Tag: Melayu angkuh

  • Isu ‘Melayu angkuh’: Dr Mahathir selar Anwar

    Isu ‘Melayu angkuh’: Dr Mahathir selar Anwar

    TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke Kemboja baru-baru ini yang memberi ingatan kepada orang Melayu supaya tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kaum lain.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, Anwar tidak sepatutnya berucap sedemikian kerana secara tidak langsung menghina orang Melayu.

    Beliau menegaskan, orang Melayu sejak sebelum dan selepas merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.

    “Saya juga dapat tahu dia membuat kenyataan itu setelah lawatan ke Kemboja dan berkata bahawa walaupun umat Islam Kemboja cuma 10 peratus, mereka diraikan, masjid tidak diroboh, hak mereka dipertahan malah diangkat sebagai menteri mewakili kepentingan mereka.

    “Kenyataan Anwar ini agak pelik serta ganjil kerana ia menghina orang Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerakyatan telah diberi kepada satu juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.

    “Apabila negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil kaum itu juga dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam Kerajaan.

    “Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta lain-lain jawatan penting,” katanya.

    Beliau berkata, ekonomi negara termasuk yang menjadi billionair lebih 90 peratus adalah bukan Melayu.

    “Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam.

    “Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri di serata pelosok Tanah Melayu malahan di antara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus,” katanya.

    Katanya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak benar isu berkait Melayu disiar, ia dianggap perkauman.

    Jelasnya, sebelum ini apabila beliau menyatakan Melayu malas, ramai yang marah sedangkan tujuan untuk ingatkan bahawa kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi negara.

    “Jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya. Tetapi hari ini, Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain.

    “Namun orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.

    “Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu baru tidak angkuh?,” soalnya, lapor Sinar Harian.

  • Kerana Melayu ‘angkuh’ warga asing berebut nak masuk Malaysia

    Kerana Melayu ‘angkuh’ warga asing berebut nak masuk Malaysia

    Tok Chey sebenarnya masih tidak boleh ‘move on’ dengan ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengingatkan kaum Melayu Islam di negara ini agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.

    Pertamanya, Tok Chey kecewa dengan kenyataan itu kerana tiada angin, tiada ribut tiba-tiba kaum Melayu dilabel seumpama itu sedangkan hakikat yang berlaku di alam nyata adalah amat berbeza sekali.

    Bandingkanlah dengan mana-mana negara di dunia ini, kita tidak akan jumpa satu kaum seperti Melayu yang cukup baik, bertoleransi dengan agama dan bangsa lain.

    Di Malaysia ini ada pelbagai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Tamil dan budaya serta amalan agama lain boleh diadakan dengan aman dan tenteram.

    Mereka juga boleh bertutur bahasa ibunda masing-masing tanpa sebarang sekatan atau bantahan daripada golongan majoriti.

    Lihatlah bagaimana orang Melayu boleh hidup harmoni, hormat dengan penuh kerukunan terhadap pelbagai bangsa yang ada di dalam negara ini.

    Satu contoh mudah yang dapat dikongsikan ialah di tempat tinggal Tok Chey sendiri yang majoritinya penduduk Melayu, ada hampir 10 keluarga Cina dan India yang dapat hidup dengan selesa.

    Mereka berasa tenteram untuk hidup bersama majoriti masyarakat Melayu kerana sikap toleransi yang ditunjukkan oleh penduduk setempat.

    Di kawasan majoriti Melayu ini jugalah terdapat banyak kedai-kedai dan perniagaan bangsa selain Melayu dan perniagaan mereka maju dan mampu ‘survive’ hasil sokongan majoriti kaum Melayu di sini.

    Di tempat Tok Chey bekerja pula, kakitangan yang bukan Melayu dapat bekerja dengan tenang, menikmati kenaikan pangkat dengan adil serta layanan sama rata dan bukan melihat warna kulit.

    Pekerja Melayu hormat kepada pekerja bangsa lain kerana itu adalah tuntutan bukan sahaja dalam agama tetapi sikap baik itu penting untuk mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

    Jika diambil contoh yang lebih luas, lihatlah carta orang terkaya di Malaysia, adakah ia dimonopoli oleh bangsa Melayu atau bangsa lain?

