Tag: Melbourne

  • Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    Gempa bumi Melbourne, tiada rakyat Malaysia terjejas

    TIADA rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian gempa berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang melanda berhampiran Melbourne, Victoria, Australia pada Rabu, kata Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Mazita Marzuki.

    Beliau berkata pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne akan terus memantau keadaan dan menasihati rakyat Malaysia agar bertenang. 

    “Setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan serius melibatkan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

    Gempa yang melanda Melbourne pada Rabu itu antara yang terkuat menyebabkan kerosakan pada bangunan di bandar kedua terbesar itu dan gegaran turut dirasai di negara jiran.

    Mengulas mengenai keadaan semasa di Melbourne, Konsulat Jeneral memaklumkan keadaan terkawal dengan keperluan asas, infrastruktur dan keperluan lain masih seperti biasa.

    “Sebanyak 46 kerosakan harta benda dilaporkan di Mansfield dan Melbourne. Kira-kira 35,000 penduduk dan sebuah hospital terputus bekalan elektrik seketika,” katanya sambil menambah sekitar 779 rakyat Malaysia berdaftar di pejabat Konsulat.

    Untuk maklumat dan kemas kini, rakyat Malaysia diminta menghubungi Konsulat melalui e-mel [email protected], atau di talian: +613 95735400, talian kecemasan: +61403 859 500, portal:  www.kln.gov.my, FB: https://www.facebook.com/ConsulateGeneralofMalaysiaMelbourne, Twitter:  https://twitter.com/MYCGMelbourne dan Instagram: https://www.instagram.com/malaysiainmelbourne.- BERNAMA

  • Gempa bumi 5.9 magnitud cetus panik di Melbourne

    Gempa bumi 5.9 magnitud cetus panik di Melbourne

    SATU gempa bumi kuat yang jarang berlaku menggegarkan tenggara Australia pagi ini, menggoncang bangunan dan menjatuhkan tembok serta mengakibatkan penduduk yang panik berlari ke jalan raya di Melbourne.

    Memetik agensi berita AFP, gempa bumi cetek yang melanda bandar kedua terbesar Australia itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan dan dapat dirasai sehingga ratusan kilometer.

    Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu dikesan pada kedalaman 10 km.

    Serpihan bangunan terutama batu bata yang jatuh dari bangunan, berselerak di kawasan beli belah popular di Chapel Street, Melbourne.

    Pemilik kafe Oppen, Zume Phim, 33, berkata beliau bergegas keluar sebaik sahaja gegaran bermula.

    “Seluruh bangunan bergegar, semua tingkap dan kaca turut bergegar, bagaikan ada gelombang melanda.

    “Saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, agak menakutkan,” katanya.

    Gempa bumi kuat jarang berlaku di kawasan padat penduduk di tenggara Australia

    Kakitangan kafe di Melbourne, Parker Mayo, 30, pula memberitahu, gegaran agak kuat sehingga membuatkan orang ramai panik.

    Batu bata dan serpihan simen memenuhi perkarangan Betty’s Burgers di Melbourne, dengan kepingan besi tergantung di bahagian bumbung luar restoran.

    Pemilik restoran itu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, tiada pelanggan berada di restoran ketika itu.

    Dalam pada itu, pakar geologi di University of Melbourne, Mike Sandiford berkata, gempa hampir 6 magnitud itu adalah fenomena terbesar di tenggara Australia sejak kebelakangan ini.

    “Kita ada mengalami gempa bumi kuat sekitar lewat 1800an tetapi kekuatan sebenar tidak dapat diukur pada masa itu.

    “Gempa dengan kekuatan seperti ini hanya dijangka setiap 10 hingga 20 tahun di tenggara Australia, dengan yang terakhir pada 2012 di Thorpdale tetapi kali ini jauh lebih kuat,” katanya.

    Sandiford memberitahu, ratusan gempa susulan juga dijangka berlaku namun kebanyakannya mungkin tidak akan disedari.

    Tambahnya, bencana alam itu mungkin mengakibatkan kerugian berbilion jika pusat gempa terletak di bawah Melbourne.

    Menurut Geosciences Australia, pihaknya mengesan gempa susulan berukuran 4.0 sejurus selepas gegaran pertama.

    Sementara itu, Datuk Bandar Mansfield, Mark Holcombe, berkata tidak banyak kerosakan berlaku di pekan kecil yang menjadi lokasi pusat gempa bumi itu tetapi penduduk agak terkejut.

    “Kami tidak pernah mengalami gempa bumi di kawasan ini, malah tiada seorang pun penduduk tempatan yang pernah merasai gempa bumi di sini sebelum ini,” katanya kepada stesen penyiaran ABC.

    Perkhidmatan kecemasan berkata mereka menerima panggilan kecemasan dari Dubbo, kawasan sejauh 700 km dari pusat gempa.

    Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, yang kini berada di New York, Amerika Syarikat, berkata tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

    “Saya agak terkejut menerima berita gempa bumi kerana bencana alam seumpama ini jarang berlaku di Australia, malah boleh dikatakan amat jarang,” katanya.