mengakui menggunakan serbuk soda (pembersih paip tersumbat) yang dibeli dalam talian berharga kira-kira RM50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Anbalagan berkata kanak-kanak lelaki itu yang melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala adik perempuannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – BERNAMA

  • Suami isteri ditahan dipercayai abai rawatan anak melecur

    Suami isteri ditahan dipercayai abai rawatan anak melecur

    POLIS menahan suami isteri bagi membantu siasatan melakukan pengabaian selepas tidak menghantar anak lelaki mereka untuk rawatan kerana melecur akibat bermain api di timbunan sampah di Kampung Parit Kuchi, Pontian, 30 Dis lepas.

    Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata pasangan berusia 36 dan 33 tahun itu ditahan pada 2 pagi tadi semasa memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian serta akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Beliau berkata terdapat kesan terbakar dan melecur di bahagian sendi, beberapa anggota badan di bahagian kanan badan hingga kaki, lengan kiri, kedua-dua bahagian paha dan bahagian telinga kanan mangsa berusia sembilan tahun itu akibat kejadian berkenaan.

    Bagaimanapun, pihaknya mempercayai kanak-kanak itu tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum rakan kepada ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu membuat laporan polis semalam.

    “Laporan polis dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan ibu bapa mangsa yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan.

    “Walaupun sudah lima hari berlalu sehingga laporan polis dibuat, (tiada rawatan dibuat menyebabkan) luka mangsa semakin teruk dan sudah mula berbau. Laporan juga dibuat untuk tindakan lanjut pihak polis kerana pengadu mengesyaki terdapat pengabaian terhadap kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan. 

    Mohammad Shofee berkata siasatan awal oleh pegawai penyiasat terhadap ibu mangsa mendapati  ketika kejadian, mangsa sedang bermain api bersama adiknya dan dilihat membaling bekas telur ke dalam api. 

    “Kemudian, ibu mangsa yang berada dalam rumah ketika itu terdengar bunyi letupan di luar dan nampak kelibat mangsa berlari dengan baju dan seluar terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah. 

    “Bapa mangsa juga telah membantu memadamkan api pada baju mangsa sebelum membawanya masuk ke dalam rumah,” katanya. 

    Beliau berkata ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit serta ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke mana-mana hospital untuk rawatan.

    Katanya kanak-kanak itu kini stabil di Hospital Pontian dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    Letupan paip gas: Seorang maut, tiga melecur

    SEORANG maut manakala tiga lagi melecur apabila paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang dekat Lawas, Sarawak meletup selepas dipercayai mengalami kebocoran.

    Mangsa yang maut merupakan pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.

    Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar pukul 2.10 petang.

    “Mangsa pertama berada di dalam jengkaut, dan jarak dia dengan tiga mangsa lain sekitar 200 meter,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Siasatan awal mendapati, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran paip.

    Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut sekitar pukul 2.49 petang.

    “Pihak kita telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Lawas oleh kakitangan kontraktor pembinaan, di mana paip itu meletup.

    Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya sedih dengan tragedi yang berlaku.

    “Saya menyeru pihak Petronas supaya memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

    “Ini adalah sesuatu yang pernah berlaku dahulu, dan saya telah meminta pihak Petronas mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang.

    Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahaguan Limbang, Sebi Abang berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dan Petronas untuk menyediakan laporan awal yang berlaku pada kadar segera.

    “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian,” tambahnya lagi.

    Ketika ini katanya, insiden tersebut telah terkawal dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi.