Tag: media sosial

  • Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    KENYATAAN media yang didakwa dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berhubung siasatan kes salah guna kuasa terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah palsu.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi penafian yang dimuat naik di laman Facebook rasmi hari ini, memaklumkan Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

    “Tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat.

    “Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” menurut JPM.

    Terdahulu, kenyataan palsu yang bertarikh 6 April itu memaparkan dakwaan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan kadar segera terhadap kes salah guna kuasa melibatkan perkhidmatan KSN dan KPPA. – BERNAMA

  • Video pembuli jalanan: Hanya lakonan, raih jumlah tontonan tinggi

    Video pembuli jalanan: Hanya lakonan, raih jumlah tontonan tinggi

    DUA video mengenai insiden pembuli jalanan yang tular menerusi media sosial yang berlaku di Jalan Putatan, Penampang semalam didapati hanya lakonan semata-mata untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi.

    Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata video masing-masing berdurasi tiga minit 35 saat dan empat minit tiga saat itu menunjukkan perilaku pemandu sebuah kenderaan yang sedang membuli pemandu kenderaan lain dengan cara kekerasan.

    “Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Penampang telah memanggil pemilik akaun media sosial terbabit ke balai polis untuk mendapatkan keterangan lanjut.

    “Hasil siasatan polis terhadap pemilik akaun media sosial terbabit, tujuan video tersebut dimuat naik adalah untuk kandungan media sosial dan sekadar lakonan untuk meraih jumlah tontonan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata sehubungan itu polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memuat naik dan berkongsi bahan di media sosial yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

  • Kenyataan fitnah: Ismail Sabri saman Lokman Adam

    Kenyataan fitnah: Ismail Sabri saman Lokman Adam

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, selaku plaintif memfailkan saman fitnah tersebut atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 Sept lepas, dengan menamakan Lokman, 49, yang merupakan ahli UMNO selaku defendan tunggal.

    Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri, 62, mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.

    Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Dakwa plaintif, beliau tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum untuk kekal sebagai perdana menteri.

    Plaintif juga mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mencampur tangan prosiding undang-undang terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan bekas perdana menteri itu disabitkan dan seterusnya dipenjarakan.

    Menurutnya akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya sebagai seorang ahli UMNO, Naib Presiden UMNO dan perdana menteri terjejas, membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lepas dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

     Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan memadamkan video di akaun YouTube, Facebook, Instagram serta TikTok miliknya dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat kenyataan sama menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan dan permohonan itu akan didengar hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain.

    Ismail Sabri, 62, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Lokman, 49, yang merupakan ahli UMNO pada 8 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

    Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif, dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.

    Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO, dan tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum, untuk kekal sebagai perdana menteri.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 1 Sept lalu, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan kerajaan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” pada 20 dan 22 Ogos lalu.- BERNAMA