    Senarai orang terkaya di Malaysia sudah cukup untuk membuktikan bahawa bangsa selain Melayu dapat hidup dengan selesa dan mengumpul kekayaan dengan ‘aman’ di negara ini.

    Jika orang Melayu angkuh dan tidak bertolak ansur, mana mungkin bangsa lain mampu untuk mengekalkan rekod kekayaan sejak sekian lama.

    Keduanya bukti depan mata yang dapat dilihat ialah betapa banyaknya bangsa dan warga asing berpusu-pusu mahu masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan membina empayar.

    Lihatlah berapa banyak jumlah mereka yang berada di Malaysia hingga boleh membuka perniagaan, beranak-pinak dan ada yang sudah bergelar jutawan.

    Angkuhkah orang Melayu kita sehingga jumlah warga asing di negara ini sudah berjuta-juta dan jumlah yang masuk secara haram adalah lebih banyak.

    Ucapan Anwar yang meminta kaum majoriti di negara ini untuk mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan masyarakat Islam di negara itu juga satu idea yang tidak boleh diterima.

    Janganlah kerana hendak memuji negara yang baru dilawati itu, rakyat kita diminta untuk mencontohi mereka sedangkan apa yang diraikan kaum majoriti terhadap minoriti di negara ini adalah jauh lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh Kemboja.

    Pada pandangan Tok Chey, selepas ini Perdana Menteri hendaklah lebih berhati-hati dalam ucapannya dan tidak mengguris perasaan orang Melayu.

    Ucapan-ucapan seumpama itu tidak membawa sebarang kebaikan bahkan membuatkan orang Melayu menjauhkan diri daripada kerajaan PH-BN.

  • Sejak bila Melayu Islam angkuh? Ahmad Fadhli tanya Anwar

    Sejak bila Melayu Islam angkuh? Ahmad Fadhli tanya Anwar

    KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan orang Melayu Islam supaya tidak angkuh hingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) juga mengingatkan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) itu supaya turut memberi nasihat kepada kaum lain juga agar tidak angkuh.

    “Sejak bila Melayu Islam angkuh? Jika dikatakan sekadar peringatan dan tidak semestinya ia berlaku, nah kenapa tidak diperingatkan juga kepada selain Melayu Islam?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen PN Pasir Mas, menerusi hantaran Facebook.

    Dalam perkembangan berkaitan, gabungan pembela ummah turut menbidas kenyataan Anwar yang dianggap mahu menjadi juara kepada kaum lain dengan ‘menghentam’ bangsa sendiri.

    Jurucakap gabungan itu mengingatkan Anwar bahawa sesetengah pengundi Melayu juga turut memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

    “Jangan kerana hendak menjadi hero kepada kaum lain maka bangsa sendiri diinjak-injak. Adakah Anwar bukan Melayu?,” katanya kepada Agenda Daily.

    Menurutnya Anwar yang kini mempunyai kuasa sepatutnya menjadi pelindung dan benteng kepada pihak yang semakin hari cuba mengganggu-gugat hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu serta kedudukan Islam.

    “Kami harap kerajaan tidak lari dan menyeleweng daripada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 153,” katanya sambil mengingatkan tentang sejarah bagaimana bangsa Melayu lebih bertoleransi terhadap kaum-kaum lain.

    Semalam, Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan mengingatkan orang Melayu Islam sebagai kaum majoriti di negara ini tidak berasa begitu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

    Menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam minoriti di negara berkenaan dilayan.

    “Saya iftar anjuran Perdana Menteri Kemboja bersama 6,000 umat Islam di sana. Umat islam di Kemboja hanya 10 peratus dan apabila diberi penghormatan, beri ucapan dan ke masjid di sana, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti (beragama) Buddha memberi dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan iftar dan beberapa ruang lain termasuk (melantik) menteri, seorang Muslim.

    “Itu sebagai pengajaran, kadang-kadang kita yang majoriti (ini) rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap tidak boleh meraikan kelompok (minoriti) lain dan ini bukan dianjurkan dalam pengajaran pedoman Nabi Muhammad SAW,” katanya.