Tag: mekanik

  • Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    SEORANG mekanik dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Abdullah, 27, yang juga bapa kepada dua anak, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya. 

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 14 Okt lepas.

    Muhammad Amirul mengaku melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di  Flat Puchong Permai di Puchong, dekat sini kira-kira 9.30 malam, 29 Julai tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Ketika rayuan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan tindakannya selain merupakan penanggung utama keluarga.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana perbuatan itu dipandang jijik dan hina oleh masyarakat apatah lagi mangsa ialah kanak-kanak.

    “Saya mohon mahkamah mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutama dari jenayah seksual. Saya percaya hasrat kerajaan ini boleh dizahirkan mahkamah hari ini melalui hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh,” katanya. – BERNAMA

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas.

    Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin,19, didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini pukul 7.18 malam pada 24 Ogos lepas.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

    Amirul Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

    Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Pada 25 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Klang. – BERNAMA