Tag: Mekah

  • Mekah dilanda ribut, hujan lebat

    Mekah dilanda ribut, hujan lebat

    JEMAAH umrah dan penduduk di Mekah, Arab Saudi berdepan situasi cemas apabila cuaca bertukar buruk secara tiba-tiba membawa hujan lebat dan ribut petir pada petang Selasa.

    Video tular menunjukkan jemaah umrah bergegas mencari perlindungan ketika ada di antara orang ramai berhampiran Masjidilharam hampir diterbangkan angin kencang dalam kejadian menghampiri waktu Maghrib.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi pada Rabu mengeluarkan amaran cuaca tahap merah untuk Mekah dan beberapa wilayah lain dengan cuaca tidak menentu dijangka berterusan sepanjang Rabu.

    Video yang dikongsi di Instagram menunjukkan bagaimana jemaah umrah berhadapan dengan angin kencang yang melanda kota suci tersebut.

    Selain itu, penghadang di perkarangan Masjidilharam turut diterbangkan oleh angin kuat.

    Mereka yang berada di jalan raya dirakam berlari mencari perlindungan, sementara kakitangan di Masjidilharam hampir terjatuh kerana cuba menahan tong sampah besar daripada diterbangkan angin.

    Malah pemandangan luar biasa turun dirakam apabila kilat berwarna ungu menyambar Menara Jam Mekah lapor Khaleej Times.

    Papan iklan juga tumbang dan jalan raya dilanda banjir kilat.

    Sementara itu, menurut NCM, hujan lebat dan ribut petir akan terus berlaku di Mekah sehingga Khamis.

    Penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah tambahan berjaga-jaga.

    Menurut penduduk, ribut petir itu disifatkan antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.

  • Lelaki kudung tangan kiri tekad jalan kaki ke Mekah

    Lelaki kudung tangan kiri tekad jalan kaki ke Mekah

    SEORANG lelaki yang kudung tangan kirinya berazam berjalan kaki secara solo ke Mekah dengan mengharungi perjalanan sejauh 10,161 kilometer (km) dari Bidor ke tanah suci, Isnin lalu.

    Kisah Herry Nizam menerusi akaun TikToknya, @herrynizam4 itu mula mendapat perhatian warganet yang turut memberi sokongan terhadap misi perjalanannya ke tanah suci itu.

    Lelaki itu menerusi video yang dimuat naik memulakan perjalanan dengan menggalas sebuah beg bersama sehelai Jalur Gemilang dan dia difahamkan akan merentas 12 negara bermula dengan Thailand ke Arab Saudi.

    Difahamkan pemuda itu telah berada di Sadao, Thailand, Khamis lalu.

    “Assalamualaikum semua sahabat yang saya kasihi, sekarang dah sampai dekat Sadao Thailand, lusa (Sabtu) baru jalan semula ke Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, UAE dan Arab Saudi.

    “Doa kalian jambatan buat saya ke rumah Allah SWT,” kongsinya di TikTok, menurut laporan Sinar Harian.

    Mengikut peta perjalanan di aplikasi Google Map, dia dijangka menempuh perjalanan berjalan kaki sejauh lebih 10,160km untuk tiba ke Mekah.

    Berdasarkan peta itu, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanan tersebut.

    Media sebelum ini melaporkan, misi sama pernah dijalankan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500km dengan berjalan kaki dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Mekah.

    Adam yang memulakan perjalanan pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan dan tiba di Tanah Suci Julai 2022 bagi menunaikan haji di usia 52 tahun.

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    WANITA yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad. 

    “Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah di sini hari ini.

    Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.

    Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi.

    Terdahulu, program hari ini yang bertujuan merapatkan ukhuwah rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai lapisan umur.

    “Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kita berjaya menghabiskan perjalanan sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Tarbiah hingga ke Arena Futsal Bukit Gantang,” tambahnya.- BERNAMA

  • [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    POLIS Mekah menahan seorang lelaki rakyat tempatan yang didakwa terlibat dalam membantu urusan seorang wartawan bukan Islam yang memegang kerakyatan Amerika Syarikat untuk memasuki tanah suci Mekah.

    Media antarabangsa melaporkan wartawan itu ialah Gil Tamary daripada saluran siaran bebas Israel, Channel 13.

    Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pula memetik jurucakap Polis Mekah sebagai berkata; “Mereka menggunakan laluan yang dikhaskan kepada orang Islam, hal ini jelas melanggar undang-undang yang melarang kemasukan orang bukan Islam ke tanah suci Mekah”.

    Pihak polis Mekah menegaskan bahawa segala undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu dihormati dan dipatuhi oleh setiap pengunjung tanah suci, khususnya di Masjidil Haram di Mekah dan Madinah.

    “Sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak boleh diterima dan hukuman akan dikenakan terhadap pelaku jenayah berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Kes wartawan itu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • Amalan harian, ibadah kembali normal di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Amalan harian, ibadah kembali normal di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan amalan harian dan ibadah secara normal sudah mula dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

    Perkongsian video di Twitter oleh jabatan berkenaan melalui Bahagian Pengurusan Masjid Nabawi menyatakan keputusan turut diambil untuk menyediakan semula tong air Zamzam bermula Selasa.

    Langkah itu diambil selepas Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Rahman Al-Sudais berpuas hati dengan tahap vaksinasi penduduk Mekah dan Madinah serta pematuhan jemaah terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Dalam video berkenaan, pekerja dilihat mengedarkan sebanyak 600 tong dengan kapasti keseluruhan 30 ribu tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah.

    Penyediaan tong air zamzam sebelum ini dihentikan berikutan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji dan umrah di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi dan digantikan dengan penggunaan robot pintar untuk mengedarkan air zamzam tanpa melibatkan sebarang sentuhan.

    Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Selasa mengumumkan kes jangkitan harian COVID-19 di negara berkenaan mencatatkan dua angka selama tiga hari berturut-turut.

    Jabatan itu turut menempatkan semula mushaf al-Quran, membenarkan pengajian dan majlis ilmu diadakan secara bersemuka, mengurangkan penjarakan fizikal untuk menambah kapasiti solat berjemaah dan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas hadir ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

    Minggu lalu jabatan itu mengumumkan kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 70,000 orang sehari.

    Jabatan itu menegaskan akan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik daripada segi kebersihan dan sanitasi demi memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah terpelihara.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pemberian 6,000 visa umrah kepada warga asing setakat bulan Muharram 1443 Hijrah (Ogos 2021) dan menjangkakan kedatangan lebih ramai jemaah umrah dari luar Arab Saudi bermula Rabiul Awwal 1443 Hijrah (Oktober 2021).- BERNAMA